• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Perang Badar Tidak Pernah Dirancang

29/12/2010

Susunan SITI AINIZA KAMSARI

PERANG Badar adalah perang pertama dilalui oleh umat Islam maka ia menjadi satu catatan sejarah besar yang paling penting untuk diketahui oleh umat manusia.

Terlalu banyak pengajaran yang boleh diambil apabila kita menyelusuri setiap detik-detik peperangan ini dan suasana umat Islam ketika meletusnya peperangan ini.

Perang Badar berlaku selepas 16 hari umat Islam buat pertama kalinya berpuasa di bulan Ramadan, iaitu pada tahun ke 2 Hijrah bersamaan 17 Mac 624 Masihi.

Inilah ujian umat Islam ketika itu. Tidak sahaja mereka perlu menjalani ibadat puasa tetapi dalam keadaan menahan lapar dan dahaga itu jugalah mereka dikehendaki berlawan dengan musuh dengan segala kekuatan tenaga dan jiwa.

Perang Badar al Kubra tidak sekadar susulan daripada perlaksanaan perintah Allah SWT agar kaum Muslimin mengangkat senjata sebagai pertahanan diri, tetapi merupakan Perang Al Furqan (pembeza), bagi memisahkan antara yang hak dan yang batil. Juga antara yang beriman dan yang kafir di samping merupakan satu pekhabaran besar kepada dunia akan kewujudan dunia Islam dalam suasana yang ketika itu dipenuhi dengan perkara-perkara fasad dan mungkar.

Sebenarnya untuk kita bercerita mengenai Perang Badar ini, maka ia sebenarnya bukan satu kisah yang boleh dihabiskan dalam tempoh satu hari satu malam bercerita!

Tidak bermaksud Perang Badar itu umpama kisah satu odyssey (kisah sejarah pengembaraan yang panjang dan penuh pancaroba) tetapi ramai yang tidak tahu hakikat sebenar setiap rentetan yang berlaku kecuali yang asas-asasnya sahaja.

Tahukah anda bahawa Perang Badar ini sebenarnya bukan sebuah perang yang dirancang oleh umat Islam untuk berlaku? Mengapa bilangan umat Islam yang turun berperang hanyalah 313 sahaja berbanding 1,300 anggota tentera di kalangan pihak musuh?

Dan terfikirkah kita andainya umat Islam kalah dalam perang ini, tidak mustahil rasanya tiada lagi manusia yang akan menyembah Allah di muka bumi.

Begitu sekali signifikannya perang ini kepada umat Islam kerana itu mengetahui sejarahnya sangat penting kerana dengan peperangan sahaja kadang kala agama Allah akan tertegak di muka bumi ini.

Ingatlah, syariat Allah supaya Islam berperang dalam hakikat peperangan beradu kekuatan senjata dan serangan terhadap mereka yang memusuhi Islam tidak pernah ditarik.

Ini sebagaimana tegas diperintahkan oleh Allah surah al-Anfal ayat 15 hingga 16.

Sebenarnya peperangan itu bukan dirancang dari awal atau yang dirancang dengan begitu baik dan sempat mengatur pelbagai strategi untuk mencapai kemenangan.

Ini kerana gerombolan tentera di pihak Islam yang diketuai dan dipimpin oleh Rasulullah sendiri itu tidak lebih seperti Operasi-operasi Ghazwah sebelum ini, iaitu tidak lebih untuk menyekat perjalanan perdagangan oleh kafilah-kafilah dagang milik kaum Quraisy.

Sebelum itu ada sesetengah orientalis Barat dan mereka yang prejudis terhadap Islam menganggap gerakan operasi ini tidak ubahnya seperti lanun-lanun yang merompak, tinggal lagi ia dilakukan di atas darat bukannya di laut.

Tetapi bagaimana dengan kalangan kafir yang merampas harta milik Islam sebelum ini, tindakan yang seperti itu, hendak disifatkan sebagai apa? Tidak juga gerakan ini sebagai tindakan membalas dendam terhadap segala keburukan yang telah dilakukan oleh pihak Quraisy tetapi Islam tidak lagi boleh tunduk kepada kelemahan, Islam kini mesti menunjukkan kekuatan, hatta kekuatan fizikal dan persenjataan.

Ini kerana Islam perlu diberi hak dan ruang untuk disebarkan kepada seluruh umat manusia. Disebarkan bukan bererti memaksa, jadi tidak timbul soal memaksa orang lain untuk memeluk Islam segala-galanya terpulang kepada kerelaan dan keikhlasan, jadi mengapa perlu diperangi? Islam sama sekali tidak pernah menghunuskan pedang pada leher semata-mata untuk memaksa seseorang itu untuk memeluk Islam.

Jadi apabila hak yang sedemikian rupa disekat maka terpaksalah sekatan itu diputuskan melalui kemenangan dalam peperangan!

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)