• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Peribadi Mulia, Kuasai Ilmu Tingkat Kekuatan Islam

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Kegagalan seimbang amalan dunia dan akhirat jadikan umat sering ditindas, dihina

"ORANG kita bila bercakap pasal agama, tumpu pada ibadat untuk mendapat tempat di akhirat saja. Jika diteliti ajaran Islam seperti dalam al-Quran dan hadis sahih, kita ada tanggungjawab kehidupan sebagai seorang Islam. “Tidak ada akhirat jika tidak ada dunia. Al-Quran tegaskan, jangan lupa pada bahagian di dunia kerana sebagai manusia, dunia tempat beribadat untuk akhirat,” kata Yang Dipertua Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim), Tun Dr Mahathir Mohamad. Bekas Perdana Menteri yang berucap pada Multaqa Yang Dipertua Perkim Tun Mahathir Mohamad bersama Guru Pendidikan Islam dan Warga Perkim berkata, kesilapan dalam pendidikan agama yang terlalu menumpukan akhirat dan meninggalkan keperluan dunia menyebabkan umat Islam lemah.

Multaqa kali pertama diadakan di Dewan Besar Masjid Wilayah, Kuala Lumpur, anjuran Perkim dengan kerjasama Kementerian Pelajaran bertujuan menjadikan guru agama pendakwah dan penggerak komuniti berasaskan nilai Islam.

Hadir sama, Setiausaha Agung Kehormat Perkim, Tan Sri Dr Abdul Hamid Othman; Pengarah Bahagian Tajdid Perkim, Datuk Zainal Abidin Abd Kadir dan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam Kementerian Pelajaran, Abdul Rashid Ngah.

Dr Mahathir berkata, disebabkan terlupa menekankan kepentingan menseimbangkan antara dunia dan akhirat, umat Islam seramai 1.5 bilion di seluruh dunia tidak berupaya menghalang pihak yang menghina agama Islam termasuk menghina Nabi Muhammad melalui lukisan kartun.
Malah, katanya untuk mempertahankan diri daripada musuh pun orang Islam tidak mampu melakukannya. Sebaliknya, mereka terpaksa mendapatkan senjata daripada musuh Islam yang pastinya tidak akan memberikan senjata terbaik.

“Orang Islam dan ajaran Islam masa ini tertekan kerana kita menjadi amat lemah. Oleh itu, umat Islam perlu kembali kepada ajaran al-Quran dan hadis sahih untuk menerapkan nilai murni dalam keperibadian supaya orang Islam menjadi umat berjaya dan mulia.

“Zaman kegemilangan Islam dulu, tiada siapa berani menghina umat Islam kerana ketika itu Islam kuat. Jadi, kekuatan di dunia ini memang dituntut dan caranya ialah dengan menguasai ilmu yang menjadi tanggungjawab orang Islam,” katanya.

Beliau berkata, umat Islam mengakui Islam adalah cara hidup dan sewajarnya pengakuan itu diterjemahkan dengan memegang nilai hidup mulia diajarkan Islam kerana apabila umat Islam berjaya dan kuat, Islam tidak akan dihina atau dipermainkan oleh orang lain.

Katanya, gejala sosial serta perkembangan membimbangkan dalam masyarakat di negara ini seperti dadah dan pembuangan bayi kerana tidak memberi perhatian kepada nilai murni yang diajarkan al-Quran.

Contohnya, pendidikan seks sudah ada dalam pelajaran agama Islam seperti batas hubungan lelaki dan perempuan serta cara mengawal nafsu, tetapi malangnya ilmu itu tidak diperjelaskan dengan baik kepada pelajar.

Dr Mahathir berkata, menjadi tanggungjawab ibu bapa mendidik anak dengan nilai murni untuk membentuk keperibadian mulia tetapi tidak dinafikan kesibukan ibu bapa bekerja menyebabkan anak tidak mendapat didikan sempurna.

Justeru katanya, tanggungjawab itu dipikul barisan pertahanan kedua iaitu guru agama di sekolah untuk memberi pendidikan serta menumpukan kepada pembentukan peribadi mulia yang tidak kurang pentingnya dengan ibadat lain seperti solat, zakat dan haji.

“Apabila ajar agama jangan tumpu buat ibadat tertentu untuk akhirat seolah dunia ini bukan untuk kita. Ajar supaya berdoa tetapi lupa tekankan keperluan berusaha sedangkan Allah janji kita akan dapat apa yang diminta jika tidak berusaha. Jadi berusaha itu sepatutnya ditekankan.

“Al-Quran banyak mengajar bagaimana membentuk personaliti yang baik dan berjaya. Al-Quran mengajar orang Islam ada sifat malu kerana jika malu mereka tidak buat perkara memalukan. Orang yang tahu malu tidak mahu gagal dan buat sesuatu menyebabkan orang pandang hina.

“Begitu juga ajaran lain seperti apabila berjanji mesti kotakan dan jangan menipu dalam perniagaan. Tetapi jika pegang sikap nak mudah kerana tidak suka berusaha, sebab itu ada yang terima rasuah, tidak perlu kerja tetapi dapat duit,” katanya.

Beliau berkata, anak sejak kecil lagi jika ditekankan mengenai dosa, pahala, baik dan buruk, akan dapat mengawal diri daripada terbabit dengan gejala negatif. Malah, nilai murni itu akan terus terpegang sehingga dewasa nanti.

Anak muda hari ini melakukan perkara menyalahi ajaran agama kerana berpendapat tidak ada siapa melihat apa yang mereka lakukan dan lupa bahawa Allah melihat.

“Sebab itu bila didik anak kecil di rumah atau sekolah, tekankan jangan lakukan dosa kerana orang lain tidak nampak tetapi Allah nampak. Yang kuat pegangan agama adalah orang yang berdisiplin dan mereka tidak tunggu orang untuk mengelak daripada membuat salah,” katanya.

Dr Mahathir berkata, jika nilai murni berjaya disemai, orang Islam akan menjadi umat paling kuat, berjaya dan dipandang tinggi. Kebaikan Islam tidak lagi perlu dicanang kerana semua dapat dilihat daripada peribadi umat Islam.

Beliau yang baru pulang dari Albania sempat berkongsi perasaan gembira melihat kebangkitan umat Islam di sana yang dulunya lemah apabila dipaksa tidak mengamalkan Islam kini bangkit selepas kembali berpegang kepada nilai murni yang diajarkan agama Islam.

“Masa zaman Uthman, Albania jadi pemimpin ajaran Islam tetapi disebabkan kurang ilmu serta kecekapan akhirnya Albania jatuh ke tangan komunis yang memaksa mereka tidak mengamalkan Islam. Semua itu terjadi kerana umat Islam lemah.

“Alhamdulillah, mereka kembali kepada Islam. Saya di sana dan gembira melihat masjid yang dulu kosong kini jemaahnya melimpah hingga ke jalan besar. Albania kini sudah terpisah daripada pengaruh komunis dan kuat semula,” katanya

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)