• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Peristiwa Israk Mikraj Perjalanan Hebat Rasulullah

Soal Jawab Agama: Peristiwa Israk Mikraj perjalanan hebat Rasulullah


2010/07/08
SAYA masih lagi keliru dengan tarikh sebenar peristiwa Israk dan Mikraj. Bolehkah ustaz memberikan sedikit penjelasan dalam hal ini serta perincian pertemuan Baginda SAW dengan nabi sebelum Baginda merentasi beberapa lapisan langit?

ANAS MASUD,
Kuala Lumpur. Israk dan Mikraj adalah dua perjalanan hebat sebagai anugerah dan kemuliaan kepada Baginda SAW dalam menyampaikan risalah Allah SWT. Ia juga satu mukjizat besar bagi junjungan Baginda SAW sebagai tanda kekuasaan Allah SWT.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Maha suci tuhan yang memperjalankan hamba-Nya pada satu malam dari Masjid Al-Haram (Makkah) ke Masjidil Al-Aqsa (Palestin) yang kami berkati sekelilingnya sebagai tanda kekuasaan kami. (Surah Al-Israk, ayat 1)

Kebanyakan ulama sepakat mengatakan peristiwa Israk dan Mikraj berlaku selepas Baginda SAW dilantik menjadi rasul dan berlaku dalam keadaan sedar bukan mimpi.

Ulama sejarah mempunyai pendapat berbeza dalam menentukan tahun, bulan serta malam yang tepat mengenai peristiwa hebat ini.
Sebagai seorang Muslim, kita percaya ada tujuan dan hikmah tertentu bagi Allah SWT kerana menyembunyikan tarikh itu seperti dirahsiakan bilakah malam lailatul qadar, masa mustajab doa pada hari Jumaat dan waktu mustajab doa pada setiap malam.

Antara pendapat ulama yang boleh diketengahkan:


Imam Nawawi dan Ibnu Abdul Barr berpendapat ia berlaku setahun sebelum hijrah berdasarkan hadis isteri Baginda SAW, Aisyah dan Ummu Hani yang menyebut peristiwa itu berlaku pada malam 17 Rabiulawal atau pada malam 27 Rejab.


Ibnul Jauzi berpendapat berlakun lapan bulan sebelum hijrah.


Rabi Bin Salim berpendapat berlakunya enam bulan sebelum hijrah.


Syekh Ibrahim Al-Harbi berpendapat berlakunya setahun 11 bulan sebelum hijrah dan disokong oleh Ibnul Munir dalam kitabnya Syarhus Sirah.


Berdasarkan apa yang dikeluarkan Imam At-Tabari dan Baihaqi, berlakunya Israk dan Mikraj pada Syawal atau Ramadan.


Berdasarkan riwayat Abi Saad dari Ibnu Abi Sirah peristiwa itu berlaku pada pada Ramadan 18 bulan sebelum hijrah.


Diceritakan oleh Ibnul Athir, Iyad dan Imam Qurtubi daripada Az-zuhri bahawa berlaku Israk dan Mikraj tiga tahun sebelum hijrah. (Kitab Israk dan Mikraj oleh Ibnu Hajar Asqalani, halaman 22), (Kitab Israk dan Mikraj oleh Dr Abi Syaibah, halaman 36).


Syeikh Ahmad Syakir dalam kitabnya berjudul Israk dan Mikraj menyebut bahawa Al-Hafiz Abd Ghani Ibnu Surur Al-Maqdisi menyebut dalam sirahnya bahawa ia berlaku pada malam 27 Rejab yang diguna pakai oleh rakyat Malaysia dan kebanyakan kaum Muslimin dewasa ini.

Perjalanan Baginda ke langit juga disebut Mikraj di mana Nabi SAW dipertemukan dengan semua anbiya berdasarkan kedudukan dan kemuliaan mereka di sisi Allah SWT.

Pada langit pertama Baginda bertemu Nabi Adam, langit kedua Baginda bertemu Nabi Isa dan Yahya, langit ketiga Nabi Yusuf.

Baginda SAW bertemu Nabi Idris (langit keempat), Nabi Harun (langit kelima), Nabi Musa (langit keenam) dan Nabi Ibrahim (langit ketujuh) sehinggalah ke sidratul muntaha di tempat yang tidak dapat dicapai makhluk selain Muhammad SAW (sepohon pokok yang dedaunnya lebar mengeluarkan bau harum).

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)