• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Perjuangan, keikhlasan dan kemenangan

Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin (Mufti Negeri Perlis)

Puasa banyak mendidik kita soal keikhlasan. Seseorang mungkin bersolat secara tidak ikhlas atau ingin menunjuk. Namun, sukar untuk orang yang berpuasa secara benar tanpa keikhlasan atau ingin menunjuk.

Jika tidak ikhlas tentu dia akan berbuka ketika orang lain tidak nampak. Namun jika dia berpuasa sepanjang hari dengan tidak merosakkannya, tanpa paksaan, dia mempunyai kejujuran. Maka dalam hadis kudsi, Allah berfirman: Semua amalan anak Adam untuknya, melainkan puasa. Ianya untuk-Ku dan hanya Aku yang membalasnya (riwayat al-Bukhari). Puasa mampu mendidik kita jujur dan ikhlas. Namun, ikhlas walaupun ringan di lidah, amat berat untuk penghayatan. Betapa ramai yang menyebut saya ikhlas, namun dia belum tentu ikhlas. Jika semangat puasa tidak dibawa keluar mengiringi kita di luar Ramadan, pastilah nilai-nilai hipokrit memenuhi ruang kehidupan kita.

Pada akhir Ramadan baru-baru ini saya menyertai Raja Muda Perlis dan Menteri Besar Perlis bersama rombongan melawat kem-kem tentera kita di sempadan Sarawak-Indonesia. Ini adalah acara tahunan bulan Ramadan kepimpinan negeri Perlis. Sebelum ini banyak tertumpu di Sabah. Program tersebut selain menghulurkan bantuan, juga bertujuan menggambarkan rasa prihatin serta menimbulkan keinsafan kepada ahli rombongan terhadap pengorbanan angkatan tentera. Mereka telah hidup dalam keadaan yang sukar bagi membolehkan orang lain hidup tenteram. Demikian sifat setiap pejuang. Mereka rela berkorban dan terkorban demi memastikan kebaikan diperoleh oleh orang lain.

Melihat mereka, saya insaf. Mereka merentasi hidup sepanjang hari dalam keadaan yang tidak selesa. Meninggalkan keluarga dan kemeriahan hidup di tengah desa atau kota. Sedangkan ramai yang di luar sana bergembira dan berpesta sehingga terlupa mengingati pengorbanan mereka. Atau seakan berasa keamanan yang dikecapi adalah percuma yang terhasil kerana duit dan harta. Padahal mereka lupa atau sengaja melupakan bahawa di sana ada insan-insan yang bertarung nyawa untuk membayar harga keamanan ini. Sebab itu untuk para perajurit, jika mereka berjuang untuk gaji bulanan semata, itu satu kesilapan kerana jumlah gaji seperti mereka boleh diperoleh tanpa perlu mengorban kesenangan dan nyawa sedemikian rupa. Jika mereka berjuang untuk dikenang, mereka juga silap. Manusia sebenarnya ramai yang tidak mengenang budi. Bukan sekadar seorang tentera, pemimpin ternama lagi berjasa pun, jika hilang kuasa, ramai yang akan lupa. Harta dan kerakusan hidup lebih bermaharajalela Apa yang hendak dihairankan jika manusia melupai jasa sesama manusia, sedangkan kepada Allah pun ramai tidak bersyukur kepada-Nya. Firman Allah: (maksudnya) Dan sesungguhnya Tuhanmu (Wahai Muhammad) sentiasa melimpah-ruah kurnia-Nya kepada umat manusia tetapi kebanyakan mereka tidak bersyukur. (Surah al-Naml: 73).

Jasa

Sebab itu sesiapa yang berbuat jasa agar tidak dilupai, dia mungkin kecewa pada akhir hayatnya. Namun yang berbuat jasa kerana Allah Yang Maha Esa lalu mengharapkan ganjaran-Nya tidak akan merana jiwa. Biarlah manusia melupakan, namun Tuhan tidak pernah mengecewakan hamba-hamba-Nya yang jujur. Maka seorang pejuang mestilah terlebih dahulu membetulkan titik tolak ini dalam hidupnya. Nabi s.a.w. apabila ditanya: "Seseorang yang berperang untuk mendapatkan harta rampasan, seseorang yang berperang agar dipuji dan seseorang yang berperang untuk memperlihatkan kehebatannya, siapakah di antara mereka yang berada di jalan Allah?” Rasulullah menjawab: Sesiapa yang berperang untuk meninggikan kalimah Allah (tertegak), maka dia berada di jalan Allah. (Riwayat al-Bukhari dan Muslim).

Jika titik tolak ini tidak dibetulkan, hidup kita akan dipenuhi kekecewaan. Seperti seorang ibu atau bapa jika dia membesarkan anak hanya kerana inginkan jasa dikenang, tentu dia akan kecewa, jika yang berlaku sebaliknya. Namun, jika pada awal lagi dia merasakan membesarkan anak dengan penuh tanggungjawab adalah perintah Allah yang mesti ditunaikan, maka apa pun yang berlaku, perasaan kecewa dapat diringankan. Walaupun tidak dinafikan perasaan keinsanan itu tetap akan mengguris kalbu. Namun mengingati keadilan Allah dapat merubat jiwa yang parah.

Justeru, bagi para pejuang umat, atau pemberi sumbangan jasa kepada umat manusia, ubat paling utama untuk dibekalkan dalam jiwa adalah keikhlasan dengan mengharapkan pahala dari Allah dalam semua gerak kerja. Jika tidak kita akan menjadi seperti ulama-ulama pengampu yang berjuang untuk pangkat, nama dan perdampingan dengan orang besar. Apabila semua itu hilang, bicara kekecewaan kedengaran. Mereka bagaikan 'kupang temaga' yang tidak ingin dikutip oleh sesiapa, kerana agenda mereka adalah keredaan manusia. Jika ada yang mempunyai nilai hipokrit yang sama, mungkin mereka mempunyai ruang berkongsi kepentingan.

Demikian juga orang-orang politik, yang kecewa kerana jasa mereka tidak disebut orang. Mereka membawa hati yang gundah dan resah. Jika mereka menjadikan seluruh perjuangan itu ibadah kepada Allah, pasti mereka tidak akan kecewa terhadap Allah. Firman Allah: (maksudnya) Padahal mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepada-Nya, lagi tetap teguh di atas tauhid; dan supaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat. Dan yang demikian itulah agama yang benar (surah al-Baiyyinah: 5). Firman-Nya juga: (maksudnya) Dan katakanlah (Wahai Muhammad): Beramallah kamu (akan segala yang diperintahkan), maka Allah dan Rasul-Nya serta orang-orang yang beriman akan melihat apa yang kamu kerjakan; dan kamu akan dikembalikan kepada (Allah) yang mengetahui perkara-perkara yang ghaib dan yang nyata, kemudian Dia menerangkan kepada kamu apa Yang kamu telah kerjakan. (Surah al-Taubah: 105).

Perjuangan pula selalu menuntut pengorbanan. Tanpa pengorbanan tidak dinamakan perjuangan. Maka bagi saya, wakil- wakil rakyat yang menjadikan kerusi mereka untuk menambahkan kekayaan tidak layak mendabik dada pada hari kemerdekaan sebagai pejuang rakyat. Para pejuang melakukan agenda perjuangan tanpa kepentingan. Saya menghormati usaha Menteri Besar Perlis apabila mengumpulkan ribuan rakyat saban malam pada bulan Ramadan dan mengajar mereka agar membetulkan solat dan kefahaman agama. Itu sebagai agenda utama tahun ini. Saban malam saya terpaksa berceramah untuk puluhan ribu rakyat Perlis dan luar Perlis sejak awal Ramadan sehingga ke akhirnya. Mereka diberikan sumbangan namun terlebih dahulu mestilah mendengar penjelasan mengenai hakikat Islam. Membetulkan solat sekalian rakyat, tidak memberikan faedah kewangan dan politik. Namun ia mempunyai nilai besar di sisi Allah. Jika ada pemimpin politik yang memikir soal solat dan kefahaman agama rakyatnya, ini amat dihargai di zaman ini. Orang politik jika semua gerak kerja hanya memikirkan kepentingan pilihan raya, maka rakyat akan rosak. Mereka mungkin mengutamakan perkara yang tidak utama dan membelakangkan perkara yang utama hanya kerana politik pilihan raya. Itu bukan perjuangan rakyat dan umat, sebaliknya perjuangan politik kepartian atau peribadi. Bukan politik untuk rakyat, tetapi rakyat dipolitik untuk kepentingan sendiri.

Sama juga, tanpa kejujuran niat, maki hamun orang semasa kempen politik pun dibuat atas nama agama. Saya pernah bertanya mereka yang bermazhab 'suka memaki orang apabila berceramah': Jika Rasulullah masih hidup dan melihat anda berceramah politik agama seperti ini, adakah anda rasa baginda bangga dan memuji makian anda? Atau baginda akan berkata: Ini bukan caraku. Dalam hadis al-Imam al-Bukhari daripada Anas bin Malik katanya: “Bukanlah Nabi s.a.w. itu seorang pemaki orang, tidak juga seorang pengucap kekejian dan bukan seorang pelaknat orang lain.” Namun apabila kepentingan mengatasi kejujuran, agama yang murni dijadikan sandaran untuk cercaan.

Perjuangan umat hendaklah bebas dari ini semua. Perjuangan adalah ketulusan dalam melakukan pengorbanan. Dalam bulan Ramadan yang baru dua hari kita meninggalkannya, banyak mendidik kita erti perjuangan. Malangnya, belum pun Ramadan bermula, media dan iklan mengajak kita beriang-ria pada hari raya. Seakan pemergian Ramadan begitu diharapkan. Maka masyarakat lebih sibuk bersiap menyambut hari raya dari bersiap memenuhi erti Ramadan. Memang benar hari raya adalah hari kegembiraan. Namun ia datang setelah kita merentasi Ramadan dengan kejayaan. Kita merayakan hari raya atas arahan Allah: (maksudnya) Bulan Ramadan yang padanya diturunkan al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia, dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah.

Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan, maka hendaklah dia berpuasa dan sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka, kemudian wajiblah dia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu pada hari-hari yang lain. (dengan ketetapan yang demikian itu) Allah mengehendaki kamu beroleh kemudahan dan Dia tidak mengehendaki kamu menanggung kesukaran. dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa (sebulan Ramadan) dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat petunjuk-Nya dan supaya kamu bersyukur. (Surah al-Baqarah: 185). Maka hari raya hari membesarkan Allah dan hari kegembiraan. Orang bukan Islam boleh berkongsi kegembiraan dengan kaum muslimin, tetapi bukan berkongsi hakikat hari raya yang merupakan syiar dan perintah ibadah agama kepada kita.

Kekuatan

Nabi bersolat hari raya di tanah lapang seperti disebut dalam hadis-hadis. Supaya memperlihatkan syiar kekuatan dan kemenangan buat umat ini. Justeru itu, semua insan muslim disuruh menghadiri perhimpunan solat hari raya baginda, termasuk anak dara dan wanita haid. Kata Umm Atiyyah: “Rasulullah memerintahkan kami (kaum wanita) keluar pada hari raya fitri dan adha; termasuk para gadis, wanita haid, anak dara sunti. Adapun mereka yang haid tidak menunaikan solat tetapi menyertai kebaikan dan seruan kaum muslimin.” (riwayat al-Bukhari). Inilah kebaikan solat di tanah lapang. Membolehkan semua pihak menyertai dan lebih meriah serta menggambarkan kekuatan hubungan dan perpaduan kaum muslimin. Namun apabila kita yang meninggalkan sunah ini, ramailah yang tidak dapat menyertai perhimpunan hari raya yang penting itu terutamanya kaum wanita. Satu perkara yang patut diberikan perhatian, hari raya kita selalu digambarkan dengan hari kesedihan bukan kemenangan. Media hiburan turut menggembar-gemburkan keadaan itu. Maka hari raya asyik dikaitkan dengan air mata. Memang, kesedihan kadangkala hadir tanpa diduga. Atau keadaan tertentu menyebabkan kesedihan. Namun mewujudkan suasana dan irama sedih tidak sepatutnya disengajakan dalam menyambut hari raya. Sehingga takbir pun dengan nada kesedihan. Sepatutnya dengan nada yang bersemangat kemenangan.

Peperangan Badar adalah peristiwa penting bulan Ramadan. Tiga ratus tiga belas atau beberapa – ahli sejarah berbeza pendapat – tentera muslimin dapat mengalahkan seribu lebih tentera musyrikin. Namun saya suka melihat di sudut yang lain. Dalam peperangan Allah menyebut: (maksudnya): (ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu ia perkenankan permohonan kamu: Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) dari malaikat yang datang berturut-turut. (Surah al-Anfal: 9).

Cubalah bayangkan jika 1,000 malaikat bertempur dengan 1,000 tentera musyrikin. Berapa ramai tentera musyrikin yang akan maut? Sudah pasti kesemua mereka. Bahkan akar umbi tentera mereka di Mekah juga akan hancur. Namun hal ini tidak berlaku. Empat belas tentera muslimin syahid, 70 tentera Quraisy mati dan 70 ditawan. Sebabnya, kedatangan malaikat adalah bagi memberikan ketenangan dan bantuan memastikan kemenangan. Namun kemenangan hakiki tidak berlaku secara percuma. Pertolongan Allah disukat dengan kadar kesungguhan dan usaha. Kemenangan yang diberikan Allah mestilah berlaku dengan usaha orang Islam sendiri. Jika itulah peristiwa Badar yang Nabi dan malaikat turut serta, tidak diberikan kemenangan percuma melainkan dengan usaha dan pengorbanan. Adakah umat Islam hari ini boleh memartabatkan kembali maruah umat dengan hanya mengeluarkan air jampi atau berdoa semata tanpa usaha pada tahap yang dituntut? Ini mustahil. Firman Allah: (maksudnya) Wahai orang- orang yang beriman, kalau kamu menolong (agama) Allah nescaya Allah menolong kamu (untuk mencapai kemenangan) dan meneguhkan tapak pendirian kamu. (Surah Muhammad: 7). Oleh kerana kita tidak menolong agama Allah dalam erti kata yang sebenar, maka kita tidak ditolong dalam mencapai kemenangan.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)