• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Perlu Kuat Mental, Fizikal

Oleh Mohd Fadly Samsudin

ZAMAN datuk nenek moyang, menunaikan haji di tanah suci Makkah dan Madinah adalah kemuncak kehidupan mereka.

Ketika itu tiada kemudahan seperti sekarang dan terpaksa menggunakan kapal laut.

Perjalanan mengambil masa berbulan-bulan.

Itulah pengorbanan besar mereka.

Pengembaraan haji adalah perjalanan 'meleburkan' segala dosa silam serta berusaha menjadi insan lebih baik.

Ibadah haji menggerakkan hati kita untuk memupuk sifat mahmudah seperti berkasih sayang, bantu membantu, bersedekah dan menghindari sifat pembengis, suka bergaduh dan mencari kesalahan orang lain, kecewa, pentingkan diri sendiri, kedekut, mengumpat, mencaci dan sebagainya.

Perjalanan rohani yang lalui itu dikukuhkan lagi dengan harapan semoga Allah mengurniakan ganjaran paling terbesar iaitu haji mabrur.


Malang sekali mereka yang 'diberi' peluang mengunjungi Baitullah namun apabila pulang masih seperti dulu.


Perubahan diri yang diharap bukan berlaku dalam sekelip mata tetapi beransur-ansur.

Contohnya jika dulu mereka pantang ditegur, mudah naik angin, marah tetapi selepas menunaikan haji, sifat itu tiada lagi.

Bersedia menerima teguran, lembut hatinya, disenangi orang di sekelilingnya menjadikan seorang itu sudah menerbitkan nilai mulia untuk terus melakukan perubahan.

Haji tidak seperti ibadah lain dalam rukun Islam kerana ia menuntut pengorbanan dan cabaran yang besar.

Ada yang memikirkan haji adalah masa di mana ketika itu kurang berseronok dan masa sesuai 'bertaubat'.

Itu adalah pandangan salah kerana maut tidak ditetapkan bila buat diri kita.

Ibadah haji di tanah suci memerlukan seorang itu kuat mental, fizikal serta terdorong nafsunya.

Tujuan menunaikan haji bukan untuk berasa bangga membawa pulang gelaran haji pada pangkal nama sebaliknya bertambah ketaatan kita kepada Allah.

Beberapa larangan yang ditetapkan ketika melaksanakan ibadah haji bertujuan mendisiplin individu supaya mereka mengetahui matlamat sebenar ibadah haji.

Hanya mereka yang memiliki ilmu, keyakinan serta kesungguhan mengetahui hikmah dan falsafah haji.

Persiapan mental dan fizikal sangat mustahak kerana selama di kota Makkah dan Madinah mereka akan diuji pelbagai cabaran.

Contohnya, jemaah haji datang dari seluruh dunia, pasti mereka mempunyai pelbagai ragam selain berlainan bahasa, budaya, tradisi dan karakter dengan kita.

Jika tidak bersedia, mungkin menghadapi masalah tekanan sehingga mengganggu kelancaran beribadah.

Sabar adalah sifat yang paling dituntut.

Elak diri daripada perkara 'jidal' iaitu pertengkaran atau perbalahan sepanjang berada di tanah suci.

Ia mungkin remeh tetapi kesannya cukup besar.

Rasulullah bersabda yang bermaksud, "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhir hendaklah berkata baik atau diam." Gunakan masa mengerjakan solat secara berjemaah, membaca al-Quran serta amalan tawaf sunat, umrah sehingga selesai menunaikan ibadat haji.

Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Kesalahan yang berlaku di antara umrah itu diampunkan, manakala haji mabrur pula tidak ada balasan baginya melainkan syurga." (Riwayat Imam Bukhari dan Muslim).

Ulama mengatakan haji mabrur tidak sesekali bercampur dengan perbuatan dosa sama ada kecil atau besar.

Kesan kepada peningkatan amal dan ibadah secara istiqamah selepas pulang mengerjakan haji menandakan ibadatnya diterima Allah.

Perwatakan 'pemilik' ganjaran haji mabrur sangat istimewa.

Mereka memperlihatkan perubahan dalam perbualan, pergaulan, tingkah laku dan cara berpakaian.

Cerminan terhadap orang yang baik sikap dan tingkah lakunya turut membabitkan tutur kata mereka.

Mereka tidak sesekali biadap atau celupar, memperlekehkan individu lain serta bangga dengan kehidupan dimilikinya.

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata untuk mencapai kesempurnaan dalam ibadah haji bukan perkara mudah kerana ganjaran yang disediakan Allah amat besar.

"Untuk mendapat sesuatu yang bernilai tinggi pasti memerlukan 'harga yang tinggi'.

Ia bukan sekadar melakukan kerana ramaii orang melakukan perkara sama.

"Tidak ramai mampu menghayati ibadah haji malah ramai jemaah haji sekadar menziarahi kota Makkah dan Madinah tanpa memperoleh pengajaran daripada ibadah yang ditunaikan itu," katanya.

Beliau berkata, persediaan terbaik memastikan mendapat haji mabrur ialah dengan bekalan ilmu secukupnya.

"Ilmu yang dipelajari perlu meliputi falsafah serta hikmah dalam kefarduan ibadah itu.

"Apabila hikmah dan falsafah dihayati, pasti seseorang tidak menunaikan haji sekadar menyempurnakan perlakuan tetapi menghayati dengan penuh keinsafan," katanya.

Rahimi berkata, haji mabrur menghapuskan dosa-dosa yang pernah dilakukan dan ia janji Allah kepada hamba-Nya yang bersungguh dalam amalannya.

"Jika direnung, ganjaran haji mabrur terhasil melalui penghayatan dalam perlakuan ibadah haji.

Ia membawa kepada kesedaran, keinsafan serta pembaikan diri.

"Ketiga-tiga perkara ini penting dalam proses taubat.

Apabila taubat diterima, pasti dosa terdahulu terhapus.

"Nabi pernah bersabda, sesiapa yang menunaikan haji kerana Allah kemudian tidak melakukan kerosakan dan tidak fasik, maka dia akan kembali seolah-olah baru dilahirkan ibunya," katanya.

Beliau berkata, menunaikan haji adalah rukun yang diikat dengan kemampuan seseorang individu terutama daripada kewangan, kesihatan, fizikal dan keselamatan.

"Konsep 'kemampuan' ini memang dibincang ulama.

Mereka menggariskan kriteria yang jelas bagi menilai seseorang itu termasuk dalam kategori 'mampu' atau 'tidak mampu'.

"Jika seseorang itu jelas termasuk dalam kategori tidak mampu, mereka diberi ruang pengecualian," katanya.

Menurutnya, kekuatan fizikal serta mental dalam melaksanakan haji perlu dan lebih baik menunaikannya di usia muda.

"Jika usia muda dikatakan kurang mampu dari sudut kewangan, ia sangat relatif dan bergantung kepada bagaimana seseorang itu menyusun keutamaan dalam hidup.

"Realitinya, ada orang pada zahirnya mampu tetapi mendakwa 'tidak mampu' manakala ada individu pada zahirnya 'tidak mampu' tetapi membuktikan mereka mampu menunaikan ibadah haji.

"Jadi rebutlah peluang ketika kekuatan fizikal masih kuat iaitu pada usia muda," katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)