• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Permulaan Solat Lima Waktu

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

BULAN Rejab mencatat dua peristiwa sedih dalam sejarah perjalanan hidup Rasulullah s.a.w (juga dikenali sebagai 'Aam al Huzni).

Dua peristiwa sedih itu ialah kematian isteri kesayangan, Siti Khadijah dan bapa saudaranya, Abu Talib.

Khadijah banyak berkorban harta benda dan wang ringgit bagi membantu berdakwah mengembangkan syiar Islam. Selepas Siti Khadijah meninggal dunia disusuli pula kematian Abu Talib yang begitu rapat dengan Baginda.

Abu Talib adalah orang yang sangat dihormati dan disegani di kalangan bangsa Arab menyebabkan orang kafir Quraisy tidak berani mengganggu Rasulullah.


Pemergian dua insan yang disayangi itu amat dirasakan Baginda. Selepas itu, pergerakan dakwah baginda di kota Makkah sering mendapat gangguan daripada orang kafir Quraisy.

Baginda mendapat tentangan, ejekan serta mendapat ancaman. Rasulullah akhirnya memutuskan untuk berhijrah ke Taif, tetapi malangnya di Taif juga Rasulullah turut menerima ejekan dan cacian daripada penduduk di sana.

Maka Rasulullah kembali semula ke Makkah. Penderitaan ditanggung Rasulullah ketika itu cukup berat dan melihatkan keadaan Baginda itu, Allah s.w.t memerintahkan Jibril membawanya menjalani peristiwa Israk Mikraj.

Peristiwa menakjubkan itu berlaku pada malam 27 Rejab tahun ke-11 kerasulan Baginda. Ia memberi hikmah dan pelajaran kepada Baginda, sekali gus menjadi cerminan buat umatnya pada masa akan datang.

Sememangnya peristiwa Israk dan Mikraj amat sukar dimengertikan. Namun ia membuktikan keagungan dan kekuasaan Allah yang menguasai seluruh alam ini termasuk langit dan bumi.

Hikmah yang terkandung di dalamnya perlu direnungi dengan teliti agar dapat memberi nilai tambah dalam kehidupan umat Islam untuk meningkatkan ketakwaan dan peningkatan ibadah kepada Allah.

Peristiwa itu dicatatkan di dalam al-Quran Surah Al-Isra' ayat 1 yang bermaksud: "Maha Suci Allah yang menjalankan hamba-Nya pada malam hari dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang Kami berkati sekelilingnya untuk diperlihatkan kepadanya tanda kekuasaan Kami. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui."

Menurut ulama, Israk dan Mikraj Nabi Muhammad itu adalah pergerakan roh dan jasadnya sekali. Ia bukannya satu mimpi, tetapi realiti di mana perkara berkenaan termasuk salah satu daripada mukjizat yang Allah kurniakan kepada Baginda.

Justeru, tidak mustahil bagi Allah untuk 'membenarkan' tubuh badan Rasulullah 'menembusi' tempat yang terlalu jauh di langit dengan melainkan dengan kehendak-Nya.

Israk bermakna perjalanan Nabi Muhammad pada suatu malam dari Masjidil Haram di Makkah ke Masjidil Aqsa di Palestin dalam tempoh semalaman saja.

Jelas dengan kekuasaan Allah, Dia berkuasa 'membenarkan' Baginda diangkat ke langit untuk bertemu-Nya dalam masa yang teramat singkat.

Sebelum itu, dada Rasulullah dibedah oleh malaikat Jibrail dan Mika'il. Hati Baginda dicuci dengan air zamzam kemudian dibuang ketul hitam (‘alaqah) iaitu tempat syaitan membisikkan was-wasnya.

Selepas pembedahan itu, bermulalah Israk Baginda dengan menaiki sejenis binatang iaitu yang dinamakan Buraq.

Menurut sarjana, kecepatan Buraq itu membolehkan Nabi Muhammad pergi antara dua tempat hanya dengan sekelip mata.

Dalam sebuah hadis Rasulullah yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik katanya: Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Aku didatangi Buraq iaitu seekor binatang yang berwarna putih rupanya, panjang (tinggi) lebih besar dari keldai, tetapi lebih kecil dari baghal. Ia merendahkan tubuhnya sehinggalah perut Buraq mencecah bumi."

Baginda bersabda lagi: "Tanpa membuang masa, aku terus menunggangnya, ia melangkah kakinya dengan cepat sejauh penghabisan mata memandang sehinggalah sampai ke Baitulmaqdis."

Semasa perjalanan dari Masjidil-Haram ke Masjidil Aqsa itu, Rasulullah diiringi Malaikat Jibrail dan Israfil.

Apabila tiba di tempat tertentu iaitu tempat yang mulia dan bersejarah, malaikat Jibril mengarahkan Rasulullah bersolat dua rakaat antaranya di Thaibah (Madinah) iaitu tempat Rasulullah melakukan hijrah, Bukit Tursina serta Baitul-Laham yakni tempat Nabi Isa dilahirkan.

Selepas itu, Rasulullah turun ke langit dunia semula seterusnya ke Baitulmaqdis dengan menunggang Buraq pulang ke Makkah pada malam yang sama.

Baginda kemudian naik pula ke langit sampai ke Sidratul Muntaha sehingga ke Mustawa dan sampai di bawah Arasy Allah dengan melalui tujuh lapis langit.

Selepas itu Baginda kembali semula ke Makkah. Bagi umat Islam, peristiwa terbabit membawa misi penting iaitu bermulalah kewajipan melaksanakan perintah menunaikan solat.

Ia menjadi permulaan mukjizat Rasulullah yang menjadi salah satu Rukun Islam.
Daripada Anas katanya: "Nabi Muhammad bersabda yang bermaksud: "...(Selain dari apa yang aku saksikan semasa aku dibawa Israk dan Mikraj pada malam itu), maka Allah fardukan (atasku) dan atas umatku lima puluh sembahyang... lalu aku memohon kepada-Nya (supaya dikurangkan lagi bilangan sembahyang itu yang telah pun dikurangkan sehingga tinggal lima sahaja); maka Allah berfirman yang bermaksud: 'Sembahyang fardu (sehari semalam) itu tetap lima (dari segi bilangannya) dan ia juga tetap lima puluh (dari segi pahalanya); keputusan-Ku itu tidak dapat diubah atau ditukar ganti.'" (Hadis riwayat Bukhari)

Dalam 'pengembaraan' luar biasa itu juga Rasulullah menyaksikan banyak perkara dahsyat terutama balasan yang diterima manusia akibat melakukan kemungkaran di dunia.

Antaranya Nabi Muhammad melihat wanita digantung dengan rambutnya dan otak di kepalanya mendidih kerana tidak mahu melindungi rambutnya daripada dilihat lelaki lain.

Wanita yang digantung dengan lidahnya dan tangannya dikeluarkan daripada punggung, minyak panas dituangkan ke dalam kerongkong kerana mereka suka menyakiti hati suami.

Ada wanita digantung buah dadanya dari arah punggung dan air pokok zakum dituang ke dalam kerongkongnya kerana perempuan itu menyusui anak orang lain tanpa keizinan suaminya.

Kemudian, wanita yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka akibat mereka suka memasyhurkan diri supaya orang melihat perhiasannya.

Begitulah antara seksaan yang menimpa wanita ketika peristiwa Nabi Muhammad melakukan Israk dan Mikraj. Ia membuatkan Rasulullah berasa sangat sedih setiap kali mengenangkan peristiwa berkenaan.

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata sebelum Nabi Muhmmad melakukan Israk dan Mikraj hati Baginda dibersihkan menunjukkan bahawa hati adalah elemen penting dalam kehidupan manusia.

Untuk menerima satu tanggungjawab besar seseorang itu perlu memiliki hati yang bersih dan bersemangat kental.

"Pembentukan individu hebat tidak cukup sekadar membabitkan pengetahuan, kemahiran, fizikal semata-mata, tetapi memerlukan kepada pembentukan hati yakni jiwa dan rohani," katanya.

Beliau berkata kehilangan dua insan yang menjadi tulang belakang kepada Baginda sudah tentu memberi kesan psikologi yang mendalam.

Pada tahun ke-11 kerasulan Nabi Muhammad s.a.w, Baginda menghadapi dua musibah akibat kehilangan dua insan paling berjasa dan disayanginya.

Dalam melalui kehidupan apatah lagi melaksanakan pelbagai amanah dan tanggungjawab bermacam dugaan terpaksa dihadapi.

"Melalui peristiwa Israk dan Mikraj, ia bukan sekadar perjalanan untuk berlibur, tetapi Rasulullah menerima satu tanggungjawab besar untuk dilaksanakan Baginda dan umatnya iaitu fardu solat," katanya.

Rahimi berkata secara analoginya perjalanan itu boleh dikatakan sebagai satu bentuk lawatan sambil belajar yang dilalui Baginda.

Sesuatu perjalanan tidak dinafikan boleh membangkitkan kegembiraan dalam jiwa seseorang.

"Tetapi apa yang dilalui baginda ialah setiap langkah dalam perjalanan itu mengandungi unsur pengajaran, pemberitahuan bahkan petunjuk kepada baginda melaksanakan amanah dakwah," katanya.

Beliau berkata berdasarkan riwayat permohonan untuk mengurangkan kuantiti solat yang diwajibkan ke atas umat ini bukanlah dilakukan berdasarkan kehendak Baginda sendiri, tetapi berdasarkan nasihat beberapa orang rasul terdahulu.

Nasihat itu mungkin timbul daripada kesedaran mereka mengenai karakter umat akhir zaman ini dan Baginda sendiri dapat menjangkakan keadaan umatnya sendiri.

"Jadi, permohonan itu adalah tanda kasih sayang Baginda kepada kita sebagai umatnya. Jika Baginda tidak memohon kelonggaran itu sudah tentu ramai kalangan umat Baginda berhadapan dengan kemurkaan Allah disebabkan gagal memenuhi kewajipan yang menjadi tiang agama itu," katanya.

Rahimi berkata peristiwa Israk dan Mikraj menguji umat Islam sama ada percaya atau tidak kepada Baginda.

Ujian seumpama ini melahirkan dua kelompok manusia iaitu kelompok pertama yang beriman dengan Rasulullah setelah mereka yakin terhadap kebenaran peristiwa yang berlaku selepas mereka mengemukakan persoalan bertujuan mengukuhkan fakta yang disampaikan kepada mereka.

"Kelompok kedua pula ialah mereka yang semakin jauh dalam kesesatan apabila mendustakan perkhabaran yang disampaikan kepada mereka oleh Nabi Muhammad s.a.w," katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)