• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Perpaduan Ummah Bezakan Muslim Dengan Umat Lain

Oleh Hasliza Hassan
hasliza@bharian.com.my

Kesatuan cermin jiwa ketauhidan terserlah dalam aspek kehidupan

PENGUKUHAN akidah membabitkan usaha memperkasa iman dan ketakwaan yang menjadi unsur penting untuk menyusun hubungan dengan Allah serta hubungan sesama manusia perlu untuk menghasilkan tamadun Islam. Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS), Prof Datuk Dr Osman Bakar, berkata matlamat utama kepada pengukuhan akidah juga adalah untuk mencapai perpaduan ummah. Katanya, tinggi rendah kedudukan agama Islam pada mata orang Islam dan dunia luar bergantung kepada perpaduan ummah dan umat Islam perlu menjawab persoalan realiti hari ini apakah masyarakat sudah bersatu atau sebaliknya.

“Ada macam kecenderungan saudara Islam yang tidak wajar iaitu tidak bergantung kepada penghayatan hakiki tetapi bergantung pada apa yang ada atas kertas. Perlembagaan kata Islam agama rasmi tetapi itu bukan jaminan jika realitinya umat Islam berpecah belah.

“Oleh itu, orang Islam jangan hanya bergantung kepada perlembagaan tetapi kita harus lihat realiti yang berlaku dalam masyarakat,” katanya pada ‘Muzakarah Pendekatan Islam Hadhari: Satu Tinjauan’ anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) baru-baru ini.

Muzakarah dirasmikan Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi itu bertujuan meninjau pendekatan Islam Hadhari di Malaysia dan mengemukakan kaedah terbaik dalam penambahbaikan pelaksanaan pendekatan Islam Hadhari.
Dr Osman berkata, ummah yang bersatu akan menjadi kuat serta dinamis hingga mampu memancarkan Islam di segenap dunia seperti zaman dulu dengan ketamadunan Islam menjadi inspirasi kepada tamadun lain.

Beliau berkata, perpaduan penting untuk menonjolkan identiti dan jati diri ummah yang berbeza dengan umat lain kerana umat Islam berjiwa ketauhidan dapat dimanifestasikan daripada cara hidup masyarakatnya yang bertamadun.

“Kesatuan dan perpaduan ummah yang mencerminkan jiwa ketauhidan akan terserlah dalam se mua aspek kehidupan termasuk pendidikan, perundangan dan pembangunan sosial. Tetapi semua itu hanya berjaya dicapai dengan syarat ajaran Islam dihayati sebenar-benarnya,” katanya.

Beliau berkata, dalam al-Quran ada 80 ayat dimulakan dengan seruan Ilahi kepada orang beriman untuk melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan yang boleh ditafsirkan sebagai agenda individu serta kolektif kerana sebahagian ayat itu merujuk agenda kesatuan dan perpaduan ummah.

Antaranya ialah surah al-Imran, ayat 102 hingga 105, yang inti patinya menyeru supaya orang yang beriman bertakwa sebenar-benar takwa kepada Allah SWT dan jangan mati kecuali dalam keadaan Muslim selain diminta berpegang kepada tali Allah SWT yang membawa maksud supaya sentiasa bersatu-padu.

Malah, umat Islam diingatkan supaya tidak mengikut jejak masyarakat terdahulu yang hidup dalam keadaan berpecah-belah, sebaliknya menjadi umat menyeru kepada kebaikan dan menjauhkan segala kejahatan kerana itulah antara golongan yang beruntung.

Profesor Jabatan Usuluddin dan Perbandingan Agama Kuliyyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan (KIRKHS) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan, menggariskan enam prinsip dasar ke arah pemantapan kemajuan ummah.

Enam prinsip itu ialah: konsep kemajuan dalam pemikiran arus perdana; pemikiran pasca modenisme; kemajuan dalam konsep Islam yang menyeluruh; konsep kemajuan Islami; pemantapan kemajuan ummah dan ilmu pengetahuan masa kini.

Cabarannya ialah realiti hari ini memperlihatkan kelemahan, kesalahan dan kerosakan dalam tamadun moden manusia termasuk krisis moral yang semakin serius berkait rapat dengan paradigma ilmu pengetahuan masa kini yang dominan.

“Oleh kerana dominasi ilmu pengetahuan masa kini itu satu paradigma ilmu pengetahuan berteraskan alam semesta yang bersepadu, holistik dan tauhidik perlu diketengahkan dalam dunia umat Islam sendiri kemudian masyarakat luar dunia Islam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk ‘Proses Islamisasi Ilmu Pengetahuan Manusia Masa Kini (IIPMM) ke Arah Pemantapan Kemajuan Ummah: Satu Kerangka Ringkas Untuk Diskusi Agenda Besar.’

Dr Mohd Kamal berkata, cabaran besar hari ini ialah membangunkan ilmu pengetahuan daripada perspektif Islam membabitkan semua aspek kehidupan belum menampakkan hasil yang nyata dalam dunia realiti.

Katanya, proses IIPMM ibarat proses pembinaan tiang dan infrastruktur tamadun yang holistik serta tauhidik tetapi tiang itu tidak dipakai atau tidak mahu dipakai pembina bangunan atas alasan belum punya nama.

“Usaha membina tiang ini jika tidak dimanfaatkan akan tinggal sebagai usaha akademik semata-mata. Untuk berjaya, perlu sokongan daripada pihak berkuasa, pembuat dasar dan pemimpin negara serta sumbangan kewangan.

“Bagi mendapat sokongan, kita boleh menggunakan label tidak kelihatan baru, aneh atau menakutkan dan tidak ada salahnya jika kita menampilkan jenama Pembangunan Ilmu Pengetahuan Masa Kini dari Perspektif Islam,” katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)