• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Persaudaraan Ummah Kian Longgar Angkara Nafsu

Oleh Wan Abd Rahim Wan Mohamad

Pangkat dan harta punca sengketa, seruan kasih sayang sesama mukmin tak lagi jadi pegangan

API ketika kecil menjadi kawan, apabila besar jadi lawan. Saudara mara hanya diingat ketika berada, bila miskin mungkin dilupa. Adik beradik cukup rapat ketika kecil, apabila dewasa ada yang dipencilkan. Pertalian keluarga semakin longgar, ikatan kian terlerai. Masing-masing sibuk memburu kemewahan dan kekayaan sedangkan Islam datang di dunia ini bukan sekadar memenuhi tuntutan itu tetapi mengumpul, memperkasa serta mempereratkan seluruh umat.

Allah berfirman bermaksud: "Sebenarnya seluruh orang mukmin itu adalah bersaudara." – (al-Hujarat ayat 10)

Seluruh mukmin itu bersaudara, seruannya kepada persamaan antara manusia. Harris Levy menulis, "Belum pernah kutemukan ajaran agama mana pun yang menyeru kepada persamaan antara manusia sekali pun kadang-kadang ada sebahagian agama yang berpura-pura dengan seruan itu."



Islam mengikat seluruh mukmin dengan suatu ikatan kuat iaitu persaudaraan. Seumpama cubit paha kiri paha kanan terasa sakitnya, tetapi kini paha kiri tercubit paha kanan tidak terasa sakitnya lantaran 'dibius' oleh nafsu. Dalam sepotong hadis Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Seharusnya kaum Muslimin itu nasihat menasihati dan berkasih-sayang di antara mereka bagaikan satu anggota badan. Jika menderita sebahagiannya maka menjalar ke anggota lain dan tidur pun terganggu sehingga hilang sakit itu."

Kini kebanyakan nasihat tidak lagi didengari, kasih sayang pula semakin sepi, satu anggota dari badan sudah terpisah, kiri dan kanan sudah terasing. Masing-masing hidup sendiri kau dan aku sudah berbeza kerana kubur lain-lain. Demikian apabila nafsu menguasai, manusia hilang akal dan pertimbangan. Pergeseran bagaikan rutin, pertelagahan dan sengketa sesama manusia bagai menuruti jejak nafsu dan iman yang tidak pernah sekata, bertelagah dan bersengketa walau tinggal bersama pada satu nyawa.

Umpama satu keluarga, ketika kecil makan sepinggan kepala ikan kering jadi rebutan. Bersantai bercanda bergurau senda sesekali berkelahi dan berbalah kemudian kembali bercantum bagai 'carik bulu ayam'. Apabila dewasa dan masing-masing sudah berkeluarga semua sudah berubah. Pinggan sudah terasing, kepala ikan kering tidak lagi jadi rebutan tetapi harta sekelumit pula jadi perbalahan.



Dalam al-Quran Allah berfirman maksudnya: "Bahawa sesungguhnya kehidupan dunia itu hanyalah permainan dan senda gurauan, perhiasan dan bermegah-megah antara sesama kamu, serta berlumba banyak kekayaan dan anak-anak, umpama hujan yang menakjubkan orang kafir melihat tumbuh tanamannya, kemudian itu menjadi kering dan engkau lihat kuning warnanya lalu menjadi hancur. Dan di akhirat kelak akan disediakan seksaan yang pedih (bagi orang yang bersalah), dan keampunan serta keredaan Allah (bagi orang yang mengerjakan kebajikan). Dan kehidupan dunia itu hanyalah kesenangan tipuan semata." – (Surah an-Nazi'at ayat 37-39)

Harta dan jawatan jadi rebutan sedangkan kehidupan ini cuma kesenangan tipuan serta gurauan dan perhiasan yang sementara. Sudah menjadi tabiat manusia yang tipis keimanan hidup memburu keindahan yang dipandang mata. Dalam al-Quran Allah ada berfirman bermaksud: "Telah dihiaskan bagi manusia itu mencintai hawa nafsu terhadap wanita, anak-anak, kekayaan yang melimpah ruah dari emas dan perak, kuda yang tangkas, ternakan dan sawah ladang. Itulah perhiasan kehidupan dunia." – (Al-Quran surah ali-Imran ayat 14)

Ada di antara kita yang melebihkan dunia malah terpesona dengan keindahannya lalu gemar mengejar pangkat kedudukan harta dan kekayaan sehingga sanggup menindas malah mencetus pergeseran dan perbalahan. Dalam al-Quran Allah berfirman maksudnya: "Barang siapa yang ingin kepada kehidupan dunia dan perhiasannya. Kami akan bayar secukup terhadap perbuatan di dunia dan mereka tidak akan dirugikan. Mereka tidak akan mendapat di akhirat kelak melainkan balasan api neraka, dan di sana tiada berguna segala apa yang mereka usahakan, dan sia-sialah apa yang telah mereka kerjakan dulu."

Demikian bila nafsu menawan iman, segalanya melalaikan malah membawa ke lembah kegilaan fitnah dan duka. Umar al-Khatab pernah berkata: "Tundukkan nafsu! Ia jahat, mengheretmu ke lembah keburukan. Kebenaran itu berat bagi seseorang, tapi yang jahat itu mudah. Tinggal kesalahan lebih ringan dan mudah daripada harus bertaubat. Betapa banyak pemandangan yang mengiurkan syahwat walaupun sesaat akhirnya membawa duka yang panjang."

Begitu juga Lukman al-Hakim pernah berpesan ujarnya: "Hai anakku! Pertama yang mesti kuperingatkan kepadamu adalah setiap orang itu ada nafsu. Jika kamu turuti dia, ia akan meminta yang lainnya. Sungguh syahwat itu bersembunyi di dalam hati seumpama persembunyian api dalam batu, jika dibakar menyala, jika ditinggalkan akan padam jua."

Nafsu yang menumbuhkan segala gejala di dalam kehidupan ini tidak hiraukan padahnya malah terus mendorong manusia bertindak melakukan maksiat dan kemungkaran. Dan kebanyakan manusia pula tidak mampu untuk menentang dan menyimpang kerana sering kali dianggap perjuangan itu hanya melawan sesama manusia, sedangkan Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Perangilah hawa nafsumu sebagaimana kamu semua memerangi musuh-musuhmu."

Sahabat tatkala pulang dari suatu peperangan berkata: "Kita telah kembali dari jihad kecil kepada jihad yang besar." Demikian pula Rasulullah pernah ditanya: "Manakah jihad yang lebih utama wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab dengan sabdanya yang bermaksud: "Jihadmu terhadap hawa nafsumu."

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)