• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Perubatan Islam Satu Dakwah

Oleh Mohd Fadly Samsudin

SEKARANG bukan perkara pelik jika pelbagai kejadian yang berpunca daripada gangguan jin dan syaitan berlaku dalam masyarakat kita.

Penyakit misteri dan gangguan ganjil seperti diserang histeria, dirasuk, terkena sihir serta penyakit saka tidak boleh disangkal kerana ia benar-benar boleh terjadi.

Bagi yang mengalaminya, mereka sanggup berhabisan wang dan masa mencari rawatan terbaik untuk pulih.

Penyakit itu memang tidak dapat dipulihkan dengan rawatan moden di hospital kerana ia bersangkut dengan kejadian alam ghaib.

Maka, individu yang layak menangani masalah itu hanya pengamal perubatan Islam atau bomoh.

Mutakhir, memang banyak iklan ditampal pada tiang atau pokok yang memberi perkhidmatan memulihkan pelbagai penyakit misteri.

Kita percaya dengan gangguan makhluk halus yang sentiasa mengganggu kehidupan manusia. Jadi, jika terkena dapatkan rawatan daripada mereka yang pakar dan mempunyai pengetahuan.

Banyak juga kes ada pihak cuba menipu dengan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan mengambil kesempatan mengenakan caj yang tidak masuk akal.

Akhirnya mereka merungut kerana wang habis, tetapi penyakit masih belum pulih.
Perubatan Islam tidak hanya tertumpu untuk merawat pesakit beragama Islam, tetapi untuk semua agama.

Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: "Setiap penyakit ada ubat melainkan penyakit tua dan mati."

Baginda amat mementingkan langkah pencegahan penyakit. Kaedah rawatan yang digunakan adalah berasaskan akidah dan nilai Islam.

Pada zaman kegemilangan Islam iaitu sekitar tahun 900 hingga 1300 masihi, empayar Islam berada di bawah pemerintahan khalifah yang melahirkan ramai cendikiawan dalam ilmu perubatan Islam antaranya Ibnu Sina, Ibnu Rusd, Al Raziz dan Al-Zahrawi.

Pengasas perubatan Islam ketika itu menjalankan banyak penyelidikan dan menulis buku yang kemudiannya diterjemahkan kepada pelbagai bahasa.

Perubatan Islam tidak mendapat perhatian berbanding ketika zaman pemerintahan khalifah kerana ramai yang masih tidak berkeyakinan.

Namun, persepsi sekarang mungkin berubah kerana semakin ramai mahu mencari kaedah rawatan Islam.

Perubatan Islam perlu berlandaskan ilmu serta amalan perubatan Islam. Mereka perlu memberi rawatan berdasarkan kepakaran dalam bidang perubatan dan faham hukum agama.

Kaedah rawatan bagi pesakit seperti pembedahan perlu dimulakan dengan doa kepada Allah.

Merawat pesakit juga perlu menggunakan pendekatan dakwah. Pamerkan tingkah laku mulia seperti senyum, ikhlas, sabar, rendah diri serta sentiasa menggembirakan pesakit serta keluarga mereka.

Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan, Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad, berkata jika ada pusat perubatan Islam mengenakan caj tinggi atau melampau, ia mungkin kalangan golongan yang mengambil kesempatan atau mementingkan diri sendiri.

"Golongan berkenaan bukan mempraktikkan 'perubatan Islam' atas dasar memenuhi tuntutan agama, tetapi mengambil kesempatan membuat keuntungan.

"Tindakan itu memberi gambaran yang tidak baik bukan sahaja kepada amalan perubatan Islam, tetapi kepada agama Islam," katanya.

Beliau berkata perbezaan antara pengamal perubatan Islam dan bomoh dalam konteks masyarakat kita ialah dari aspek bahasa saja.

"Bomoh ialah mereka yang mempraktikkan pendekatan tradisional dalam perubatan, malah ada yang mengamalkan cara bertentangan dengan syariat Islam.

"Pengamal perubatan Islam pula ialah golongan yang mempraktikkan perubatan berasaskan sumber dan kaedah dari ajaran Islam iaitu al-Quran dan Sunnah.

"Mereka dikenali sebagai 'tibb nabawi' atau perubatan nabawi, tetapi masyarakat perlu berhati-hati kerana ada golongan yang mendakwa mengamalkan perubatan Islam namun menyimpang daripada Islam," katanya.

Rahimi berkata asas kepada pelaksanaan perubatan Islam yang betul memerlukan kepada kefahaman aqidah yang kukuh dan tahu membezakan di antara benar serta syirik.

"Perubatan Islam bukan sekadar membacakan ayat al-Quran atau jampi dalam bahasa Arab, tetapi keyakinan terhadap kuasa Allah.

"Dalam melaksanakan sesuatu yang dikaitkan dengan Islam, ia bukan saja memerlukan kefahaman, prosedur atau ilmu teknikal, tetapi penghayatan falsafah di sebalik amalan berkenaan.

"Golongan yang mementingkan caj adalah mereka yang hanya mengetahui prosedur, tetapi tidak menghayati falsafah perubatan Islam yang menekankan konsep tolong menolong.

"Saya secara peribadi merasakan golongan ini mampu mendapat keuntungan lumayan di dunia.

"Sebagai hamba yang sekadar menghukum secara zahir boleh mempertikaikan keikhlasan mereka. Jika ikhlas menjadi asas penilaian, bagaimana pahala itu boleh dicapai," katanya.

Beliau berkata pengamal perubatan Islam perlu meletakkan ganjaran Allah sebagai matlamat utama, bukan keuntungan semata-mata.

"Caj boleh dikenakan, tetapi jangan sampai membebankan.

"Perubatan Islam adalah sebahagian daripada dakwah. Jika perubatan Islam dapat diamalkan secara berhikmah, ia memberi manfaat kepada masyarakat," katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)