• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Peter kini guru bahasa Arab

KENAPA awak selalu pakai begini?" tanya seorang pemuda kulit putih kepada rakan sekampus kerana tertarik dengan pakaian yang dianggapnya kelihatan sopan dengan ciri kewanitaan.

"Kami orang Islam sebab itu kami pakai begini," jelas sekumpulan gadis-gadis Melayu yang kelihatan manis bertudung yang tiba-tiba menyentap naluri Peter Wood Young untuk mengenali agama itu dan akhirnya memeluk Islam 20 tahun lalu.

Lelaki kurus berjambang yang memilih nama Muhammed Taha Abdullah ini berkata, tudung yang dipakai pelajar wanita Malaysia di Universiti Bridgeport, Connecticut, Amerika Syarikat itu telah mencetus rasa ingin tahunya ketika di hujung pengajian tahun pertamanya dalam jurusan fizik dan matematik.

"Saya tidak pernah dengar tentang Islam sebelum itu. Kalau ada pun secara tidak langsung melalui cerita pergolakan di Timur Tengah berkaitan minyak.

"Tetapi tidak ada yang konkrit. Pelajar wanita itu mengenalkan saya kepada beberapa pelajar lelaki Melayu yang lain yang menerangkan apa itu Islam," kata Muhammed Taha, 40.

Beliau kemudian berulang alik ke masjid bertanya tentang Islam. Para pelajar Malaysia menjawab segala persoalan yang bermain di fikiran dan menyedarkannya bahawa penganut Islam tidak menyembah sesiapa melainkan Allah kerana Dia Tuhan yang berhak disembah.

Menurutnya, bukan sesuatu yang pelik apabila beliau hanya mengambil masa tiga bulan sebelum mengambil keputusan memilih Islam setelah meneliti secara rasional.

"Realitinya Allah menjadikan manusia untuk menyembah-Nya. Jadi apabila anda mendengar 'kebenaran', hati anda tidak akan berupaya menolaknya walaupun sepanjang hidup anda disuapkan fakta yang palsu," kata Muhammed Taha.

Beliau diIslamkan oleh pelajar dari Kelantan, Mazri Yaakub dan Sufian Ismail pada tahun 1988.

Muhammed Taha telah berada di negeri Serambi Mekah sejak 15 tahun lalu dan berkhidmat sebagai guru bahasa Arab dengan menggunakan pendekatan mudah.

Anak bongsu kepada pasangan jurutera dan profesor universiti ini tidak menghadapi tentangan daripada ibu bapanya walaupun hanya memberitahu tentang anutan barunya setelah memeluk Islam beberapa ketika.

"Saya beritahu ibu, Connie Young, hasrat saya untuk berkahwin dengan isteri, Norliza Ghazali. Ibu pada mulanya terkejut dan bertanya adakah saya memeluk Islam kerana hendak berkahwin kerana dia boleh mencari wanita yang lebih cantik.

"Apabila saya menerangkan saya ikhlas memilih Islam sebagai pedoman hidup, dia tidak marah dan berharap saya istiqamah dengan pegangan saya," kata Muhammed Taha.

Beliau berkahwin dengan Norliza pada tahun 1990. Norliza, 44, yang berasal dari Kampung Sanggang, Temerloh, Pahang yang ketika itu menyiapkan pengajian sarjana dalam Perniagaan Antarabangsa di universiti yang sama.

Walau bagaimanapun, pasangan suami isteri ini tidak menyempurnakan pengajian masing-masing di Bridgeport.

Muhammed Taha berhenti apabila mendapat tawaran belajar bahasa Arab di Universiti Islam Madinah, Arab Saudi dan membawa Norliza bersamanya dari tahun 1991 hingga 1994.

"Ibu saya juga yang menggalakkan saya ke Madinah. Kebetulan Universiti Bridgeport berdepan dengan masalah kewangan dan mogok kakitangan maka saya nekad berhenti dan mengambil peluang dari program biasiswa yang disediakan untuk orang yang baru memeluk Islam," katanya.

Hasil perkongsian hidup dengan Norliza, mereka dikurniakan sembilan anak yang berusia antara 17 hingga 5 tahun.

Muhammed memilih Kelantan sebagai tempat menyebar ilmunya dalam bahasa Arab kerana percaya kecintaan tinggi penduduk di sini kepada bahasa al-Quran itu dan tertarik dengan suasana kehidupan.

"Seorang rakan mencadangkan nama saya kepada Guru Besar untuk mengajar di sebuah sekolah rendah Islam di Kota Bharu. Selepas beberapa bulan, saya membuka kelas bahasa Arab sendiri," katanya.

Beliau amat mengingati pengalamannya yang berupaya mendapat ijazah dalam jurusan bahasa Arab selepas tiga tahun belajar di Universiti Islam Madinah.

"Saya ke sana tanpa sebarang pengetahuan dalam bahasa ini. Pihak universiti menempatkan saya di asrama bersama-sama pelajar asing yang bukan penutur Inggeris, jadi kami terpaksa bercakap dalam Bahasa Arab.

"Bila keluar ke bandar Madinah juga kita mesti memaksa diri bercakap bahasa Arab. Ditambah dengan kelas tujuh jam sehari, dalam masa tiga bulan saya tidak ada masalah untuk faham dan berinteraksi dengan masyarakat sekitar," katanya.

Bagaimanapun, Muhammed Taha terkilan kerana di sebalik kebanjiran pelajar menuntut di sekolah agama dan aliran Arab di Malaysia, hanya sebilangan kecil yang dapat bertutur dan memahami bahasa ini dengan baik.

Katanya, menjadi pengetahuan umum bahawa ramai lepasan universiti Timur Tengah dari negara ini gugup untuk bercakap dalam bahasa Arab.

"Alhamdulillah di Malaysia boleh dikatakan semua anak-anak kecil sudah kenal huruf jawi dan membaca al-Quran dan ramai yang dimasukkan ke sekolah agama untuk belajar bahasa Arab tetapi hakikatnya hanya sedikit mampu berbicara dan memahaminya.

"Kita mengenalkan bahasa Arab sebagai satu subjek akademik, dan mengajarnya dengan tahap silibus sama seperti yang digunakan di negara Arab.

"Memang ia bagus tetapi kita perlu ingat bagi masyarakat Arab, ini adalah bahasa pertuturan seharian mereka," katanya.

"Sudah tentu tidak payah untuk penuntut di sana mengikuti pelajaran yang ada dalam buku teks mereka. Tetapi bagi yang bukan penutur asal, ia sukar untuk diikuti majoriti pelajar. Sistem yang dipakai mestilah sesuai, mudahkan ia, jangan susah-susahkan.

"Pensyarah saya di Universiti Islam Madinah, Dr. V. Abdul Rahim yang berasal dari Pakistan menggunakan kaedah yang sesuai untuk pelajar bukan penutur asal bahasa Arab.

"Kami kenal bahasa Arab sebagai 'bahasa' dan bukan subjek akademik semata-mata," katanya lagi.

Beliau sentiasa berhubung dengan bekas pensyarahnya memikirkan cara terbaik untuk mengajar kepada orang bukan penutur asal bahasa Arab.

Dr V. Abdul Rahim kini adalah Pengarah Pusat Terjemahan Kompleks Percetakan Quran Al-Malik Fahd, Arab Saudi.

Usaha Muhammed Taha mengajar bahasa Arab selama 15 tahun tidak sia-sia kerana sehingga kini beliau menjadi guru kepada hampir 1,000 orang terdiri daripada dari murid sekolah, doktor, peguam atau pesara.

"Beberapa bekas pelajar saya pula berupaya membuka pusat tuisyen bahasa Arab sendiri di Kelantan dan di Kuala Lumpur. Yang penting kita ajar bahasa ini untuk orang menguasainya bukan untuk menghafal kerana sijil," katanya yang menyewa sebuah rumah dekat pinggir bandar Kubang Kerian.

Anak-anaknya yang berusia antara 5 hingga 17 tahun berkomunikasi dalam bahasa Arab di rumah. Mereka sering menjadi harapan guru mewakili sekolah dalam pelbagai pertandingan.

Anak lelakinya yang sulung, Moosa, berjaya menjadi johan dalam syarahan bahasa Arab peringkat kebangsaan pada tahun 2007. Moosa bersekolah di salah sebuah sekolah agama premier di negeri ini.

Muhammed Taha menggelar dirinya 'Mat Saleh berkain pelikat' kerana gemar memakai sarung termasuk semasa keluarga membeli-belah, berhasrat untuk kekal di Kelantan sehingga ke akhir hayatnya.

Katanya, beliau puas dengan kehidupan sederhana yang dimilikinya di sini. Hubungan dengan ibu bapa di Amerika dan abangnya di Britain tetap mesra.

"Namun, hati saya tetap gundah selagi mereka belum menganut Islam," kata beliau.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)