• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Piagam Madinah Model Terbaik Bina Keharmonian

Oleh Mohd Shahrizal Nasir

KEJAYAAN Rasulullah SAW membina sebuah negara Islam terdiri daripada masyarakat berbilang kaum serta kepercayaan membuktikan Islam, agama yang menitikberatkan soal perpaduan dan kesejahteraan.

Sejarah membuktikan sebuah negara Islam bukanlah bermaksud semua warganya memiliki pegangan agama yang satu. Titik persamaan dalam mencapai tuntutan hidup dijadikan asas pegangan kepada semua pihak untuk terus bersatu tanpa memikirkan perbezaan kepercayaan, fahaman, budaya dan asal keturunan.

Atas dasar untuk memenuhi keperluan dan tuntutan hidup, kita dibenarkan oleh syarak untuk bersatu dan bersepakat dengan masyarakat bukan Islam asalkan ia tidak menyentuh perkara membabitkan soal akidah.




Perlu difahami dengan jelas bahawa dalam soal akidah, tiada istilah tolak ansur menangani sebarang isu berkaitannya. Mengetepikan soal akidah serta bersikap sambil lewa mengenainya bermakna seseorang itu sudah tergelincir daripada landasan Islam.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan aku tidak akan beribadat secara kamu beribadat. Dan kamu pula tidak mahu beribadat secara aku beribadat. Bagi kamu agama kamu, dan bagiku agamaku." (Surah al-Kafirun, ayat 4-6)

Masyarakat Islam, Yahudi dan juga golongan Munafik yang mendiami bumi Madinah disatukan melalui piagam yang cukup penting dengan situasi dan keperluan mereka iaitu Piagam Madinah yang menghendaki setiap individu menjadikan keamanan dan kesejahteraan negara sebagai keutamaan.

Masyarakat bukan Islam yang terdiri daripada tiga kaum utama Yahudi di Madinah iaitu bani Nadhir, Qainuqa' dan Quraizah diberi perlindungan serta kebenaran mengamalkan kepercayaan masing-masing selagi semua terima Piagam Madinah dituruti dan dipatuhi.

Kerangka sebuah negara Islam Madinah seharusnya dijadikan contoh ikutan kerana ia sangat praktikal untuk negara Malaysia yang terdiri daripada masyarakat majmuk berbilang agama, bangsa dan keturunan.

Setiap anggota masyarakat haruslah sentiasa menjadikan kestabilan dan keamanan negara sebagai satu keutamaan dalam kehidupan bermasyarakat. Keadaan inilah yang menjadi antara inti pati kandungan Piagam Madinah yang digariskan oleh Rasulullah SAW satu ketika dulu.

Mengukuhkan perpaduan masyarakat pelbagai bangsa dalam konteks Malaysia ini, umat Islam tidak harus alpa terhadap keperluan untuk mengukuhkan hubungan persaudaraan sesama saudara Islam yang ditunjangi oleh asas akidah Islamiah.

Sesungguhnya, pengukuhan ikatan persaudaraan sesama Islam berkait rapat dengan kebahagiaan hidup ukhrawi. Firman Allah yang bermaksud: "Dan sesungguhnya agama Islam ini ialah agama kamu, agama yang satu asas pokoknya, dan Aku-lah Tuhan kamu; maka bertaqwalah kamu kepada-Ku." (Surah al-Mu'minun, ayat 52)

Tidak dapat dinafikan sikap tolong menolong dan bantu membantu antara satu sama lain adalah antara perkara yang boleh mengukuhkan perpaduan ummah. Allah menggesa umat Islam sentiasa mempraktikkan amalan mulia ini dalam kehidupan demi mencapai kebahagiaan hidup bermasyarakat.

Firman Allah yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan, dan bertakwalah kepada Allah, kerana sesungguhnya Allah Maha Berat azab seksa-Nya (bagi sesiapa yang melanggar perintah-Nya)." (Surah al-Maidah, ayat 2)

Oleh itu, tanggungjawab umat Islam amat besar untuk membantu sesama umat Islam yang berada dalam keadaan memerlukan. Selain itu, umat Islam turut berperanan dan bertanggungjawab membantu mereka yang bukan Islam atas dasar keprihatinan dan kemanusiaan.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain, tidak menzaliminya dan tidak membiarkan ia dizalimi. Barang siapa yang berusaha untuk memenuhi hajat saudaranya, maka Allah akan membantu dan mempermudahkan hajatnya." (Hadis riwayat Muslim)

Sesungguhnya tiada cara lain bagi mengeratkan tali persaudaraan dan perpaduan umat Islam selain daripada sentiasa berpegang teguh kepada ajaran Islam, agama yang menjamin kebahagiaan dan kesejahteraan hidup di dunia serta akhira t.

Renungilah pepatah Melayu, 'bersatu teguh bercerai roboh', yang bertepatan dengan firman Allah yang bermaksud: "Dan berpegang teguhlah kamu kepada tali Allah (agama Islam), dan jangan lah kamu berpecah-belah." (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Hanya dengan bersatu padu, umat Islam akan terus dipandang tinggi dan mulia. Sebaliknya jika umat Islam terus berbalah dan bersengketa, maka umat Islam akan menjadi lemah disebabkan fitnah yang tercetus, natijah daripada sikap dan tingkah laku umat Islam sendiri.

Persoalan yang perlu sama-sama kita muhasabah ialah sanggupkah kita mensia-siakan segala pengorbanan Rasulullah SAW untuk melihat Islam terus berkembang dan dipandang mulia. Marilah menjaga semangat persaudaraan supaya kesejahteraan terjamin dan keharmonian terpelihara.





Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)