• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Poligami Rendahkan Martabat

POLIGAMI satu isu yang tidak pernah reda apa lagi padam dalam arena kehidupan manusia, malah topik ini sentiasa segar diperbualkan khususnya di kalangan kaum lelaki yang ingin menambah bilangan isteri.

''Namun pada saya bab orang lelaki hendak berpoligami hingga empat sekali pun, itu sudah menjadi lumrah alam dan menjadi hiburan yang menyeronokkan terutama apabila mereka bercerita dan satu-satu kumpulan. Tambahan pula jika si tukang cerita adalah kalangan mereka yang mendakwa bahagianya berpoligami.

''Walau apa pun tujuan saya bercerita di ruangan DCCK ini adalah untuk melahirkan rasa terkejut dan meluat saya apabila membaca tajuk-tajuk akhbar baru-baru ini tentang usaha beberapa orang wanita yang berpoligami ingin menubuhkan sebuah persatuan khusus untuk membantu wanita yang dipoligamikan.

''Tujuan persatuan ini menurut penganjur persatuan itu adalah untuk memudahkan lelaki yang ingin berpoligami dan wanita yang bakal dipoligamikan supaya mereka tidak menghadapi masalah dalam proses berpoligami selain untuk memudahkan lagi kehidupan mereka yang berpoligami.'' Demikian menurut Rostina dalam e-melnya kepada penulis.

''Pada pandangan saya tujuan menubuhkan persatuan poligami itu seolah-olah merendahkan lagi taraf dan martabah kaum wanita. Jelas sekali lahirnya kaum wanita di muka bumi ini semata-mata untuk menjadi tempat pelepas nafsu kaum lelaki di samping menjadi kilang untuk melahirkan anak.

''Persatuan itu bukan sahaja merendahkan martabat kaum wanita, bahkan merendahkan lagi maruah kaum lelaki bahawa hidup mereka di dunia ini tidak ada lain selain memikirkan soal seks sahaja, tidak lebih daripada itu.

''Tidak dinafikan ramai lelaki Melayu di negara ini bagaikan berebut menambahkan bilangan isteri. Kalau tidak diizinkan berkahwin di tempat sendiri, mereka akan bekerja keras untuk mencapai hasratnya, walaupun terpaksa kahwin lari ke Siam, ke Batam ke Medan dan sebagainya asalkan hasrat mereka terlaksana.

''Kalau gagal juga mereka akan mencari seks secara haram seperti melanggan pelacur, melakukan sumbang mahram, merogol dan banyak lagi.

''Sebagai wanita, dan juga seorang ibu yang mempunyai anak-anak gadis yang bakal berkahwin, saya merasa sangat malu dengan situasi ini. Seolah-olah tujuan perkahwinan adalah untuk memperolehi wanita hanya untuk seks, memperoleh anak, melampiaskan nafsu, dan kepuasan lelaki semata-mata.

zuriat

''Pernahkah kita bertanya secara jujur terfikir apakah sebenarnya tujuan wanita apabila mereka ingin berumah tangga? Adakah tujuan seks, adakah ia semata-mata untuk mendapatkan zuriat. Saya rasa tidak sama sekali!

''Pada pandangan saya apabila melangkah ke alam rumahtangga, setiap wanita perlukan lelaki lebih sebagai pelindung, menjaga maruah diri dan keluarga dan paling utama mengeratkan hubungan antara dua keluarga dalam ikatan perkahwian yang murni.

''Wanita juga perlukan suami sebagai pembimbing untuk menjalani kehidupan bahagia, di samping menjalankan perintah Allah sebagai syarat utama.

''Tugas suami isteri tidak habis setakat tujuan seks semata-mata, sebaliknya tumpuan lebih kepada zuriat yang bakal lahir supaya menjadi insan kamil, insan solehah, berbudi luhur, menjadi manusia berguna kepada keluarga, agama dan negara.

''Masalahnya kepada sesetengah lelaki, bagi mereka wanita bukan setakat untuk dijadikan isteri, sebaliknya menjadikan wanita lebih sebagai tempat pemuas nafsu seks suami sahaja. Apabila tidak berpuas hati dengan isteri, ataupun kerana ada kesempatan lain, maka mereka dengan sesuka hati menambah isteri lagi.

''Saya rasa amat sedih, bila seorang lelaki yang pendapatan tak seberapa tetapi masih ingin berpoligami. Bila ini terjadi maka kehidupan anak-anak menjadi korban, pelajaran tak sampai ke mana, jiwa mereka tertekan terutama apabila kurang duit dan kasih sayang dari ayah. Apakah kita ingin melihat anak-anak bangsa kita hidup tak ketentuan hala? Merempat. Sedangkan kaum lain hidup lebih mewah daripada kita?

''Ketika ini masyarakat Islam kita amat tercabar, kita masih lemah dan mundur dalam ekonomi, golongan orang Melayu kaya tidak seberapa. Rata-rata ramai yang miskin, kalau tak percaya, lihat setiap musim pelajar melangkah ke IPTA mereka masih menagih bantuan kewangan. Ramai ayah lepas tangan malah mengharapkan bantuan kerajaan. Akibat lewat dapat PTPTN ramai yang tersadai tak dapat teruskan pengajian.

''Sedihnya bila hendak kahwin lagi ramai suami mengaku mampu banyak duit, tetapi bila anak nak melanjutkan pelajaran mereka terang-terang kata tak ada duit. Jelas mereka hanya mementingkan diri sendiri dan nafsu semata-mata. Sepatutnya kaum lelaki dan wanita yang ingin tubuhkan persatuan poligami ini berfikir dan memandang ke hadapan lebih jauh lagi, lihatlah betapa payahnya anak-anak kaum kita hendak mengharung arus kehidupan yang semakin mencabar pada masa hadapan.

''Saya memikirkan sudah sampailah masanya kaum lelaki khasnya umat Islam di negara ini dan di mana sahaja berfikir dengan lebih luas lagi. Bahawa poligami bukanlah segala-galanya, sebaliknya masa hadapan anak-anak patutnya lebih diutamakan. Kerana mereka bakal menempuh kehidupan yang lebih mencabar lagi, jika tersalah langkah mereka akan menghadapi seribu satu macam masalah khususnya dalam ekonomi.

''Jika di zaman para nabi, dengan tiada sistem pengangkutan yang canggih, keadaan geografi yang kering di padang pasir dan dalam suasana perjalanan yang sukar, Memang tidak dinafikan poligami boleh diamalkan, lagipun mereka tinggal dalam kawasan yang sangat jauh, terpaksa mengembangkan ajaran Islam dan demi menambah keturunan.

''Sebaliknya di Malaysia, perjalanan dari Utara ke Selatan tidak sampai enam jam, tambahan sudah banyak tambang kapalterbang murah, jadi apakah perlunya poligami. Bila memikirkan isu ini, kadang kala saya terfikir bahawa kaum lelaki ini tidak ada lain yang mereka fikirkan selain seks dan poligami.

''Sepatutnya sebagai ayah dan ketua keluarga mereka berfikiran dan berpandangan jauh tentang masa depan anak-anak mereka. Apakah anak-anak mendapat pelajaran secukupnya, apakah kedudukan ekonomi mereka sudah kukuh. Apakah bekalan yang bakal mereka tinggalkan untuk anak-anak pewaris agama dan bangsa mereka nanti.

''Dalam kehiduapan masyarakat Melayu beragama Islam kita hari ini mereka tidak ada kekuatan ekonomi. Hidup sentiasa memerlukan bantuan kerajaan. Sampai bila harus begini, apakah kaum lelaki tidak terfikir tentang masa depan anak-anak mereka?

''Sepatutnya sebagai ayah kehidupan anak-anak didahulukan, bukan hanya berfikir bagaimana cara mudah berpoligami dan kepada kaum wanita fikirkanlah nasib anak-anak bukan berpesatuan untuk mengamankan hidup isteri-isteri yang berpoligami.

''Wahai kaum lelaki, bukalah mata, bangkitlah berfikirlah lebih matang demi anak-anak, bangsa Melayu dan agama Islam kita pada masa depan.'' Demikian cerita Rostina panjang lebar.

Walaupun ramai kaum lelaki tidak setuju dengan pandangan Rostina, tetapi berfikirlah secara lebih terbuka bagaimana untuk meninggikan lagi ekonomi bangsa Melayu dan mengangkat tinggi martabat agama Islam kita supaya tidak dihina dan diperlekehkan oleh bangsa asing

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)