• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Puasa Didik Rohani Jauhi Sifat Keji

Oleh Nik Salida Suhaila Nik Salieh
salidasuhaila99@yahoo.com
Ramadan ajak ummah rasai keperitan hidup golongan kurang kemampuan

KESERONOKAN beramal pada Ramadan semakin terasa selepas lebih 10 hari berpuasa. Umat Islam juga mula memahami bahawa bukan berpuasa saja ibadah yang boleh dilakukan pada bulan rahmat ini, tetapi juga amalan lain seperti bersedekah, beriktikaf, bertadarus, menunaikan umrah dan qiyam pada malam sunyi, mudah-mudahan mendapat rahmat lailatul qadar dan sebagainya. Puasa juga mendidik rohani agar menjauhi semua sifat terkeji yang didalangi iblis.

Amalan bersedekah seperti memberi makan orang berbuka puasa, sudah menjadi rutin umat Islam. Dulu, amalan ini dilakukan kepada anak yatim dan golongan miskin, tetapi hari ini ramai dermawan menunaikan hajat dengan bersedekah di surau atau masjid tanpa mengira golongan disasarkan. Anak yatim dan orang miskin sudah mewah dengan juadah berbuka yang diadakan di hotel, bahkan mereka diberikan lagi duit raya walau Ramadan baru sehari dua.



Seperti dimaklumi, salafus salih seperti Abdullah bin Umar, Dawud Ath-Tha'i, Malik bin Dinar, Ahmad bin Hambal, Hasan Al-Bashri, Ibnul Mubarak dan lain-lain lagi sentiasa berlumba-lumba memberi makan dan mereka lebih mengutamakannya daripada ibadah lainnya sama ada dengan memberi makan orang lapar atau memberi makan saudara yang salih, bukan semata-mata seseorang fakir saja.

Keadaan ini berlarutan walaupun selepas Ramadan kerana nikmat berkasih sayang dengan membantu sesama mukmin mendekatkan diri mereka dengan Allah SWT. Dalam sebuah hadis diriwayatkan At-Timizi (dengan sanad hasan), Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Siapa saja di antara orang mukmin yang memberi makan saudaranya sesama mukmin yang lapar, nescaya Allah akan memberinya buah-buahan syurga. Siapa saja di antara orang mukmin memberi minum saudaranya sesama mukmin yang dahaga, nescaya Allah memberinya minuman Rahiqul Makhtum."

Sekiranya umat Islam menghayati nikmat kehambaan dan merasai manisnya iman kerana berbuat baik sesama Muslim, pasti semuanya tidak melepaskan peluang Ramadan kali ini untuk menunaikan hajat saudara yang kurang berkemampuan, atau sekurang-kurangnya mengurangkan beban orang susah.

Sikap bermurah hati pada Ramadan pula sangat terpuji, seperti Rasulullah SAW yang sangat dermawan, terutama pada Ramadan. Baginda juga menasihati sahabat supaya berkongsi kegembiraan dan rezeki dengan orang lain yang kurang berkemampuan merasai hidangan yang mereka hajati dan sukai kerana takutkan Allah semata-mata, bukan untuk sebarang balasan atau ucapan terima kasih. Firman Allah SWT dalam Surah Al-Insaan, yang bermaksud: "Dengan sebab (mereka menjaga diri dari kesalahan), maka Allah selamatkan mereka daripada kesengsaraan hari yang demikian keadaannya, serta memberikan kepada mereka keindahan yang berseri-seri (di muka) dan perasaan ria gembira (di hati). Dan kerana kesabaran mereka (mengerjakan suruhan Allah dan meninggalkan larangan-Nya), mereka dibalas oleh Allah dengan syurga dan (persalinan dari) sutera."

Orang melakukan sesuatu yang boleh menggembirakan orang lain kerana pemberian dan pengorbanannya tentulah lebih gembira daripada orang yang menerima. Kepuasan dirasai apabila melihat orang lain bahagia dengan apa diperoleh.

Dalam sebuah hadis diriwayatkan oleh Ahmad dan An-Nasai serta dinyatakan sahih oleh Al-Albani, Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Barang siapa menyediakan makanan berbuka bagi orang yang berpuasa, nescaya ia akan mendapat pahala seperti orang yang berpuasa tanpa mengurangi pahala orang berpuasa itu sedikit pun."

Tidak perlulah kita memberikan sedekah dalam jumlah besar jika berniat untuk menunjuk-nunjuk kebaikan kepada orang lain supaya dipuji, atau dikatakan baik hati, sedangkan tiada sedikit pun rasa kehambaan dalam diri. Orang yang ikhlas dalam menunaikan ibadah ialah orang yang seboleh mungkin cuba ingin berkongsi ketakwaannya dengan dirinya sendiri saja, bukan dengan orang lain.

Jika tidak mampu menghulur wang, cukuplah sekadar beberapa butir kurma, jika itu dapat mengurangkan beban orang yang tidak berkemampuan. Jika tidak mampu juga, mungkin tidak salah mengorbankan masa dan keringat, membantu menyediakan juadah dan menghidangkan makanan kepada orang berbuka puasa, moga-moga diterima Allah SWT sebagai amal ibadah dan sedekah. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh At-Tirmizi dari Anas r.a, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Seutama-utama sedekah adalah pada Ramadan."

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Undang-Undang dan Syariah Universiti Sains Islam Malaysia

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)