• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Puasa Kembalikan Manusia Kepada Fitrah

Muhamad Razak Idris

UMAT Islam masih bergembira menyambut Aidilfitri setelah menunaikan ibadah puasa. Persoalan yang perlu dibicarakan sekarang ialah apakah agenda seorang Muslim selepas Ramadan?

Hal ini penting ditelusuri kerana beberapa faktor. Pertama, ibadah berpuasa tidak harus dipandang secara terpisah daripada ibadah lain. Ini kerana ia mempunyai kesinambungan daripada misi keseluruhan ibadah di dalam Islam.

Kedua, perbincangan mengenainya akan memberi peringatan berterusan kepada umat Islam iaitu kejayaan melaksanakan ibadah berpuasa tidak bererti mereka sudah memenuhi keseluruhan maksud ibadah yang sebenar. Ibadah berpuasa mempunyai kesan atau implikasi sosial yang penting di dalam rangka menjayakan cita-cita besar agama Islam di muka bumi ini.




Apakah cita-cita besar agama Islam dan kaitannya dengan ibadah berpuasa? Sekiranya ditelusuri, cita-cita besar agama Islam ialah mengembalikan masyarakat kepada aturan hidup yang berasaskan kejadian fitrahnya. Bagi tujuan itu, ibadah berpuasa adalah salah satu proses yang perlu dilalui bagi mencapai cita-cita besar ini.

Sebagaimana yang dibahaskan oleh banyak tulisan, pelaksanaan ibadah puasa secara sempurna oleh seseorang Muslim akan memberi kesan besar di dalam mengembalikan diri kepada fitrah kejadiannya. Ibadah puasa ialah satu bentuk latihan kerohanian bagi membangunkan jiwa yang kental.

Sepanjang sebulan yang lalu, kita dilatih menahan diri daripada terjebak di dalam perbuatan yang bertentangan dengan aturan fitrah kehidupan. Di dalam perspektif agama, aturan fitrah ini dikenali sebagai syara’. Apabila seseorang itu dapat mengatur perjalanan hidupnya berasaskan syara’, ia bererti seseorang itu telah mengembalikan dirinya kepada kehidupannya yang fitrah.

Keupayaan kembali kepada fitrah adalah suatu kemenangan besar dari sudut kerohanian. Menerusi pandangan ini, sambutan Aidilfitri adalah sebahagian daripada manifestasi perayaan kemenangan diri insan kembali kepada fitrah kejadiannya.

Namun, apakah pula tugas dan peranan seseorang individu Muslim selepas berjaya mengembalikan dirinya kepada aturan fitrah kejadiannya? Sudah tentu mereka harus berusaha sedaya upaya pula untuk mengembalikan masyarakat dan kehidupan persekitarannya kepada aturan fitrah juga. Ia bererti seseorang Muslim itu hendaklah membabitkan diri di dalam memperbaiki dan memperbaharui masyarakat agar berada di dalam suatu aturan hidup yang disandarkan kepada hukum sosial dan alam yang bersifat sejagat.

Agenda mengembalikan masyarakat kepada aturan fitrah yang dimaksudkan adalah cita-cita dan misi utama penurunan agama Islam di muka bumi ini. Cita-cita bagi merealisasikan agenda ini diamanahkan kepada para nabi terdahulu. Kini, amanah ini menjadi tugas dan tanggungjawab kita semua sebagai warga umat Islam.

Di dalam sejarah awal perkembangan Islam di Makkah, agenda mengembalikan masyarakat kepada aturan fitrah terjelma di dalam usaha dakwah Nabi Muhammad SAW memperbaiki dan memperbaharui masyarakat Arab pada waktu itu yang terjebak dengan penyelewengan daripada aturan fitrah kehidupannya.

Fenomena penyelewengan daripada aturan fitrah ini dapat dilihat dalam aspek pencemaran dari sudut kepercayaan dan perleluasaan budaya hidup yang meruntuhkan. Amalan menjadikan berhala sebagai jelmaan tuhan yang disembah dan pemecahan masyarakat berasaskan warna kulit dan darjat kaum atau kabilah adalah antara contoh penyelewengan aturan fitrah yang dialami masyarakat Arab.

Proses mengembalikan semula masyarakat daripada fenomena penyelewengan ini kepada aturan fitrah dianjurkan Islam menerusi pengenalan semula prinsip kepercayaan yang lurus menerusi konsep Tuhan yang Esa atau ‘Tauhid’ dan mempertegaskan konsep perhubungan sosial bersandarkan prinsip kesaksamaan sesama manusia atau juga dikenali sebagai ‘Ummah’.

Dua konsep ini menjadi sebahagian tema utama dakwah dan misi kerasulan Nabi Muhammad kepada masyarakat Arab secara khusus dan umat manusia seluruhnya. Pada masa kini, tugas mengembalikan masyarakat kepada aturan fitrah bertambah kompleks dan mencabar.

Penyelewengan manusia daripada aturan fitrahnya meliputi segenap aspek seperti pemikiran, kebudayaan dan perhubungan sosial. Masyarakat dunia kini terdedah dengan pelbagai aliran berfikir dan ideologi. Sebahagiannya seperti ajaran sesat dan pemikiran dan cara hidup bebas boleh memberi mudarat kepada aturan fitrah kepercayaan serta kefahaman manusia mengenai Tuhan dan kehidupan.

Penyelewengan aturan fitrah juga tergambar di dalam permasalahan perbezaan taraf hidup yang melampau antara golongan kaya dan miskin. Kedapatan sesetengah masyarakat yang masih kekurangan sumber makanan dan peluang pendidikan manakala sesetengah yang lain bermewah dan berlebihan.

Keadaan yang sama juga dapat dilihat di dalam hubungan perseteruan antara kaum dan negara yang masih lagi berleluasa. Dunia hari ini masih lagi belum kesepian daripada masalah peperangan dan penjajahan. Dari segi kelestarian kehidupan, dunia kini sedang berdepan ancaman perubahan cuaca. Iklim dunia sudah tidak menentu lagi.

Kerakusan manusia terhadap sumber alam menyebabkan peningkatan bencana alam seperti banjir, ribut dan gempa bumi yang melampau. Kesemua ini adalah antara contoh permasalahan dan cabaran kehidupan moden yang menuntut pembabitan langsung umat Islam bagi proses pembaikan dan pembaharuan.

Ia sebahagian fenomena ketergelinciran kehidupan manusia daripada aturan fitrah kejadiannya.

Oleh kerana itu, tugas mengembalikan semula masyarakat kepada aturan fitrah adalah agenda terbesar ibadah bagi setiap Muslim. Semoga kita semua sudah bersedia terutama dari sudut ketahanan diri dan kekentalan jiwa setelah berjaya melepasi latihan rohani menerusi ibadah berpuasa sebulan yang lalu.

Marilah kita menyumbang usaha dan tenaga di dalam batas keupayaan yang kita miliki bagi menjayakan agenda dan misi besar agama Islam ini kepada seluruh masyarakat manusia di muka bumi ini.



Penulis ialah Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)