• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Puasa Ramadan Didik Ummah Sentiasa Beristiqamah

Oleh Engku Ahmad Zaki Engku Alwi

SELEPAS melaksanakan ibadat puasa sebulan Ramadan dengan penuh keimanan dan pengharapan kepada keredaan Allah, setiap Muslim seharusnya dapat merasai kesan dan hikmah yang sedia terhampar sepanjang yang penuh keberkatan itu. Secara umumnya, setiap Muslim bertakwa yang dapat menjalani ibadat puasa dengan sabar pastinya akan meraih keistimewaan dan kelebihan disediakan Allah.

Selanjutnya, setiap Muslim yang bertakwa pastinya akan memanjatkan syukur kerana di samping mereka dapat melaksanakan ibadat puasa, mereka juga dapat mengerjakan solat sunat Tarawih, Witir, bertadarus al-Quran, Tahajud, bersedekah, mengeluarkan zakat fitrah dan zakat harta, berpuasa sunat enam Syawal dan amalan sunat lain.

Ucapan syukur yang meniti di bibir orang yang beriman ini sudah tentulah bersandarkan kepada ganjaran pahala yang berlipat ganda yang dijanjikan Allah sepanjang Ramadan. Dengan erti kata lain, amalan sunat ditingkatkan Allah pahalanya kepada amalan fardu, sementara amalan fardu pula digandakan pahalanya sehingga 70 kali.



Di samping itu setiap Muslim yang menjalani ibadat puasa akan menyedari betapa tahap kesihatannya semakin baik dan sekali gus akan lebih bertambah lagi darjat kesyukuran kepada Allah.

Dia berjaya dalam menghadapi ujian ibadat puasa sehingga berupaya menepati jaminan Rasulullah dalam sebuah hadisnya yang bermaksud: “Berpuasalah, nescaya kamu akan sihat”. (Hadis riwayat Tabrani)

Maksud hadis Baginda jelas menyimpulkan bahawa setiap Muslim yang menjalani ibadat puasa dengan penuh keimanan dan penuh kesabaran selaras dengan tuntutan syarak, tahap kesihatannya akan bertambah mantap, berat badannya pula sudah tentu menurun, sekalian penyakit yang sentiasa menghantui manusia akan terkawal dengan baik.

Ramadan bukan saja berupaya memantapkan hubungan kekeluargaan dan persaudaraan ummah sejagat, malahan amalan sosial yang berperanan untuk membebaskan umat Islam dari kotoran jiwa yang berkaitan dengan harta benda seperti tamakkan harta, kedekut dan lain-lain lagi penyakit jiwa.

Dalam hal ini, Allah berfirman maksudnya: “Ambillah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat) supaya dengannya kamu membersihkan mereka (dari dosa) dan menyucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu akan menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (Surah al-Taubah, 103)

Ibadat puasa mengajar Muslim supaya sentiasa beristiqamah dalam kehidupan sehariannya. Perlu diinsafi bahawa sifat istiqamah dalam istilah Islam adalah kunci kejayaan seseorang Muslim dalam menjalani kehidupan dan seterusnya mengecapi kebahagiaan abadi pada akhirat kelak.

Menurut Syeikh Ali Mahfuz di dalam kitab Hidayah al-Mursyidin menegaskan bahawa istiqamah itu ialah satu keadaan konsisten dalam menuruti sunnah Baginda Rasulullah, berakhlak dengan akhlak yang diredai Allah dan sikapnya serta tindakannya jauh dari pengaruh hawa nafsu.

Sebab itulah orang yang dikuasai hawa nafsu, mata hatinya menjadi buta. Akibatnya, dia tidak dapat membezakan antara yang sunnah dengan yang bidaah dan yang baik dengan buruk.

Bahkan yang sering terjadi adalah sebaliknya, perkara bidaah dianggap sunnah, sunnah pula dikira sebagai bidaah, yang salah dikatakan benar dan yang benar dikira salah pula.

Paling menggerunkan lagi, apabila seseorang manusia kalah dalam perjuangan memerangi hawa nafsu, malapetaka besar akan berlaku. Hawa nafsu mampu mengubah ibadah seseorang hamba itu kepada hawa nafsu yang sentiasa cenderung mengarahkan manusia ke arah kesesatan dan kebatilan.

Selanjutnya, Syeikh Ali Mahfuz menjelaskan bahawa untuk sampai kepada darjat istiqamah sebenarnya, maka Muslim seharusnya melalui dua peringkat awalan terlebih dulu, iaitu al-taqwim yang membawa maksud melatih jiwa dengan memperelokkan anggota badan dan amal perbuatan supaya berpaksikan perasaan takut dan mengharap kepada keredaan Ilahi sehingga amal kebajikan dan ketaatan itu menjadi kebiasaannya dalam kehidupan seharian.

Keduanya ialah al-iqamah yang bermaksud mendisiplinkan jiwa dan menyucikan hati daripada akhlak yang tercela dan penyakit hati yang keji seperti iri hati, dengki, sombong, riak dan penyakit hati lain yang terlarang.

Selepas mencapai kedua-dua martabat itu, barulah seseorang Muslim dapat menjejakkan kaki ke darjat istiqamah, antara ciri Muslim sejati. Apabila istiqamah mula bertapak kukuh di jiwa seseorang Muslim, takwanya tetap hidup subur mewarnai hidupnya biarpun Ramadan sudah berlalu, amal ibadat tetap terlaksana dengan sebaik mungkin walaupun di dalam sebelas bulan Islam yang lain dan akhlaknya terus mantap kental memerangi syaitan dan hawa nafsu.

Hendaknya janganlah iman, takwa dan akhlak terpuji itu hanya menyerlah sepanjang Ramadan saja seperti buah-buahan pada musimnya. Sedangkan iman, takwa dan akhlak sebenarnya tidak bermusim, sebaliknya ia tetap subur dan mekar pada sepanjang masa tanpa mengenal tempat dan ketika.

Dari itu, betapa pentingnya istiqamah menghiasi hidup seseorang Muslim supaya dia sentiasa berada di atas landasan yang benar di bawah keredaan Ilahi dan seterusnya menikmati kebahagiaan yang sejati di syurga Allah pada hari akhirat kelak.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)