• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Pupuk Rasa Cinta, Sayang Kepada Anak

RASULULLAH S.A.W sangat penyayang terhadap anak, baik terhadap keturunan baginda sendiri ataupun anak orang lain. Abu Hurairah meriwayatkan, satu ketika Rasulullah mencium Hasan bin Ali.

Berhampiran ada Al-Aqra’ bin Hayis At-Tamimi yang sedang duduk. Lelaki itu kemudian berkata, "Aku memiliki sepuluh anak dan tidak pernah aku mencium seorang pun daripada mereka."

Rasulullah segera memandang kepadanya dan berkata, barang siapa yang tidak mengasihi, maka ia tidak akan dikasihi."

Sifat kasih sayang Rasulullah juga terserlah ketika bersolat di mana Baginda tidak melarang anak-anak mendekatinya. Hal itu diceritakan Abi Qatadah, "Suatu ketika Rasulullah mendata­ngi kami bersama Umamah binti Abil Ash iaitu anak Zainab, puteri Rasulullah.


Baginda meletakkannya di atas bahunya kemudian solat dan ketika rukuk.

Baginda meletakkannya dan ketika bangun daripada sujud, Baginda mengangkat kembali."

Peristiwa itu bukan satu-satunya kejadian yang dirakam dalam sejarah.
Abdullah bin Syaddad juga meriwayatkan daripada ayahnya bahawa, "Ketika waktu solat Isyak, Rasulullah datang sambil membawa Hasan dan Husain.

Baginda kemudian maju (sebagai imam) dan meletakkan cucunya kemudian takbir untuk solat. Ketika sujud, Baginda memanjangkan sujudnya.

Ayahku berkata, "Saya kemudian mengangkat kepala dan melihat anak kecil itu berada di atas punggung Rasulullah yang sedang bersujud. Saya kemudian sujud kembali."

Setelah selesai solat, orang-orang pun berkata, "Wahai Rasulullah, saat sedang sujud di antara dua sujudmu tadi, engkau melakukannya sangat lama, sehingga kami mengira terjadi peristiwa besar atau turun wahyu kepadamu."

Baginda kemudian berkata, "Semua yang engkau katakan itu tidak terjadi, tapi cucuku sedang bermain di belakangku, dan aku tidak suka menghentikannya sampai dia menyele­saikan keinginannya."

Usamah bin Zaid ketika masih kecil mempunyai kenangan manis dalam pangkuan Rasulullah. "Rasulullah pernah me­ngambil dan mendudukkanku di atas pahanya dan meletakkan Hasan di atas pahanya yang lain, kemudian memeluk kami berdua dan berkata, "Ya Allah, kasihanilah keduanya, kerana sesungguhnya aku mengasihi keduanya."

Begitulah sikap Rasulullah kepada anak-anak. Secara halus, Baginda memberi contoh bagaimana anak perlu diberikan penuh rasa cinta, kasih sayang dan kelembutan.

Sikap tidak mencontohi Rasulullah adalah kesilapan besar ibu bapa terhadap anaknya. Antara kesilapan yang dilakukan ibu bapa ialah:


1. Memaki dan menghina anak.

Bagaimana yang dikatakan menghina iaitu ketika seorang ayah menilai kekurangan anaknya dan memaparkan setiap kebodohannya.

Lebih teruk lagi jika itu dilakukan di hadapan teman si anak.

Termasuk dalam kategori itu adalah memberi nama kepada anak dengan nama buruk. Seorang lelaki pernah mendatangi Umar bin Khattab seraya mengadukan kederhakaan anaknya. Umar kemudian memanggil anak orang tua itu dan mengherdiknya atas kederhakaannya.

Tidak lama kemudian anak itu berkata, "Wahai Amirul Mukminin, bukankah anak memiliki hak atas orang tuanya?" "Betul," jawab Umar.

"Apakah hak anak?" "Memilih calon ibu yang baik untuknya, memberinya nama yang baik, dan mengajarkan­nya al-Quran," jawab Umar.

"Wahai Amirul Mukminin, sesungguhnya ayahku tidak melakukan satu pun dari apa yang engkau sebutkan. Adapun ibuku, ia adalah wanita berkulit hitam bekas hamba sahaya orang majusi; dia menamakanku Ju’lan (kumbang), dan tidak mengajarku satu huruf pun dari al-Quran," kata anak itu.

Umar segera memandang orang tua itu dan berkata kepadanya, "Engkau datang untuk mengadukan kederhakaan anakmu, padahal engkau derhaka kepadanya sebelum ia menderhakaimu. Engkau berbuat buruk kepadanya sebelum dia berbuat buruk kepadamu."

Rasulullah sangat menekankan supaya kita memberi nama yang baik kepada anak.
Abu Darda’ meriwayatkan bahawa Rasulullah bersabda, "Sesungguhnya kalian akan dipanggil pada hari kiamat dengan nama kalian dan nama ayah kalian, maka perbaikilah nama kalian."

Sebab itu, Rasulullah kerap mengganti nama seseorang yang bermakna jelek dengan nama baru yang lebih baik atau mengganti gelaran yang buruk kepada seseorang dengan yang lebih baik dan positif.

Contohnya, Harb (perang) menjadi Husain, Huznan (yang sedih) menjadi Sahlun (mudah), Bani Maghwiyah (yang tergelincir) menjadi Bani Rusyd (yang diberi petunjuk).

Rasulullah memanggil Aisyah dengan nama kecil Aisy untuk memberi kesan lembut dan sayang.


2. Melebihkan seorang anak daripada yang lain.

Sikap itu adalah salah satu faktor putusnya hubu­ngan silaturahim anak dengan ibu bapanya dan punca permusuhan antara saudara.

Nu’man bin Basyir bercerita, "Ayahku menginfakkan sebahagian hartanya untukku. Ibuku, 'Amrah binti Rawahah kemudian berkata, 'Saya tidak suka engkau melakukan hal itu sehingga menemui Rasulullah.’ Ayahku kemudian berangkat menemui Rasulullah sebagai saksi atas sedekah yang diberikan kepadaku.

Rasulullah berkata kepadanya, 'Apakah engkau melakukan hal ini kepada seluruh anak-anakmu?’ Ia berkata, 'Tidak.’ Rasulullah berkata, 'Bertakwalah kepada Allah dan berlaku adillah kepada anakmu.’ Ayahku kemudian kembali dan menarik lagi sedekah itu.

Puncak kezaliman kepada anak ialah ketika ibu bapa tidak timbul rasa cinta dan sayangnya kepada anak perempuan yang kurang cantik, kurang pandai, atau cacat salah satu anggota tubuhnya.

Padahal, tidak cantik dan cacat bukanlah kemahuan anak. Apalagi tidak bijak itu pun bukanlah dosa dan kejahatan.


3. Mendoakan keburukan buat anak

Abu Hurairah berkata bahawa Rasulullah bersabda, ada tiga doa yang dikabulkan doanya: doa orang yang teraniaya, doa musafir, dan doa (keburukan) orang tua ke atas anaknya.

Entah apa alasan yang membuat seseorang begitu membenci anaknya. Jika seorang ibu sepanjang hari lidahnya tidak kering mendoakan celaka, melaknat dan memaki anaknya maka sesungguhnya, ibu itu adalah wanita yang paling kejam.

Setiap doa buruknya, setiap ucapan laknat yang keluar dari lidahnya, dan setiap kata maki yang diucapkannya boleh termakbul lalu menjadi hukuman ke atas dirinya.

Cuba hayati kisah ini pula. Seseorang pernah mengadukan mengenai anak lelakinya kepada Abdullah bin Mubarak. Abdullah bertanya kepada orang itu, "Apakah engkau pernah berdoa (yang buruk) atasnya." Orang itu menjawab, "Ya."
Abdullah bin Mubarak berkata, "Engkau telah merosakkannya." Nauzubillah!


4. Tidak memberi pendidikan kepada anak

Ada syair Arab yang berbunyi, "Anak yatim itu bukanlah anak yang ditinggal orang tuanya dan meninggalkan anak-anaknya dalam keadaan hina.

Sesungguhnya anak yatim adalah yang tidak dapat dekat dengan ibunya yang selalu menghindar darinya, atau ayah yang selalu sibuk dan tidak ada waktu bagi anaknya."

Perhatian tertinggi ibu bapa kepada anaknya ialah memberi pendidikan yang baik dan jika gagal, ia adalah kejahatan orang tua terhadap anaknya.

Jika mereka gagal memberi pendidikan terbaik kepada anak maka ibu bapa itu melanggar perintah Allah. Dalam surah Thaha ayat 132 Allah berfirman yang bermaksud: "Dan perintahkanlah kepada keluargamu mendirikan solat dan bersabarlah kamu dalam mengerjakannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan akibat (yang baik) itu adalah bagi orang yang bertakwa."

Rasulullah bersabda, "Ajarilah anak-anakmu solat saat mereka berusia tujuh tahun, dan pukullah mereka (bila tidak melaksanakan solat) pada usia sepuluh tahun."

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)