• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Quran Braille Kepada Oku

Oleh SITI MAISARAH SHEIKH RAHIM

Mereka tidak ada deria melihat, tetapi mereka ada deria sentuhan. Pandangan mereka gelap gelita. Keindahan alam ciptaan Allah tidak dapat dinikmati sebagaimana manusia lain.

Walaupun kekurangan salah satu nikmat terbesar itu, namun kewajipan mentaati perintah dan meninggalkan larangan Allah tetap sama seperti hamba yang lain, tidak ada apa yang membezakan mahu pun dikecualikan melaksanakan tugas itu.

Sebagaimana dikisahkan tentang seorang sahabat Rasulullah SAW, Abdullah ibnu Makhtum. Beliau seorang buta dan tiada orang yang boleh menemaninya ke masjid. Namun, kewajipan solat jemaah di masjid tetap difardukan ke atasnya.

Daripada Abu Hurairah r.a. berkata: Seorang lelaki buta datang kepada nabi Muhammad SAW lalu berkata: ''Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku tidak mempunyai orang yang akan memimpinku ke masjid." Lelaki itu meminta Rasulullah memberi keringanan kepadanya supaya dia boleh melakukan solat di rumahnya. Maka baginda memberikan keringanan. Ketika lelaki buta itu mahu beredar pulang, nabi memanggilnya dan berkata: "Apakah kamu mendengar azan?" Lelaki itu menjawab: "Ya". Jawab baginda SAW: "Maka wajib kamu pergi solat jemaah di masjid".

Kisah di atas menunjukkan betapa setiap tuntutan Allah SWT harus dilaksanakan selagi mampu walau mempunyai kecacatan dan kekurangan diri. Apatah lagi kewajipan menunaikan rukun Islam yang lima itu. Tidak terkecuali kewajipan membaca al-Quran yang merupakan salah satu tuntutan fardu ain.

Hal ini dijelaskan melalui firman Allah SWT yang bermaksud: Kemudian Kami jadikan al-Quran itu diwarisi oleh orang-orang yang Kami pilih dari kalangan hamba-hamba Kami; maka di antara mereka ada yang berlaku zalim kepada dirinya sendiri (dengan tidak mengindahkan ajaran al-Quran), dan di antaranya ada yang bersikap sederhana, dan di antaranya pula ada yang mendahului (orang lain) dalam berbuat kebaikan dengan izin Allah. Yang demikian itu ialah limpah kurnia yang besar (dari Allah semata-mata). (Faatir: 32)

Mengikut logik akal, adalah mustahil bagi orang buta membaca al-Quran. Sebabnya, mereka tidak mampu melihat keindahan ayat-ayat suci itu, kesenian huruf-hurufnya apatah lagi memahami isi kandungannya.

Namun, ia tidak bermakna mereka tidak boleh mendengar ayat-ayat suci itu. Sama ada diperdengarkan oleh individu normal atau melalui pemain kaset atau cakera padat (CD) hasil kepesatan teknologi terkini.

Kecanggihan teknologi juga kini memungkinkan orang buta membaca al-Quran Braille yang diciptakan khas untuk golongan itu.

Melalui sistem tulisan titik-titik timbul itu, kini masyarakat Islam cacat penglihatan mendapat manfaat daripadanya. Ramai antara mereka sudah mampu mempelajari al-Quran secara sendiri tanpa mengharapkan bantuan orang lain.

Bagaimanapun, impian membaca al-Quran Braille itu hanya dicapai oleh mereka yang mampu. Ini kerana kitab edisi itu memandangkan kos senaskhah mencecah RM240.

Perkara itu disuarakan oleh Presiden Persatuan Braille Malaysia, Datuk Mah Hassan Omar yang mendedahkan kira-kira 13,000 orang kelainan upaya (OKU) penglihatan beragama Islam negara ini memerlukan senaskhah al-Quran dalam tulisan itu bagi memudahkan mereka membaca dan mempelajari kitab suci itu.

Katanya, kesukaran mendapatkan teks al-Quran Braille di tempat-tempat awam seperti masjid serta kekangan kewangan menjadi punca masih ramai antara mereka tidak mampu memilikinya.

Katanya, hanya 536 naskhah al-Quran edisi itu diterbitkan sejak tahun 2006 apabila sistem percetakan secara mesin taip ditukarkan kepada sistem pengkomputeran. Ia bagi memendekkan tempoh menyiapkan senaskhah daripada setahun kepada lima jam sahaja.

"Harga senaskhah al-Quran berharga RM240, jadi ramai antara mereka tidak mampu memilikinya.

"Oleh itu, kita berharap dapat memberikan teks al-Quran Braille ini secara percuma kepada mereka sekurang-kurangnya senaskhah bagi setiap keluarga atau diletakkan setiap satu di semua masjid seluruh negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Tilawah al-Quran Braille peringkat kebangsaan kali pertama, di Bandar Baru Sentul, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Mah Hassan yang buta sejak umur lima tahun itu berkata, ramai di kalangan golongan itu berkeinginan dan berminat mendalami ilmu al-Quran termasuk ilmu-ilmu keagamaan dan lapangan ilmu kehidupan supaya mereka tidak terpinggir dengan masyarakat normal.

Katanya, isu tersebut menjadi cabaran kepada kerajaan, pihak swasta dan masyarakat seluruhnya untuk memikirkan kedudukan mereka seterusnya membantu golongan istimewa itu mendapatkan ilmu secukupnya.

"Kita perlu sediakan program bersepadu kepada golongan ini supaya mereka dapat pelajaran yang betul agar tidak terdedah dengan anasir negatif dengan adanya ilmu dan bimbingan secukupnya kepada mereka.

"Jika impian ini tercapai termasuk menyediakan sekurang-kurangnya senaskhah al-Quran untuk setiap masjid dengan peruntukan dana sebanyak RM50,000 atau RM2.4 juta untuk membolehkan setiap keluarga golongan ini memilikinya, Malaysia akan menjadi contoh kepada negara luar apabila menyediakan akses secukupnya untuk mereka mempelajari al-Quran," kata peguam buta pertama negara itu.

Bagaimanapun, usaha memartabatkan golongan OKU penglihatan ini membaca al-Quran dengan baik diperhebatkan melalui penganjuran Majlis Tilawah al-Quran Braille yang julung kali diadakan tahun ini.

Seramai lapan peserta memperdengarkan bacaan masing-masing yang diadili sama seperti peserta tilawah normal lain. Mereka diuji dari segi suara, tarannum, tajwid dan fasahah.

Lapan peserta istimewa itu ialah Muhammad Taufik Azman daripada Johor, Nur Liyana Wahab (Johor); Muhammad Qayyim Nizar Sarim (Kelantan), Mohamad Syafiizwan Mohd Suhaini (Johor); Rasida Mohamed Zali (Kuala Lumpur); Nor Hidayah Mohd Yusof (Johor); Faiq Adnan (Kedah) dan seorang peserta saudara baru, Muhammad Adam Lee Abdullah (Kuala Lumpur).

Kemerduan suara dan kelancaran bacaan surah al-Anfal secara tarannum dan bertajwid oleh Muhammad Qayyim telah menambat hati barisan juri sekali gus dinobatkan juara pertama pertandingan tilawah itu.

Walaupun baru mencecah usia 13 tahun, ternyata kecacatan penglihatan sejak lahir tidak menghalang beliau mempelajari al-Quran dengan baik.

Majlis yang dirasmikan oleh Timbalan Ketua Pengarah (Dasar) Jabatan Kemajuan Islam (Jakim), Mohamad Nordin Ibrahim menyaksikan Nor Hidayah diumumkan naib johan manakala Faiq di tempat ketiga.

Kejayaan membanggakan para peserta itu membuktikan bahawa al-Quran Braille mampu memberi kemudahan kepada golongan istimewa itu untuk mendapat ilmu dunia mahu pun akhirat.

Cuma, mereka tidak harus berasa terpinggir atau kecewa dengan kekurangan itu. Ini kerana Allah SWT meletakkan mereka pada kedudukan istimewa di samping ganjaran pahala berlipat ganda jika mereka ikhlas mengabdikan diri kepada Yang Maha Pencipta.

Sebagaimana kisah Abdullah ibnu Makhtum yang diceritakan tadi, apabila Rasulullah SAW ditegur oleh Allah melalui surah 'Abasa sepanjang 16 ayat kerana tidak mempedulikan pertanyaan Abdullah ketika baginda SAW mengadakan dialog dengan para pemimpin Quraisy.

Diceritakan ketika itu baginda SAW bertatap muka dengan pemimpin-pemimpin Quraisy bernama 'Utbah bin Rabi'ah, Syaibah bin Rabi'ah, 'Amr bin Hisyam alias Abu Jahl, Umayyah bin Khalaf dan Walid bin Mughirah, ayah saifullah Khalid bin walid.

Rasulullah berunding dan bertukar fikiran dengan mereka tentang Islam. Baginda amat berharap pemimpin Quraisy itu menerima dakwah dan menghentikan penganiayaan terhadap para sahabat baginda SAW.

Sementara baginda SAW berunding dengan bersungguh-sungguh, tiba-tiba Abdullah ibnu Makhtum datang mengganggu minta dibacakan kepadanya ayat-ayat al-Quran.

Kata Abdullah: "Ya Rasulullah! Ajarkanlah kepadaku ayat-ayat yang telah diajarkan Allah kepada Anda!" Rasul yang mulia terlengah mempedulikan permintaan Abdullah.

Lalu beliau membelakangi Abdullah dan melanjutkan perbicaraan dengan pemimpin Quraisy. Mudah-mudahan dengan Islamnya mereka, Islam tambah kuat dan dakwah bertambah lancar.

Selesai berbicara dengan mereka, Rasulullah bermaksud hendak pulang. Tetapi tiba-tiba penglihatan baginda SAW menjadi gelap dan kepala beliau terasa sakit seperti kena pukul.

Kemudian Allah mewahyukan kepada baginda: Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana seorang buta datang kepadanya, Tahukah kamu, barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari dosa), atau dia (ingin) mendapatkan pengajaran, lalu pengajaran itu memberi manfaat kepadanya? Adapun orang yang merasa dirinya serba cukup, maka kamu melayaninya. Padahal tidak ada (celaan) atasmu kalau mereka tidak membersihkan diri (beriman). Adapun orang yang datang kepadamu dengan bergegas (untuk mendapatkan pengajaran), sedangkan ia takut kepada (Allah), maka kamu mengabaikannya. Sekali-kali jangan (begitu)! Sesungguhnya ajaran Allah itu suatu peringatan. Maka siapa yang menghendaki tentulah ia memerhatikannya. (Ajaran-ajaran itu) terdapat di dalam kitab-kitab yang dimuliakan, yang ditinggikan lagi disucikan, di tangan para utusan yang mulia lagi (sentiasa) berbakti. ('Abasa: 1 - 16).

Sejak itu, Rasulullah SAW tidak lupa memberi tempat yang mulia kepada Abdullah apabila dia datang. Bahkan baginda SAW mempersilakan beliau duduk di tempat duduk baginda, bertanyakan khabar beliau dan sentiasa memenuhi permintaan beliau.

Begitu juga dengan saudara sesama Islam lain yang memiliki segala kesempurnaan menikmati hidup di dunia ini.

Hulurkan bantuan kepada mereka. Mudah-mudahan dengan secebis bantuan dapat meringankan beban untuk mereka menjalani kehidupan dan ibadah kepada yang Esa.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)