• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Rahsia Pergerakan Dalam Solat Kepada Kesihatan Fizikal

Azman Mahmood
azmanm@bharian.com.my
SETIAP umat Islam diwajibkan menunaikan ibadat solat manakala yang belum mencapai baligh diwajibkan tanggungjawab ke atas ibu bapa mendidik dan mengajar anak mengenai solat mengikut peraturan yang ditetapkan.

Yang pasti solat adalah ibadat fardu pertama dalam syariat semua anbia sejak Nabi pertama Adam AS sehinggalah peristiwa Israk Mikraj apabila Allah SWT memerintah solat wajib lima waktu Subuh, Zuhur, Asar, Maghrib dan Isyak ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW dan ia berkekalan sehingga hari ini yang diamalkan umat Islam di muka bumi ini.

Seperti dalam ajaran Islam, solat adalah tiang agama dan tanpanya umat Islam tempang dari segi akidah tauhid sebagai pembuktian ketaatan kepada Allah.



Namun, suatu yang pasti setiap umat Islam yang menunaikan solat sama ada solat wajib dan sunat, jika dilakukannya dengan penuh khu-syuk, akan dapat rasai ketenangan yang sukar dicari atau dibandingkan dengan gerak kerja lain.

Tidak keterlaluan jika solat sebenarnya mempunyai seni tersendiri di samping 1001 rahsia yang belum dirungkai sepenuhnya, kecuali kita mengetahuinya sebagai ibadat diwajibkan ke atas setiap umat Islam. Pastinya ada rahsia kerana ketenangan dapat dirasai apabila kita mengerjakan solat dengan betul dan khusyuk.

Pergerakan rukun dalam solat yang membabitkan angkat tangan ketika niat, takbirratullihram, sujud, rukuk, duduk iktidal sehingga memberi salam sebenarnya mempunyai rahsia tersendiri seperti satu senaman ringan. Keistimewaan pergerakan solat inilah mencetuskan minat sekumpulan penyelidik Universiti Malaya (UM) membuat kajian saintifik untuk melihat hikmahnya dari segi kesan kepada kesihatan kerana ia (solat) suatu aktiviti fizikal unik.

Antara hasil kajian secara saintifik terhadap solat paling menarik ialah kemampuan memulihkan masalah disfungsi ereksi atau mati pucuk yang amat ditakuti oleh lelaki. Kajian itu diketuai Ketua Jabatan Kejuruteraan Bioperubatan UM, Prof Madya Dr Fatimah Ibrahim bersama Prof Dr Wan Abu Bakar Wan Abbas, Prof Dr Wan Azman Wan Abu Bakar dan Ng Siew Cheok menerusi pembiayaan daripada Jabatan Perdana Menteri (JPM). Kajian itu juga dibuat hasil cetusan pemikiran bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi pada tahun 2005 supaya melihat dan mengkaji dari sudut saintifik mengenai solat.

Masalah mati pucuk antara penyakit yang menghantui 40 peratus lelaki di seluruh dunia berusia 40 tahun ke atas dan menerusi perubatan moden, kelemahan zakar berfungsi dengan baik hanya dengan pengambilan pil seperti viagra atau ubat tradisional seperti makjum.

Menurut Prof Madya Fatimah, hasil kajian biokejuteraan sains solat yang dilakukan pasukannya penyelidiknya dapat membuktikan masalah mati pucuk boleh diatasi dengan menunaikan solat.

Katanya, keputusan itu diperoleh menerusi kajian yang dijalankan ke atas dua pesakit yang menjalani terapi solat selama sebulan yang didapati tahap kelemahan zakar berjaya dipulihkan dengan memberangsangkan berbanding sebelumnya.

Beliau berkata, terapi solat itu memerlukan seorang pesakit mengerjakan solat sebanyak 12 rakaat secara berterusan selama setengah jam dan dilakukan tiga kali seminggu.

“Saya dapati pesakit yang menjalani kajian ini berubah dari segi kekuatan zakarnya yang menunjukkan ketegangan semakin baik. Ini kerana setiap pergerakan dalam solat didapati merangsang otot lantai pelvik.

“Jelas, solat sebenarnya bukan sekadar ibadat yang diwajibkan ke atas umat Islam tetapi ia mengandungi rahsia yang besar kepada penjagaan kesihatan badan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya memasang alat khas yang berfungsi mengesan tahap ketegangan zakar dan pengaliran darah sewaktu tidur.

Seorang lelaki yang sihat, katanya boleh diukur sejauh mana kekerapan zakarnya tegang terutama ketika malam dan dalam keadaan sedang tidur.

“Lelaki yang sihat akan mengalami ketegangan zakar tiga hingga enam kali ketika tidur selama 10 minit dengan tahap ketegangan mencapai 200 peratus,” katanya.

Kajian lain yang masih dijalankan menerusi terapi solat secara saintifik membabitkan komposisi tubuh badan, kolesterol, sistem jantung dan kardiovaskular, gelombang otak ketika bersolat, kekuatan otot-otot tubuh badan manusia dan sakit pinggang.

Setakat ini, kajian awal sudah membuktikan bahawa manfaat fizikal seperti komposisi badan seseorang menjadi lebih baik dan mental yang cerdas apabila seseorang itu melakukan amalan solat menepati syarat yang ditetapkan seperti mengerjakan solat lima kali sehari selain solat sunat, mengerjakan solat secara berjemaah, memahami bacaan dalam solat, mengerjakan rukun solat dengan sempurna.

Beberapa keputusan lain juga mendapati solat tarawih dan ibadat puasa didapati dapat merendahkan tahap glukos, kolesterol yang menjadi rintangan pengaliran darah dalam badan. Amalan itu juga mampu meningkatkan kekenyalan dinding otot salur darah dan kadar metabolisma dalam badan. Kajian juga mendapati kadar denyutan jantung adalah paling rendah dalam posisi sujud yang merehatkan jantung.

Prof Madya Fatimah berkata, kajian juga mendapati posisi rukuk dalam solat pada kedudukan sudut 90 darjah dapat mengurangkan sakit belakang dan pinggang.

“Sebenarnya, tidak boleh dinafikan bahawa amalan solat secara betul memberi banyak manfaat dari segi kesihatan fizikal dan mental kerana pergerakan solat itu sendiri sama sepetti senaman.

Kesimpulannya solat adalah suatu aktiviti fizikal unik yang mampu memelihara kesinambungan sistem fisiologikal manusia meliputi kesihatan fizikal, mental, rohani dan emosi. Dengan memahami hikmah dan kebaikan yang dizahirkan daripada pergerakan solat yang sempurna, akan merangsang muslimin dan muslimat dalam menunaikan ibadat dengan khusyuk dan tawaduk.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)