• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Ramadan Anugerah Allah Untuk Ummah

Oleh Ustaz Zamanuddin Jusoh

MASA berlalu pantas meninggalkan kita sehingga tidak terasa Ramadan menjelang lagi dengan cabaran baru bakal ditempuhi setiap Muslim. Sunnatullah terhadap masa yang berlalu dan bakal mendatang akan terus dirasai sehinggalah tibanya hari penentuan.

Ramadan adalah bukti Allah memuliakan hambanya dengan rahmat dan keampunan. Tanda keimanan jelas terpancar pada wajah mereka yang beriman menandakan kegirangan menyambut bulan mulia ini.

Sabda Nabi SAW bermaksud: "Sesiapa bergembira apabila datangnya Ramadan, Allah akan mengharamkan jasadnya daripada api neraka." (Al-Hadis).

Allah juga menyebut mengenai iman pada permulaan ayat puasa dalam firman bermaksud: "Wahai orang beriman, diwajibkan ke atas kamu menunaikan ibadat puasa seperti mana diwajibkan ke atas mereka yang datang sebelum kamu semoga kamu bertakwa." (Surah al-Baqarah, ayat 183).

Ibadat puasa dilakukan dengan penuh keikhlasan bagi menyahut seruan Allah serta menuntut keredaan-Nya menunjukkan keimanan seseorang. Hadis menyebut ibadat semua anak Adam adalah untuk dirinya kecuali puasa kerana puasa adalah untuk Allah dan Allah melipatgandakan pahala mengikut kehendak-Nya.

Pembersihan jiwa serta pencetus amalan kebaikan wujud melalui ibadat puasa yang dilakukan bersungguh-sungguh.

Sabda Baginda SAW bermaksud: "“Sesiapa berpuasa dengan penuh keimanan dan kesungguhan akan mendapat keampunan dari segala kesalahan dilakukan." (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Jelaslah jiwa bersih daripada dosa akan melahirkan amalan baik dan mulia. Doa berterusan pada Ramadan amat digalakkan Allah sehingga ada ayat menyebut mengenai doa disusun selepas datangnya ayat puasa.

Firman Allah bermaksud: “Apabila hambaku berdoa, maka aku amat hampir kepadanya.” (Surah al-Baqarah, ayat 186).

Ramadan diserikan lagi dengan pembebasan umat daripada musuh utama mereka iaitu syaitan dan pintu langit dibuka seluas-luasnya untuk menerima amalan kebajikan dilakukan.

Sabda Nabi SAW: "Apabila tibanya Ramadan, dibuka pintu langit dan ditutup pintu neraka serta syaitan dibelenggu pada bulan itu." (Hadis sahih).

Orang beriman berhak mendapat keampunan dan janji syurga disebabkan kejayaan mengekang hawa nafsu yang sentiasa menginginkan kelazatan. Ulama menyebut kelazatan dunia empat perkara utama iaitu makan, minum, tidur dan bersetubuh.

Bersempena Ramadan yang diturunkan al-Quran, maka puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada umat pada hari kiamat. Sabda Baginda SAW bermaksud: "Puasa dan al-Quran memberi syafaat kepada tuannya pada Hari Kiamat." (Al-Hadis).

Ada riwayat menyebut, puasa akan menjadi saksi dengan berkata: Aku menghalangnya daripada makan dan minum pada Ramadan dan al-Quran berkata: Aku mengurangkan tidurnya. Maka kedua-duanya akan memohon syafaat daripada Allah untuk mereka yang berpuasa.

Imam Malik yang juga ahli hadis terkenal meninggalkan pengajaran hadisnya dan beralih kepada tilawah al-Quran apabila tibanya Ramadan.

Fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal sudah mula tersenyum kerana tangan mulia akan menghulurkan bantuan kerana gandaan pahala pada Ramadan. Semua kebajikan itu menolak bencana dan bala kerana sedekah akan memadamkan api kemurkaan Allah.

Malam Ramadan dihiasi solat tarawih yang tiada pada bulan lain dan padanya ada satu malam lebih baik dari seribu bulan iaitu malam lailatul qadar.

Diriwayatkan oleh Anas: "Sesiapa yang menghadirkan diri ke majlis ilmu pada Ramadan, Allah akan menulis pahala ganjaran pada setiap langkah selama setahun dan mereka yang berterusan solat berjemaah akan disediakan baginya sebuah singgahsana dipenuhi nikmat bagi setiap rakaat dilakukan." (Hadis Fadilat Amalan).

Marilah kita memanfaatkan Ramadan kali ini dengan ibadat berterusan dan memastikan kelainan berbanding tahun lalu.

Penulis ialah Eksekutif Agama The New Straits Times Press (NSTP)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)