• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Ramadan Bukan Pesta Makan

Oleh Mohd Fadly Samsudin

AHLAN wa sahlan ya Ramadan! Pastinya umat Islam tidak sabar menantikan kedatangan tarikh 1 Ramadan yang hanya tinggal beberapa hari saja lagi.

Rindunya bukan kepalang, seperti setahun rasanya tidak bertemu isteri dan anak-anak.

Dengan kembalinya bulan penuh keberkatan ini, maka usah dibiarkan ia berlalu pergi tanpa sebarang perubahan dalam diri kita. Andai kata Ramadan kali ini yang terakhir buat kita, moga ia menjadi pembela kita di akhirat kelak. Gunakan peluang yang terbuka luas ini untuk bertaubat dan kembali kepada fitrah kerana manusia tidak terlepas daripada melakukan dosa.

Daripada Abu Hurairah, Nabi Muhammad s.a.w bersabda yang bermaksud: "Setiap amal yang dilakukan anak Adam adalah untuknya dan satu kebaikan dibalas sepuluh kali ganda bahkan sampai tujuh ratus kali ganda. Allah berkata: "Kecuali puasa, itu untuk-Ku dan Aku yang langsung membalasnya. Orang yang berpuasa mendapatkan dua kesenangan iaitu kesenangan ketika berbuka puasa dan kesenangan ketika berjumpa dengan Tuhannya. Sesungguhnya, bau mulut orang berpuasa itu lebih harum daripada aroma kasturi." (Hadis diriwayatkan Bukhari dan Muslim) Malaikat juga merendahkan sayapnya bagi menghitung pahala berganda yang dijanjikan Allah kepada hamba-Nya yang sentiasa taat serta mengisi waktunya dengan beribadat.

Begitulah istimewanya puasa berbanding dengan ibadat lain kerana ia perlu dilakukan dengan penuh keikhlasan. Ramadan adalah salah satu daripada empat bulan yang dianggap mulia oleh kaum Muslimin disebabkan pelbagai peristiwa agung berlaku antaranya peristiwa penurunan kitab suci al-Quran kepada Nabi Muhammad s.a.w serta berlakunya malam lailatul qadar. Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar; mudah-mudahan kamu bertakwa.” (Surah al-Baqarah ayat 183). Ibadah puasa diwajibkan kepada manusia supaya mereka dapat mengawal nafsu daripada makan, minum dan bersetubuh pada siang hari selain bagi tujuan kerehatan. Hikmahnya adalah untuk mendidik rohani, jasmani, budi pekerti dan nafsu. Ramadan juga adalah proses penilaian diri yang selama ini hanya banyak memikirkan kesibukan dunia. Sememangnya hidup manusia tidak lari dari cabaran dan ujian daripada Allah. Sedar ataupun tidak, manusia yang lemah ini sentiasa diperangi dengan godaan hawa nafsu. Kesan nafsu tidak terkawal, pasti mempengaruhi roh kita sama ada berbentuk harta benda, kekuasaan, pangkat, pengikut yang ramai serta ingin menjadi ternama. Apabila nafsu dibiarkan tanpa didikan, ia akan menghasut manusia memusuhi larangan Allah dan melakukan maksiat. Justeru, apakah persiapan kita menghadapi Ramadan terakhir ini? Pertamanya, lengkap diri dengan ilmu pengetahuan dan ulang kaji amalan yang perlu dilakukan ketika beribadat.

Berapa ramai orang yang berpuasa, tetapi secara terang melakukan maksiat? Semua itu berlaku akibat mereka tidak menjaga adab berpuasa. Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Berapa ramai orang yang berpuasa, mereka tidak mendapat apa-apa daripada puasa mereka kecuali lapar dan dahaga.” Berpuasa tidak hanya berlapar dahaga siang hari saja, malah kita dituntut menjaga anggota daripada melakukan maksiat. Berpuasa memerlukan kesabaran yang tinggi. Sifat tamak, gelojoh, makan berlebihan tidak boleh diamalkan kerana ia bertentangan dengan matlamat Ramadan. Jauhkan diri daripada mendengar umpatan, fitnah dan kata kotor. Berwaspada ketika berbicara kerana bimbang boleh mengurangkan pahala puasa seperti mencerca, membuka dan menceritakan keaiban orang lain, memaki serta mengeluarkan kata-kata kesat. Pergaulan yang baik perlu dilakukan terutama terhadap isteri, anak, jiran tetangga, rakan dan seluruh manusia yang mempunyai hubungan dengan kita. Tidak hairanlah, apabila tiba Ramadan, ia mengembalikan semula hubungan persahabatan dalam masyarakat kerana mereka akan bertemu di masjid ketika solat jemaah.

Jadi amalan berkenaan sepatutnya dihidupkan pada setiap masa dan tidak hanya berlaku ketika Ramadan. Inilah masa jika anda mahu melipat ganda pahala dengan bersedekah, bertadarus al-Quran, solat Tarawih, beriktikaf, mengawal nafsu serta perangai, menghidupkan ibadah dan menjaga pancaindera daripada melakukan maksiat. Pensyarah Jabatan Asas Pendidikan dan Kemanusiaan Universiti Malaya (UM), Rahimi Md Saad berkata, ramai mendakwa mereka berpuasa, tetapi masih melakukan perkara sumbang dan maksiat.

"Puncanya, mereka berpuasa sekadar menjalankan rutin apabila tiba bulan Ramadan saja. Orang lain berpuasa, mereka pun ikut berpuasa tanpa memahami fadilatnya.

"Golongan ini amat rugi, walaupun berpuasa, tetapi hakikatnya mereka hanya mendapat pengalaman lapar dan dahaga," katanya.

Beliau turut meminta umat Islam di negara ini jangan menjadikan Ramadan sebagai ‘pesta’ makanan. “Apabila makan dengan ­ba­nyak ketika berbuka, bagaimana mahu menghidupkan malam Ramadan dengan beribadah kerana pasti tubuh letih? “Secara biologinya, binatang seperti penguin, anjing laut, singa laut turut berpuasa pada musim tertentu. Jelas berpuasa satu keperluan selain memberi rehat pada tubuh,” katanya.

Mengulas berkaitan ada golongan yang melakukan ibadat dengan bersungguh-sungguh pada bulan Ramadan kerana ingin merebut fadilat tertentu, Rahimi berkata, ia tidak salah kerana Allah sudah sediakan semua itu buat hambanya. "Umat Nabi Muhammad agak singkat umurnya berbanding umat nabi lain. Maka, Allah sediakan peluang dan kesempatan kita mengumpul amalan seperti mana yang disediakan buat umat terdahulu. “Peluang itu adalah untuk merebut malam lailatulqadar. Namun perlu diingat, hubungan kita dengan Allah bukan perlu dijaga hanya pada Ramadan saja. Jangan jadikan Ramadan sekadar bulan 'mencuci dosa'," katanya.

Sepanjang malam pada bulan Ramadan, lakukan solat Taarawih, membaca al-Quran, berzikir dan sembahyang tahajud bagi menjaga hati supaya jangan mati.

"Antara amalan digalakkan pada sepuluh hari terakhir Ramadan ialah solat tahajud, tadarus al-Quran, zikir, dan doa, panjangkan bacaan di dalam solat sunat yang dilakukan, zikir yang ma’thur (diajar oleh Nabi) dan mintalah apa yang dihajati kerana Allah sangat hampir dengan hamba-Nya pada malam berkenaan," katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)