• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Rasulullah Tidak Menetapkan Jumlah Rakaat Solat Tarawih

Oleh Yussamir Yusof

SUASANA di dalam masjid hiruk-pikuk dengan pekikan dan makian. Hassan al-Bana yang dari luar mendengar suara berkenaan segera masuk ke dalam masjid. Kelihatan dua kumpulan sedang bertegang urat. Apabila kedua-dua kumpulan ini melihat Hassan al-Bana memasuki masjid, mereka semua diam.

“Kenapa bergaduh?” Soal Hassan al-Bana dengan lembut.

“Kami mahu solat tarawih sebanyak 20 rakaat. Tetapi mereka katakan tidak sunnah. Yang sunnah kata mereka 9 rakaat.” Seorang lelaki dari kumpulan itu menjawab pertanyaan Hassan al-Banna.



Dengan lembut dan bersahaja Hassan al-Bana bersuara, “Adakah solat yang sunat ini lebih penting daripada kewajipan untuk bersaudara di kalangan kita sesama Muslim?”

Di atas adalah secebis peristiwa yang pernah berlaku pada zaman Hassan al-Bana masih hidup. Isunya kecil tetapi disebabkan tiada kefahaman yang mendalam terhadap hukum Islam, ia menjadi besar. Lebih-lebih lagi apabila emosi mengatasi wahyu dan rasional, maka itulah yang akan terjadi.

Saban tahun perkara ini sering berlaku. Satu pihak menuduh mengadakan perkara baru dan satu pihak menuduh terlalu memudah-mudahkan agama. Namun yang sebenarnya, kedua-dua dakwaan ini sama sekali tidak berasas. Dalam Islam, sesuatu hukum atau penetapan dalam agama haruslah bersandarkan dalil. Dalil atau bukti dalam Islam ialah al-Quran dan Hadis sahih. Oleh itu, untuk membicarakan mengenai hukum, emosi harus dijauhkan. Terutama dalam hal yang terdapat di dalamnya perbezaan pandangan di kalangan ulama muktabar.

Dalam isu solat tarawih ini. Rasulullah SAW tidak pernah menetapkan berapa rakaat yang perlu dilakukan. Malahan Rasulullah menggalakkan umatnya untuk bersolat sunat berterus-terusan tanpa ada batasan. Imam Bukhari dan Muslim dalam Kitab Sahihnya merekodkan bahawa Ibnu Umar berkata, “Rasulullah bersabda: Bersolatlah kamu dua rakaat-dua rakaat (berulang-ulang) dan jika kamu bimbang akan terbitnya waktu subuh maka bersolatlah witir satu rakaat sebagai penutup”.

Ahli Madinah yang tahu mengenai perkara ini, tidak pernah mengehadkan jumlah rakaat dalam solat tarawih mereka. Menurut Imam Malik pada zaman beliau iaitu di penghujung kurun pertama dan awal kurun kedua Hijrah, beliau dapati ahli Madinah melaksanakan solat tarawih dengan bilangan 36 rakaat dan tiga rakaat witir.

Kenyataan ini disokong Daud bin Qois iaitu seorang tabien di dalam Fathul Bari, yang dinukil Imam Ibnu Hajar As-qolani. Beliau berkata, “Aku menjumpai orang pada zaman pemerintahan Aban Ibnu Usman dan Umar Ibnu Aziz di Madinah. Mereka melaksanakan solat tarawih dengan 36 rakaat dan tiga rakaat witir.

Berdasarkan hujah di atas, kita dapati bahawa Nabi Muhammad SAW tidak ada menetapkan sebarang rakaat untuk melaksanakan solat sunat tarawih. Cuma, sunnah yang dianjurkan adalah 11 rakaat termasuk witir. Ini bertepatan dengan satu hadis yang direkodkan Imam Bukhari dalam Sahihnya. Saiditina Aisyah berkata, “Tidak pernah Baginda melaksanakan solat malamnya pada Ramadan mahupun pada bulan lain melebihi sebelas rakaat.”

Dalam menyelesaikan perbalahan mengenai jumlah rakaat ini. Imam Ibn Taimiyah berkata, “(Seseorang) boleh bersolat tarawih 20 rakaat sebagaimana yang masyhur dalam mazhab Ahmad dan Syafie. Boleh juga bersolat 36 rakaat sebagaimana yang ada dalam mazhab Malik. Boleh bersolat 11 rakaat atau 13 rakaat. Semuanya adalah baik. Banyaknya jumlah rakaat atau sedikitnya bergantung kepada lama atau pendeknya bacaan.”

Beliau menambah, "Yang paling utama ialah perbezaan ini adalah kerana mengambil kira perbezaan keadaan orang yang solat. Jika mereka kuat mereka boleh melakukan 10 rakaat ditambah dengan tiga rakaat witir sebagaimana yang diperbuat Rasulullah pada Ramadan dan di luarnya, maka inilah yang lebih utama. Jika mereka mampu, mereka boleh melakukan 20 rakaat, maka ini adalah afdal dan inilah yang dilakukan oleh kebanyakan kaum Muslimin, karena ia adalah pertengahan antara 10 dan 40. Dan jika seseorang itu bersolat dengan 40 rakaat, maka itu pun boleh, atau dengan jumlah yang lain turut diizinkan. Barang siapa menyangka bahawa qiyam Ramadanitu terdiri dari bilangan tertentu, tidak boleh lebih dan tidak boleh kurang, maka dia sudah salah." (Majmuk al-Fatawa 23/113; al-Ijabat al-Bahiyyah 22; Durus Ramadhan 48)



Muhasabahlah diri kita. Adakah Ramadan yang bakal menjelma ini akan menghasilkan bibit perpecahan hanya kerana bertegas soal jumlah rakaat. Atau kita sama-sama meraikan perbezaan yang menjadi satu rahmat kepada manusia. Ramadan bukanlah bulan untuk berdebat siapa salah siapa betul. Tetapi Ramadan adalah bulan keberkatan yang di dalamnya penuh dengan kebaikan.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)