• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Rasulullah Tidak Pernah Putus Asa Laksana Dakwah

Oleh Hasliza Hassan

Konvensyen Pendakwah Negara 2009

Manhaj Malizie ajak pendakwah fahami suasana negara bagi mendepani cabaran melalui acuan betul

BERMATLAMAT melahirkan pendakwah dengan kesatuan fikrah dan keutamaan dalam berdakwah, kira-kira 500 pendakwah dari seluruh negara menghadiri Konvensyen Pendakwah Negara 2009 yang diadakan pada 10 dan 11 Jun lalu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Mejar Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom, dalam ucapan perasmiannya berkata, kesatuan perlu supaya pendakwah memahami kumpulan sasaran, matlamat serta tujuan dakwah.

Bagaimanapun katanya, dari segi pendekatan, ia terpulang kepada pendakwah tetapi yang penting ialah mereka semua perlu tahu apakah isu yang hendak diketengahkan serta diberi keutamaan dalam agenda dakwah.

"Apabila berada jauh, yang berbeza kadang-kadang nampak tidak senada dan ada pula dilihat semacam bertembung. Oleh itu timbul anggapan seakan pendakwah ini terpisah. Kesatuan pemikiran dan hala tuju membolehkan pendakwah bersatu dalam menyusun pendekatan dakwah," katanya.

Pada majlis yang turut melihat Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melangkah setapak lagi dalam usaha penyebaran maklumat kepada umum dengan pelancaran Radio Malaysia Jakim Salam FM, Jamil Khir menekankan kepentingan memaksimumkan kaedah berdakwah.

Bagi tujuan itu juga katanya, Jakim sudah bersedia untuk mempunyai saluran televisyen sendiri yang dikhaskan untuk program Islam sebagai alternatif kepada penonton yang ingin bahan tontonan yang boleh mengisi keperluan kerohanian mereka.


PESERTA yang hadir Konvensyen Pendakwah Negara 2009 dan Pelancaran Radio Malaysia Jakim.



"Menjadi harapan kita supaya Salam FM akan menjadi pilihan pendengar dan Jakim akan memastikan lapan jam waktu bersiaran dimuatkan dengan isi kandungan yang bukan saja memberi manfaat tetapi, mampu menarik minat pendengar.

"Begitu juga dengan saluran televisyen nanti yang programnya mengambil kira budaya, adat resam dan syariat Islam. Mesej yang ingin disampaikan bukan untuk keluarga Islam saja, bukan Islam juga dapat melihat nilai Islam yang boleh diterima masyarakat sejagat," katanya.

Konvensyen Pendakwah Negara mula diadakan pada 2002 bertujuan meningkatkan kefahaman mengenai Islam dan disasarkan untuk mufti, ulama, cendikiawan dan pendakwah termasuk daripada pertubuhan bukan kerajaan.

Konvensyen kali ini bertemakan Wahdah Pemangkin Khaira Ummah menggariskan objektif meningkatkan kefahaman, pemikiran Islam bagi menjayakan pelaksanaan dakwah secara bersepadu, berstrategi serta sesuai situasi terkini.

Perhimpunan itu juga bertujuan memberi pendedahan terhadap dasar dan isu semasa negara, pendekatan dakwah terkini sesuai era globalisasi selain mencari titik pertemuan dan pengukuhan dalam penyebaran dakwah oleh pelbagai pihak.

Jamil Khir dalam nasihat kepada peserta konvensyen dengan memberi contoh ketabahan Rasulullah SAW berhadapan tentangan penduduk Taif yang diseru supaya beriman kepada Allah berharap pendakwah tidak mudah berputus asa dalam misi mereka menyebarkan Islam.

"Contoh dakwah Rasulullah adalah yang terbaik kerana walaupun diseksa oleh penduduk Taif, kebimbangan Baginda ialah kemurkaan Allah. Saya percaya dengan kesatuan akan memberi kekuatan untuk pendakwah melaksanakan tanggungjawab," katanya.

Pensyarah Universiti Islam Antarabangsa (UIAM), Prof Dr Sidek Baba, yang membentangkan kertas kerja bertajuk Manhaj Malizie Suatu Pendekatan Dakwah berkata, Rasulullah SAW menganjurkan kaedah dakwah yang terbaik yang relevan dalam realiti Malaysia.

Katanya, kaedah itu terungkap dalam hadis yang menyarankan supaya seruan ke jalan Tuhan dengan cara bijaksana, pekerti teladan baik, hujah terbaik dan meyakinkan kerana orang yang hendak di dakwah daripada pelbagai peringkat serta latar belakang.

Beliau turut menggariskan empat perkara yang perlu diberi perhatian oleh pendakwah iaitu sifat kasih sayang yang tinggi terhadap orang hendak di dakwah, bersedia membantu kembali ke jalan yang benar, membuat persiapan dakwah dan menguasai ilmu pengetahuan.

Menyentuh mengenai Manhaj Malizie atau dakwah mengambil pendekatan Malaysia, Dr Sidek berkata, ia perlu berorientasikan masyarakat berbilang, kebebasan yang ada dan pengaruh Islam dalam sistem yang mengambil kira peruntukan dalam Perlembagaan.

"Manhaj Malizie mengajak pendakwah dan pendidik memahami keunikan Malaysia supaya mereka faham akan suasana yang membolehkan dakwah berkembang, kaedah yang tidak saja memantapkan akidah tetapi akhirnya mampu menyuburkan ilmu mendepani cabaran melalui acuan betul," katanya.

Katanya, pendekatan Malaysia bukan sekadar menimbulkan keinsafan pentingnya akhlak yang baik disuburkan tetapi dengan kekuatan ilmu dan ketrampilan ia mungkin menjadi saluran alternatif untuk memberi kefahaman supaya seni, budaya serta kemajuan berlaku dalam acuan yang makruf.

Pada masa sama, pendakwah dan pendidik perlu sentiasa bersikap berlapang dada menerima kritikan atau teguran serta tidak mengambil pendekatan radikal yang tidak serasi budaya masyarakat hingga menyebabkan gerak kerja dakwah menjadi fitnah.

Dr Sidek berkata, dakwah di dunia Melayu juga unik di mana kemampuan pendakwah mendekati raja serta penguasa mampu mengembalikan mereka kepada fitrah dan perubahan itu kemudian turut diikuti oleh rakyat.

Beliau berkata, pendakwah zaman silam memahami realiti kepercayaan masyarakat zaman itu dan kehebatan pendakwah mampu mendekati mereka berbekalkan makna iman, takwa selain menggunakan pendekatan seni sastera serta budaya yang tidak bercanggah.

Justeru, lahirlah majlis ilmu mengenai akidah dan ibadah, puisi seperti pantun dari budaya Melayu, syair gurindam, seloka, nazam dan prosa bersifat hikayat sebagai khazanah seni ilmu yang memperkaya pemikiran umat Melayu satu ketika dulu.

"Kebijaksanaan itulah menjadikan Islam semakin berkembang di dunia Melayu menghasilkan karyawan terbilang yang menghasilkan kitab masing-masing yang kemudian menjadi rujukan ulama terkemudian," katanya.

Katanya, proses pembaratan yang berlaku ditambah kemajuan teknologi semakin canggih menyebabkan lahir kecenderungan baru di kalangan warga Malaysia menyebabkan pendakwah berdepan cabaran baru lebih sengit.

Sesetengah orang Melayu tidak lagi terpikat ceramah, khutbah, dakwah seperti berlaku pada tahun 70-an, 80-an dan 90-an, sebaliknya mula terpaut fahaman liberal akibat pengaruh Barat yang semakin kuat khususnya di kalangan kelompok menengah Melayu.

Dr Sidek berkata, penting bagi pendakwah abad ini mencari kebijaksanaan memilih kaedah terbaik dalam realiti dunia yang pantas berubah dan pendekatan harus diperkasa dengan memberi strategi alternatif terhadap isu Islam.

"Jenis modal insan yang perlu dibangunkan harus memiliki upaya dan keseimbangan dalam memahami ilmu Islam, Barat dan Timur, kemudian mengambil faedah perbandingan untuk diperkasakan dalam acuan kita sendiri. Ini cabaran dakwah bijaksana abad ini," katanya.

Beliau berkata, pendekatan Malaysia juga memberi fokus memperkasakan umat Melayu sebagai umat contoh kerana orang Melayu dilihat mewakili umat Islam dan Islam itu sendiri.

Justeru, pendakwah tidak saja berdepan masalah mengekalkan umat Melayu terus berada dalam fitrah kerana tanpa pendekatan dakwah yang dinamik, kekuatan umat Melayu sebagai umat teras akan beransur-ansur hilang.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)