• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Rendah Diri Mohon Maaf Tanda Miliki Kekayaan Hati

Oleh Amran Zakaria

Mengakui kesilapan akhlak mulia pancar keimanan

AMALAN dan kepercayaan pemimpin sentiasa berada dalam landasan betul adalah satu kesilapan diwarisi sejak zaman berzaman. Masyarakat bawahan diyakinkan bahawa orang yang banyak melakukan kesalahan ialah rakyat yang ditadbir, manakala golongan pentadbiran biasanya tidak disabitkan dengan sebarang kesilapan.

Justeru, rakyat didorong memohon maaf atas apa juga kesilapan yang berlaku. Pada hari ini berlaku tuntutan sebaliknya. Kesediaan pemimpin mengakui kesilapan dan memohon maaf daripada rakyat mampu mempamerkan keperibadian yang mulia dan tinggi sahsiahnya.

Bukan mudah untuk manusia, terutama individu atau kumpulan melakukan tindakan seperti itu, walaupun pada pandangan kasarnya begitu mudah. Hanya mereka yang berbudi pekerti mulia saja mampu mempraktikkannya.

Sebagai manusia, kita perlu menjauhkan diri daripada sifat riak, angkuh dan sombong semata-mata untuk menjaga imej, pangkat serta kedudukan. Individu yang bersifat mulia biasanya amat mudah memaafkan kesalahan orang lain.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: “Ada tiga perkara apabila dilakukan akan dilindungi Allah dalam peliharaan-Nya, ditaburi rahmat-Nya dan dimasukkan ke dalam syurga iaitu apabila diberi ia berterima kasih, apabila berkuasa ia suka memaafkan dan apabila marah ia menahan diri.” (Riwayat Hakim dan Ibnu Hibban dari Ibnu Abbas)

Pada prinsipnya, manusia yang sedia meminta maaf dengan ikhlas dan secara terbuka walaupun menyedari kesalahan itu dilakukan orang lain dilihat memiliki akhlak yang mulia dan terpuji. Jika bukan kerana keimanan dan rasa tawaduk, sukar bagi manusia memohon maaf.
Mereka yang sanggup memohon maaf ialah orang yang memiliki kekayaan hati, manakala mereka yang sukar memohon maaf dikatakan memiliki kemiskinan hati.

Sebenarnya agak sukar untuk menggambarkan secara jelas maksud sebenar kekayaan dan kemiskinan hati. Seorang penyair Arab menulis mengenai gambaran itu. Katanya: “Kemiskinan sentiasa ada pada hati orang kaya dan kekayaan sentiasa ada pada hati orang miskin”. Sejauh mana kebenarannya, hanya Allah yang mengetahui.

Jiwa yang kaya ialah jiwa yang bebas daripada sifat bangga diri, sebaliknya memiliki sifat pemurah dan berlapang hati. Ini memudahkan kita untuk mengakui kesilapan diri, memohon maaf dan memaafkan orang lain.

Dalam suatu riwayat diceritakan bahawa Abu Zar memanggil Bilal bin Rabbah dengan gelaran ‘wahai anak hitam’, satu ungkapan amat menghiris hati. Bilal apabila mendengar panggilan itu mendiamkan diri dan tidak membalas panggilan Abu Zar.

Sebagai manusia biasa yang mempunyai emosi dan perasaan, Bilal lantas pergi bertemu Rasulullah SAW untuk membuat aduan berkaitan perkara itu. Selepas mendengarnya, muka Baginda kelihatan berubah. Rasulullah SAW terus ke tempat Abu Zar berada tetapi hanya lalu saja dan terus ke masjid.

Mengetahui bahawa Rasulullah marah padanya lalu Abu Zar memberi salam kepada Rasulullah SAW . Baginda Nabi kemudian menyebut: “Wahai Abu Zar, kamu menghina Bilal dan menghina asal-usulnya. Ketahuilah Abu Zar, sesungguhnya kamu asal-usulnya ialah orang jahiliah sebelum masuk Islam dan sesungguhnya dalam diri kamu masih ada sisa jahiliah”.

Abu Zar RA berasa terpukul dan sangat menyesal. Abu Zar menangis dan merayu kepada Rasulullah SAW dengan berkata: “Wahai Rasulullah, maafkan kesalahanku dan mintalah Allah ampunkan dosaku...”. Lalu Abu Zar berlari mendapatkan Bilal lalu dipeluknya sambil memohon maaf kepadanya. Tidak cukup dengan itu, Abu Zar meletakkan kepalanya di atas tanah seraya berkata: “Demi Allah wahai Bilal, aku tidak akan angkat pipiku dari atas tanah kecuali kamu pijak pipiku yang sebelah lagi dengan kakimu. Demi Allah sesungguhnya kamu orang terhormat dan aku yang terhina”.

Bilal kemudian mendekatkan mukanya ke pipi Abu Zar lalu menciumnya berkali-kali. Kemudian diangkat dari tanah. Mereka berdua berpelukan penuh kasih sayang.

Pengajaran daripada kisah ini ialah, jangan sesekali kita menghina orang dalam apa bentuk sama ada perkataan ataupun perbuatan kerana emosi dan perasaan seseorang tidak boleh diperdagangkan dengan bayaran ganti rugi walaupun lumayan.

Memohon maaf atas kesalahan juga satu manifestasi dan pancaran keimanan, kesucian hati dan ketinggian akhlak seseorang. Ia selaras akhlak dan sunnah Baginda Rasulullah SAW sebagai seorang yang paling pemaaf lagi mulia sifatnya.

Sekiranya masih ada di kalangan kita yang berbuat kesalahan, wajar kita meminta maaf dengan cepat. Akui kesalahan dan berazam tidak akan mengulangi kesalahan itu.

Bagi mereka yang melakukan kesalahan padanya, tidak salah merendah diri dan memaafkan kesalahannya. Kasih sayang itu Allah tidak kurniakan secara percuma. Hanya yang ikhlas saja akan diberi ganjaran.

Kita wajar merenungi firman Allah yang bermaksud: “Terima kemaafan dan suruh dengan perkara yang baik serta berpaling (jangan dihiraukan) daripada orang yang jahil.” (Surah al-‘Araf, ayat 199)

Justeru, sikap mudah rasa bersalah walaupun atas perkara remeh perlu ditanam dalam diri Muslim. Hakikatnya, tanpa sikap saling memaafkan, kehidupan manusia terus dibelenggu pelbagai masalah, terutama perkara berkaitan kehidupan bermasyarakat.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)