• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Renung Wasiat Hassan Al-banna Untuk Mula Tahun Baru

SEMOGA kehadiran tahun baru 2012 ini menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk kita. Pengalaman sepanjang 2011 kita simpan sebagai kenangan yang tidak mungkin dapat kita ulangi.

Orang cakap ‘sejarah mungkin berulang’ tapi adakah ia sama seperti pertama kali terjadi? Tak, kan? Kenangan manis, kita kenang sampai bila-bila.

Kenangan pahit, kegagalan yang berlaku sepanjang 2011 kita anggap saja sebagai langkah yang perlu dilalui untuk kehidupan yang lebih berjaya.

Sebagai muhasabah dalam memulakan langkah 2012, penulis ingin mengajak kita merenung wasiat dan nasihat Hassan al-Banna yang sangat relevan dan hidup kata-katanya walaupun beliau sudah tiada lagi antaranya:

•Segeralah tunaikan solat pada awal waktu iaitu kala mendengar azan. Usahakanlah semampu terdaya. Ini membuktikan kesungguhan anda.

Di situ ada sumber kejayaan, pertolongan dan taufiq.

Perhatikanlah banyak perintah ayat al-Quran di mulakan dengan menyebut solat pada awalnya. Perhatikanlah Tuhan mensyariatkan solat di medan perang walaupun pada saat genting dan cemas.

•Bacalah al-Quran dan cuba memerhati mesejnya. Selalu berzikir dan cari ilmu walaupun sedikit. Kurangkan mengisi masa yang tidak bertujuan.

Sesungguhnya al-Quran adalah sumber asli lautan ilmu. Sumber hidayah kepada anda dan saya. Bacalah al-Quran, kelak ia memberi syafaat.

Sentiasalah membaca, menghafal dan cuba hayati mesej arahannya. Selalu berzikir, berzikir dan terus berzikir! Di sini ada ketenteraman, kedamaian dan keselamatan. Jadilah hamba yang sejahtera.

•Dorong diri untuk menguasai bahasa al-Quran. Mulakan dulu walaupun sepatah perkataan. Sebenarnya anda sudah lama bermula iaitu sejak anda solat setiap hari.

Sebut dulu walaupun tidak faham. Antara malapetaka pertama menimpa umat kita ialah kecuaian menguasai bahasa agamanya. Ayuh! Apa tunggu lagi bukalah ruang walaupun seminit!

•Usahlah bertarung idea tanpa adabnya. Berdebatlah jika kiranya berbuahkan kebaikan. Awasilah pertengkaran kerana di sana ada unsur lain membisikkan, syaitan namanya!

•Senyumlah selalu tapi bersederhanalah dalam ketawa! Rasulullah s.a.w adalah yang paling banyak senyum. Baginda ketawa kena pada tempatnya.

Bagaimanapun berpada-pada saja wahai kawan, Plato juga berharap supaya pementasan hiburan yang tidak bermutu, terlalu banyak ketawa dan lawak bodoh hanya disaksikan golongan abdi dan orang upahan asing.

Begitu juga pendapat Aristotle, supaya belia ditegah daripada menyaksikan hiburan yang membolehkan perbuatan ketawa berlebih-lebihan, agar tidak menular keburukan dalam diri!

•Seriuslah selalu dan berguraulah berpatutan. Tanpa serius, hilanglah kesungguhan. Tanpa bergurau, tawarlah kehidupan. Kata seorang penyair: Berikan kerehatan pada jiwamu. Yang sibuk dengan berfikir, ubati dengan bergurau. Tapi, kalau mengubatinya dengan bergurau mestilah dalam batas seperti kau masukkan garam ke dalam gulai.

•Kawal nada suaramu setakat yang diperlukan oleh pendengar di depanmu. Janganlah jadi seperti orang bodoh. Bahkan menyakiti hati orang lain pula. Luqman al-Hakim juga mencela orang yang tidak pandai menjaga nada suara pada tempatnya.

Itulah katanya suara keldai! Surah al-Isra’ memberi tip kepada kita. Jangan keraskan suaramu dalam solat. Tapi jangan pula merendahkannya. Carilah jalan tengah di antara keduanya.

•Usahlah mengumpat dan usahlah merendah-rendahkan pertubuhan lain. Bercakaplah jika ada unsur kebajikan. Ayuh! Hindarilah mengumpat! Tidak sekali mencabuli jemaah lain! Perkatakanlah kebaikan demi kebajikan bersama.

Sukakah anda makan daging? Pasti anda suka! Tapi sukakah anda makan daging kawan anda yang sudah mati? Sekali-kali tidak! Begitulah dosa orang yang mengumpat.

Bertaubatlah jika anda mengumpat tapi mesti minta ampun terhadap orang umpatanmu. Boleh mengumpat apabila ada tujuan syarie iaitu untuk menuntut keadilan apabila dizalimi, untuk menghapuskan kemungkaran atau kerana memberi amaran kepada Muslim lain mengenai kejahatan dan mengisytiharkan kefasikan dan kejahatan.

•Luaskanlah interaksimu dengan umat manusia. Sekali pun mereka tidak diminta berbuat demikian. Salam kasih sayang adalah untuk semua.

Salam kemesraan adalah untuk sejagat.

Hulurkanlah, hulurkanlah salam perkenalan. Lihatlah pensyariatan ibadah haji. Pelbagai bangsa, lapisan dan darjat datang berkunjung. Sama-sama menjunjung obor suci. Tidak mengenali tapi tak sepi.

•Maksimumkan faedah waktu anda dan tolonglah orang lain supaya manfaatkan masa. Hadkanlah masa penunaiannya. Biasakan hidup berjadual di hadapan.

Bijaksanakanlah menggunakan waktu anda. Bersegeralah, kerana dalam sabda Nabi yang bermaksud: “Bertindak segeralah melakukan amal...” (Diulang 7 kali..). Sayangilah masa saudaramu, hormatilah waktu mereka, usahlah berbicara meleret-leret tanpa haluan dan noktahnya.

Selamat menyambut tahun baru 2012!

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)