• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Rosak jiwa rosak amalan

SHEIKH Muhammad Abu Zahrah berkata: "Allah menjelaskan pada ayat-ayat terdahulu betapa hinanya ahli Kitab yang sezaman dengan Nabi apabila mencampuradukkan kebenaran dengan kebatilan, di samping mendustakan para Nabi."

Ayat ke-75

Firman Allah SWT yang bermaksud : Dan di antara ahli kitab, ada orang yang kalau Engkau amanahkan dia menyimpan sejumlah besar harta sekalipun, ia akan mengembalikannya (dengan sempurna) kepada-Mu, dan ada pula di antara mereka yang kalau Engkau amanahkan menyimpan sedinar pun, ia tidak akan mengembalikannya kepadamu kecuali kalau Engkau selalu menuntutnya. Yang demikian itu ialah kerana mereka mengatakan: "Tidak ada jalannya Kami menanggung dosa mengenai orang-orang yang Ummi dan, mereka pula selalu berkata dusta terhadap Allah sedang mereka mengetahui (bahawa mereka adalah berdusta). Bahkan (Mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertakwa, maka Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa.

Sebab Nuzul

Ibnu Jarir meriwayatkan : Pada zaman jahiliah, sekelompok umat Islam menjual barangan kepada orang Yahudi. Tatkala mereka menganut Islam mereka ingin menebus harta barangannya tetapi orang Yahudi menjawab: "Kami bukanlah golongan yang amanah dan kami tidak wajib melangsaikan hutang kami kepadamu kerana kamu telah meninggalkan agama yang dahulu kamu ikuti, sambil mereka mengaku bahawa mereka mendapat ketentuan yang sedemikian itu dalam kitab mereka".

Ibnu Mundhir meriwayatkan daripada Sa'id Ibnu Zubair, katanya: Tatkala turun ayat "Dan dari sebahagian Ahli Kitab…, tidak berdosa kamu terhadap orang Arab," lalu Nabi SAW bersabda, "Musuh-musuh Allah itu telah berdusta. Tidak ada suatu apa pun yang patut dilakukan pada zaman jahilliyah, melainkan di bawah kedua-dua kakiku ini, semuanya itu adalah amanah yang harus di tunaikan, sama ada kepada orang yang baik atau yang derhaka".

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Qurtubi berkata: "Dikatakan orang Yahudi yang menyimpan dinar kemudian khianat ialah Qanhas bin Azura'. Ada pendapat menyatakan Ka'ab bin Asyraf dan sahabatnya".

ii. Abu Hanifah dan mazhabnya mendalilkan ayat ini dalam mulazamah yang berhutang sedangkan ulama yang lain tidak bersetuju.

iii. Sheikh Muhammad Abu Zahrah berkata: "Dusta dan khianat merupakan kembar sebagaimana benar dan amanah adalah kembarnya. Rosaknya jiwa membawa kepada rosaknya amalan".

iv. Al-Maraghi berkata: "Ayat ini mengisyaratkan, bahawa bangsa Yahudi pada hakikatnya beranggapan memenuhi janji bukanlah suatu kewajipan yang mustahak".

Ayat ke-76

Firman Allah SWT yang bermaksud : Bahkan (Mereka berdosa memakan hak orang, kerana), sesiapa yang menyempurnakan janjinya (mengenai hak orang lain) dan bertakwa, maka Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertakwa.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Alusi berkata: "Ayat ini mewajibkan kepada apa yang dinafikan".

ii. Ibnu Jauzi berkata: "Perjanjian di sini ialah apa yang Allah janji dengan mereka di dalam Taurat dan kalimah ganti nama Nya pada perjanjian kembali kepada dua:

Pertama: Kepada Allah SWT.

Kedua: Kepada yang menunaikannya.

iii. Sheikh Sya'rawi berkata: "Ayat ini dimulakan dengan perkataan bala ( bahkan ) semata-mata untuk membatalkan isu yang terdahulu seperti dakwaan ahli Kitab.

iv. Al-Maraghi berkata: "Ayat ini mengandungi isyarat bahawa memenuhi janji dan menjauhkan diri daripada menyalahi orang lain, bersikap derhaka dan menjauhi dosa-dosa yang lain itulah akan mendekatkan seseorang kepada Tuhan-Nya dan menjadikan dirinya termasuk manusia yang dicintai-Nya. Sebaliknya jika seseorang berbangga dengan kebangsaannya, ia sama sekali tidak bernilai di sisi Allah SWT. Ayat ini memberi bantahan bahawa orang Yahudi yang mengikut pendapat ini sama sekali tidak mempunyai jiwa takwa. Padahal jiwa takwa inilah menjadi asas pokok setiap agama yang benar".

Ayat ke-77

Firman Allah SWT yang bermaksud : Sesungguhnya orang-orang yang mengutamakan keuntungan dunia yang sedikit dengan menolak janji Allah dan mencabuli sumpah mereka, mereka tidak akan mendapat bahagian yang baik pada hari akhirat, dan Allah tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan memandang kepada mereka pada hari kiamat, dan tidak akan membersihkan mereka (dari dosa), dan mereka pula akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya.

Sebab Nuzul

Terdapat tiga pandangan berkenaan sebab turunnya ayat ini :

i. Ibn Jarir meriwayatkan daripada 'Ikrimah katanya, "Ayat ini turun dalam peristiwa Abu Rafi' dan Lubabah Ibn Abu Huqayqiy dan Ka'b Ibn Ashraf serta Huyay Ibn Akhtab. Mereka ini mengubah dan menukar ayat-ayat Taurat tentang sifat-sifat Rasulullah SAW dan hukum memegang amanah serta hukum-hukum lain, kerana mereka melakukan kerana suapan (rasuah).

ii. Al-Bukhari dan lain-lain ada meriwayatkan bahawa Ash'ath bin Qays berkata: " Aku pernah menyerahkan sebidang tanah kepada seorang lelaki Yahudi, lalu dia mengingkarinya. Kemudian aku adukan dia kepada Rasulullah SAW. Baginda bersabda, "Adakah kamu mempunyai bukti?" Aku menjawab, "Tidak". Lalu Baginda bersabda kepada orang Yahudi itu. "Bersumpahlah!" Lalu aku berkata, "Wahai Rasulullah, jika dia bersumpah, hilanglah hartaku". Lalu turunlah surah al-Imran ayat 77. Al-Hafiz Ibn Hajar berkata: "Peristiwa ini mungkin yang menjadi sebab turunnya ayat atau peristiwa lain".

iii. Ia diturunkan kepada golongan Yahudi yang Allah melakukan perjanjian dengan mereka dalam Taurat dnegan menjelaskan sifat Nabi sedangkan mereka menyalahi dan mengengkarinya. Inilah pendapat Ikrimah dan Muqatil.

Iktibar dan fiqh ayat:

i. Al-Qaffal berkata: "Kalimah-kalimah ini (Allah SWT tidak akan berkata-kata dengan mereka dan tidak akan melihat mereka pada hari kiamat dan tidak (pula) akan membersihkan mereka) maksudnya, menerangkan betapa kemurkaan Allah SWT yang amat sangat kepada mereka sebab di dunia ini, seseorang yang menyebabkan orang lain tidak mahu berbicara kepada mereka, menandakan orang itu marah kepadanya dan kadang-kadang menyuruhnya pergi daripadanya. Dia berkata, "Aku tidak mahu berbicara denganmu dan melihat mukamu". Kalau disebut nama orang itu, disebutnya secara tidak baik.

ii. Sheikh Sya'rawi berkata: "Permulaan kehancuran pada jiwa seseorang apabila menukarkan hidayah dan mengambil ganti dengan kesesatan. Sesungguhnya mereka golongan yang rugi".

iii. Al-Maraghi berkata: "Allah SWT mengancam orang yang melanggar janji dan menyalahi janji dengan di haramkan mendapat nikmat, bahkan diberikan azab yang pedih. Mereka dimurkai Allah SWT sehingga tidak diberi rahmat kepada mereka, bahkan mereka juga tidak akan mendengar sebarang ucapan maaf dan keampunan daripada Allah SWT".

Daripada ayat-ayat yang lepas jelas menunjukkan sifat dan perangai golongan munafik dan ahli Kitab yang melanggar dan menyalahi janji, sedangkan mereka cukup mengetahuinya. Semoga kita menjadi golongan yang bertakwa dan berpegang kepada janji.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)