• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Sabar Hadapi Kekurangan

Oleh Mohd Fadly Samsudin

RASULULLAH terbukti contoh terbaik dalam menjalankan peranannya sebagai suami, bapa dan datuk yang cemerlang.

Sikap terpuji itu diketahui menerusi beberapa riwayat memaparkan kehidupan baginda yang bersikap adil, saling menghormati dan seorang pemaaf.

Baginda tidak sesekali keberatan membantu isterinya melakukan kerja rumah, malah pernah menjahit sendiri pakaiannya.

Rasulullah juga melayan kehendak isterinya tanpa menjatuhkan martabat sebagai seorang suami. Baginda bijak mengambil hati isteri, jauh sekali bersifat garang dan kasar terhadap isterinya.

Baginda bersabda yang bermaksud: "Takutlah kamu pada Allah dalam hal wanita. Mereka berada di dalam peliharaanmu. Kamu mengambilnya sebagai amanah dari Allah dan mereka itu dihalalkan untuk kamu dengan nama Allah."

Begitu juga gaya yang ditonjolkan dalam menyayangi anaknya. Saidatina Aisyah menceritakan bagaimana kasih sayang baginda terhadap anaknya Fatimah: "Fatimah datang berjalan kaki. Jalannya seperti Rasulullah berjalan. Lalu Rasulullah berkata kepadanya; "Selamat datang puteriku." Kemudian baginda mendudukkannya di sebelah kanan atau sebelah kiri baginda" (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Sementara kecemerlangan baginda sebagai seorang datuk dapat dilihat bagaimana baginda melayan kerenah dan gelagat dua cucu kesayangannya, Hassan serta Hussin dengan penuh kasih sayang.

Rasulullah sentiasa membelai serta mencium dua cucunya itu dan apabila cucu-cucu baginda datang menghampirinya, baginda terus mendukungnya.
Pernah ketika baginda sujud dalam solat, cucunya duduk di atas belakang hinggakan baginda sujud begitu lama.

Kehidupan alam rumah tangga sememangnya sentiasa diuji dengan pelbagai cabaran. Itulah sebahagian rencah kehidupan dalam misi mencapai matlamat perkahwinan iaitu mendapat mawaddah dan rahmat daripada Allah.

Suami perlu menunjukkan sikap menghargai isterinya dengan mempamerkan kasih sayang, saling menghormati, pemaaf dan sabar dalam menghadapi kerenah isteri.

Sikap baik Rasulullah terhadap isteri diakui sendiri isterinya, Aisyah yang meriwayatkan: "Rasulullah tidak pernah sekalipun memukul isteri dan pembantunya" (Hadis riwayat Bukhari).

Cukup teliti dan bersungguh-sungguh wataknya mempamerkan penghormatan terhadap isterinya. Apabila hendak memulakan perjalanan, baginda sentiasa memastikan tempat duduk isterinya di atas unta berada dalam keadaan selesa dan baginda duduk bagi membolehkan isterinya berpijak di atas lututnya untuk naik ke atas unta.

Isteri sebenarnya berhak menasihati suami jika mereka melakukan kesilapan, tetapi ia perlu dilakukan dengan bijaksana dan tidak menampakkan seperti menjatuhkan maruah suami sebagai pentadbir keluarga.

Malah, isteri solehah sentiasa bersikap rendah diri dan pandai menyimpan rahsia suami serta rumah tangga mereka. Rasulullah amat penyabar jika isterinya melakukan kesilapan.

Pada satu hari, ada salah seorang isterinya datang dengan membawa makanan untuk dikirim kepada Rasulullah yang ketika itu tinggal di rumah Aisyah.

Kemudian Aisyah dengan sengaja menjatuhkan makanan itu hingga piringnya pecah dan tertumpah semua makanan di dalamnya. Rasulullah hanya mengatakan, "Wahai Aisyah, kifaratnya adalah mengganti makanan itu dengan makanan yang sama."

Rasulullah juga mengecam suami yang tidak menghargai dan tidak menunjukkan sikap tolak ansur terhadap isterinya. Setiap pasangan perlu mempamerkan kemesraan bagi mengekalkan kerukunan rumah tangga.

Selain itu, antara perkara yang setiap isteri boleh cuba lakukan adalah meningkatkan ilmu dan kemahiran seperti memasak kerana suami sudah pasti menghargai jika ia dibuat hasil air tangan isterinya.

Tambahan lagi perkara itu dilakukan pada saat suami tidak terduga, pasti ia menambah penghargaan suami buat isterinya. Jadikan rumah sebagai tempat rehat sepuas-puasnya daripada bebanan kerja di pejabat.

Layani kerenah anak-anak supaya mereka sentiasa dihargai dan disayangi. Peruntukkan juga hari tertentu dengan membeli hadiah buat isteri dan anak tersayang di rumah.

Apabila dapat peluang bercuti hujung minggu, bawalah isteri berjalan-jalan kerana itu sudah dikira mampu membuatkan masing-masing gembira dan menjadi antara sunnah sifat romantis Rasulullah terhadap isterinya.

Pensyarah Jabatan Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (Unisza), Mohd Shahrizal Nasir berkata, tujuan berumah tangga adalah untuk meraih kebahagiaan dan berkasih sayang sesama manusia yang berlainan jantina secara halal.

“Ini juga antara tanda kebesaran Allah yang diperlihatkan menerusi perkahwinan. Allah berfirman yang bermaksud: “Dan di antara tanda kekuasaan-Nya adalah Dia menciptakan untukmu pasangan-pasanganmu dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikan di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir. (Surah al-Rum, ayat 21).

“Tidak dinafikan, sebagai manusia masing-masing mempunyai kelemahan dan kekurangan sama ada isteri mahupun suami. Cara terbaik mengatasinya adalah dengan bersabar serta tidak membesarkan kelemahan itu,” katanya.

Firman Allah yang bermaksud: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik. Kemudian jika kamu (berasa) benci kepada mereka (kerana tingkah lakunya, janganlah kamu terburu-buru menceraikannya) kerana boleh jadi kamu bencikan sesuatu, padahal Allah hendak menjadikan pada apa yang kamu benci itu kebaikan yang banyak untuk kamu” (Surah al-Nisa’, ayat 19)

Mohd Shahrizal berkata antara ciri-ciri Muslim terbaik apabila suami sentiasa mengutamakan hak keluarga iaitu isteri dan anak-anaknya.

Suami dan isteri mempunyai tanggungjawab bersama dalam rumah tangga. Nabi bersabda yang bermaksud: "Yang paling baik di antara kamu adalah yang paling baik terhadap keluarganya. Dan aku adalah yang paling baik di antara kamu terhadap keluargaku" (Hadis riwayat al-Tirmidzi).

"Jika berlaku masalah dalam keluarga jangan jadikan perceraian sebagai jalan penyelesaiannya," katanya.

Sabda Rasulullah yang bermaksud: "Siapa saja perempuan yang minta cerai kepada suaminya tanpa suatu sebab yang dapat dibenarkan, maka dia tidak mencium bau syurga" (Riwayat Abu Dawud dan Al-Tirmidzi).

Beliau berkata, Rasulullah sendiri juga pernah dilanda cubaan dalam rumah tangga akibat Saidatina Aisyah difitnah golongan munafik selepas tamatnya perang dengan Bani Mustaliq.

Saidatina Aisyah difitnah berkelakuan tidak baik dengan Safwan bin Mu’attal hinggakan fitnah itu memberi tekanan dan kesan kurang baik terhadap hubungan baginda dengan Aisyah.

Bagaimanapun Rasulullah tidak membuat tindakan terburu-buru menyalahkan isterinya, sebaliknya baginda menyiasat sendiri kesahihan berita itu dengan menyelidik serta meminta beberapa pandangan daripada sahabatnya.

"khirnya terbukti Aisyah berada di pihak benar dan tidak terbabit dengan fitnah yang dilemparkan itu," katanya.

Mohd Shahrizal berkata, peristiwa fitnah yang dikenali sebagai Hadithah al-Ifk memberi pengajaran kepada kita supaya dalam menghadapi sebarang situasi atau pergolakan ia perlu diselidik terlebih dulu.

Allah menjelaskan hal itu di dalam al-Quran: "Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita yang amat dusta itu adalah segolongan daripada kalangan kamu; janganlah kamu menyangka (berita yang dusta) itu buruk bagi kamu, bahkan ia baik bagi kamu. Setiap seorang di antara mereka beroleh hukuman sepadan dengan kesalahan yang dilakukannya itu, dan orang yang mengambil bahagian besar dalam menyiarkannya di antara mereka, beroleh seksa yang besar (di dunia dan di Akhirat)" (Surah al-Nur, ayat 11).

"Jangan percaya bulat-bulat dengan fitnah yang dihujani daripada orang luar yang bercerita mengenai rumah tangga hingga menjejaskan perhubungan ahli keluarga kita," katanya.

Menurutnya Rasulullah adalah contoh terbaik dalam semua perkara termasuk bijak mengurus alam rumah tangga.

Suami bertanggungjawab mengawal isterinya dan berlaku adil kepadanya kerana mereka adalah amanah penting dari Allah untuk dibimbing.

Suami perlu menjaga isteri dan bukannya menjadikan mereka sebagai hamba. Mengawal isterinya di sini maksudnya memastikan isteri terhalang daripada melakukan perkara yang ditegah Islam.

"Begitu juga jika seorang lelaki mengahwini lebih daripada seorang isteri, bermakna mereka perlu bersikap adil terhadap semua isterinya. Suami hendaklah memenuhi keperluan isteri-isterinya tanpa melebihkan salah seorang daripada mereka," katanya.

Beliau berkata, suami perlu mencontohi bagaimana Rasulullah menggembirakan hati isterinya seperti memanggil dengan panggilan mesra dan manja.

"Rasulullah biasa memanggil Aisyah dengan beberapa gelaran yang disukainya seperti Umairah (kemerah-merahan). Justeru, suami perlu mengambil contoh ini sebagai amalan dalam melayari alam rumah tangga supaya hati suami isteri sentiasa bertaut dan mempunyai nilai," katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)