2010/06/20
MINGGU lalu diterangkan serba sedikit mengenai peranan soal kefahaman suami isteri di mana saya menekan, kepentingan memahami perbezaan sikap bukan formula terunggul untuk mencapai kebahagiaan berumahtangga, namun ia mampu mengurangkan tekanan terhadap pasangan.
>SAMBUNGAN MINGGU LALU
Mengimbas kembali apa ditulis, saya menerangkan bahawa fungsi rumah tangga yang mesti diusahakan hendaklah menjurus kepada dua perkara iaitu ‘Lintaskunu Ilayha’, iaitu perkahwinan sebagai tempat untuk merehatkan serta menenangkan diri, dan ‘Mawaddah Wa Rahmah’, iaitu sebagai tempat memupuk emosi, perasaan belas, kasih sayang dan cinta terhadap pasangan.
Jadi, kali ini saya ingin berkongsi serba sedikit aduan atau soalan yang sering bermain di fikiran pasangan sama ada membabitkan suami atau isteri yang biasanya terbuku di hati.
Sebelum itu, lebih elok saya menjelaskan bahawa ‘aduan’ dan ‘kefahaman’ adalah perkara pokok yang perlu diberi perhatian setiap pasangan yang berumah tangga, yakni bagi mencapai sasaran perkahwinan seperti dijelaskan Allah SWT.
Sebagai suami isteri, biasanya punca awal masalah dalam rumah tangga hingga membawa kepada perceraian disebabkan hal kecil yang pada dasarnya dianggap remeh dan kurang diambil perhatian.
Secara ringkasnya, di sini saya sertakan beberapa aduan kecil yang biasanya bermain di fikiran isteri serta maklum balas yang lazim diterima oleh suami yang dilihat sering tidak mahu difahami oleh pasangan masing-masing serta perkara yang perlu difahami kedua-duanya.
Komen Isteri:
“Dia duduk di depan TV, sedangkan aku buat segala-galanya, ingat aku pembantu rumah ke?”, “Dia hanya bantu bila aku minta, tak bolehkah proaktif seperti aku?” Balas Suami: “Dia ingin semuanya dibuat serentak sekarang. Rehatlah dulu.”, “Dia mengharapkan aku menjadi pembaca mindanya selalu.” Dalam aspek ini, yang perlu difahami lelaki adalah, wanita sekadar meluahkan rasa panik terhadap sekeliling, dia sebenarnya perlukan teman ketika mengemas supaya hati gembira dan badan sihat.
Bantulah sekadar perlu atau yakinkan isteri untuk berehat bersama-sama terlebih dulu dan jangan terus berehat sendirian dan membiarkan si isteri terus melakukan tugasnya sendirian.
Sekali sekala, buat kejutan dengan mengemas seluruh rumah bersih secara mengejut seperti membasuh baju, menyidai pakaian atau membasuh pinggan.
Bagi wanita pula, mereka perlu faham bahawa kebanyakan lelaki akan memberi seribu satu macam justifikasi untuk berehat. Cuba faham bahawa rehat mampu memberikan kestabilan minda dan tubuh kepada suami serta mengurangkan risiko marah tidak bertempat, yang nyata ia baik untuk isteri dan anak.
Justeru, buat apa yang disukai dulu dan itulah tanda lelaki ingin merasakan rumah sebagai tempat berehat dan bertenang.
Adakalanya si suami juga tidak ingin mengganggu pekerjaan isteri kerana dibimbangi menjadi beban atau membawa kepada kepincangan terhadap kerja dilakukan selain antara tanda kasihnya kepada si isteri.
Komen Isteri:
“Bila aku bercakap kepadanya, dia sering menyampuk atau memberi penyelesaian.” Balas Suami: “Setiap idea aku bukan hendak dihargai, sebaliknya banyak pula yang dikomplennya.” Dalam situasi ini, sebagai lelaki, kita perlu faham bahawa wanita dalam banyak kebarangkalian dan keadaan, mereka bercerita masalah sekadar melepas bebanan dan bukan mencari penyelesaian segera. Jadilah pendengar yang baik.
Dia juga suka bercakap masalahnya bagi meraih simpati dan kasih suami terhadapnya. Tunjukkan simpati. Namun, cuba elak buat sementara sebarang penyelesaian melalui lafaz, dan banyakkan maklum balas melalui sentuhan.
Bagi wanita pula, mereka perlu tahu bahawa lelaki cenderung untuk menjadi hero dan juara dalam bidangnya, khususnya di depan wanita.
Kerana itu dia sering menyampuk sebagai tanda ambil serius terhadap masalah diberitahu dan ingin segera menyelesaikannya.
Maklum balas berterusan dengan wajah kurang senang selepas si lelaki melontarkan cadangannya boleh disalah anggap sebagai merendahkan kewibawaannya.
Komen Isteri:
“Bila dia bercakap, terus menerus dan langsung tidak berminat untuk mendengar apa yang aku cakapkan.”, “Tak pandang kita pun.” Balas Suami: “Aku memang mendengar, walau mata melihat kepada perkara lain.”, “Aku sudah bantu dengan pelbagai cadangan penyelesaian, namun dia masih tidak puas hati.” Dalam hal ini, lelaki perlu faham bahawa setiap wanita lebih rasa dihargai apabila kita melihat tepat ke matanya dan menunjukkan reaksi wajah.
Walau rasa kurang selesa dengan cara itu, ambillah hatinya.
Bagi wanita pula, mereka perlu tahu bahawa segelintir lelaki tidak suka memandang tepat ke wajah isteri, khususnya apabila isteri membangkitkan masalah dalam rumah tangga.
Ini kerana setiap perkara diungkit dianggap mencabar wibawa dan egonya. Jika seseorang suami itu senyap ketika anda bercakap dan memberi luahan, itu memadai sebagai tanda dia mendengar dan berfikir walaupun dia tidak memandang mata dan waja isterinya.
Lelaki juga ada kalanya tidak suka berada dalam suasana perbincangan terlalu serius di rumah yang dianggapnya tempat merasa rehat dan bertenang. Tidak mahu ia menjadi seperti pejabat. Dia akan mendengar, cuma tidak mahu dianggap seperti mesyuarat rasmi di pejabat.
Komen Isteri:
“Dia langsung tidak sedar penampilanku, adakah melampau untuk aku harapkan penghargaan sekali sekala, terutama di hari istimewa?” Balas Suami: “Berapa banyak kali penghargaan yang diperlukan? Takkan sampai setiap hari lima kali. Mengapa dia tersangat emosi dalam hal ini?” Berdasarkan situasi ini, lelaki perlu faham bahawa wanita memang tidak cukup hanya diberi sekali pujian, terutama dalam penampilan diri. Lebih kerap mereka dipuji, lebih terasa mereka berharga di mata suami.
Sentiasa ringankan mulut memuji. Adalah difahami bahawa satu tabiat lelaki ialah bosan mengulangi pujian kepada perkara dimilikinya, berbeza dengan keadaan sebelum memilikinya yang nyata pemurah dengan puji-pujian.
Bagi mengelak kebosanan menjengah, pelbagaikan cara, sama ada pujian dan penghargaan melalui tulisan, rakaman, sentuhan atau hadiah.
Wanita memang beremosi dalam perkara ini kerana sifat wanita akan merasa terancam dan bimbang apabila si suami sering didedahkan dengan wanita di luar rumah dan di TV yang dirasakan melebihi penampilan dirinya. Penghargaan lelaki adalah perlu baginya untuk meningkatkan keyakinan diri mereka.
Sebagai isteri, anda perlu faham suami biasanya memang kerap memuji isteri tetapi pujian diberi kerap di dalam hati tanpa suara dan lafaz. Namun, jangan dianggap tiada lafaz itu bermakna tiada penghargaan.
Tanda penghargaan suami adalah penat lelahnya bekerja mencari nafkah dan menyediakan keperluan zahir dan batin untuk si isteri.
Sebahagian tabiat suami adalah menganggap nafkah adalah pujian, penghargaan sebagai sampingan. Fahami sikap mereka, nescaya tekanan boleh dikurangkan.
Jangan bimbang, tidak semua suami melihat penampilan dan tubuh sebagai aset penting isteri. Justeru, jika merasakan diri ‘kurang menyerlah’ di bahagian itu, tingkatkan prestasi di bidang lain yang boleh dihargai oleh suami.
Ini serba ringkas perkara asas yang mungkin boleh saya kongsi bersama kerana saya tidak berani mengatakan semua wanita dan lelaki berciri sebegitu.
Namun, saya kira sebahagian besar sifat dan tabiat suami dan isteri adalah seperti yang saya tuliskan di atas. Wallahualam.
Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih
2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal
© Mukmin (Tiada Notis Copyright)
Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)