• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Saling Membantu, Membela Sesama Islam, Mengerat Ukhwah

Oleh Lokman Ismail

ISLAM adalah agama yang mementingkan persaudaraan kerana ia menjadi pemangkin ke arah kekuatan, kejayaan dan kecemerlangan. Antara ciri persaudaraan ialah saling membela, yakni membantu dan mempertahankan hak orang Islam lain.

Orang Islam yang tidak mempedulikan nasib saudaranya yang lain dianggap sebagai tidak sempurna imannya. Dalam hal ini, Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Tidak sempurna iman seseorang dalam kalangan kamu sehinggalah dia mencintai saudaranya seperti dia mencintai dirinya sendiri." (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Prinsip persaudaraan yang kukuh semata-mata kerana patuh kepada Allah SWT dan Nabi Muhammad SAW adalah faktor kepada kegemilangan umat Islam pada zaman Rasulullah SAW dan empayar Islam selepas itu.

Malangnya, sikap membela sesama umat Islam kini di lihat semakin lemah. Faktor ini menjadi punca mengapa umat Islam dalam keadaan lemah dan menjadi mangsa kekejaman musuh Islam. Umat Islam dilihat lebih suka menyokong atau berdamping dengan kuasa bukan Islam semata-mata untuk kepentingan diri.

Muslim sejati tidak akan membiarkan saudaranya dihina dan disiksa.
Penderitaan ditanggung saudara muslim diibaratkan turut ditanggung oleh dirinya. Maka, muslim sejati tidak akan membiarkan saudaranya menghadapi bahaya sendirian melainkan wajib baginya membela mengikut kemampuannya.

Pihak yang memerangi muslim wajib diperangi atau ditentang. Islam membenarkan tindakan berperang untuk melindungi keselamatan dan hak. Musuh muslim adalah juga menjadi musuh kepada seluruh muslim lain.

Ironinya, ada muslim yang berikrar akan melindungi musuh nyata yang sekian lama bertindak kejam terhadap umat Islam seperti kekejaman rejim Zionis Israel terhadap umat Islam Palestin. Individu yang berada di pihak musuh muslim, maka dia juga adalah sebahagian daripada musuh seluruh muslim yang mesti ditentang. Ini kerana, Islam menyuruh menolong ke arah kebaikan, bukan mendatangkan keburukan.

Firman Allah bermaksud: "Dan sentiasalah tolong menolong dalam kebaikan dan yang mendorong kepada takwa serta jangan tolong menolong dalam perkara membawa dosa serta permusuhan." (Surah al-Maidah, ayat 3).

Soalnya, mengapa ada orang Islam termasuk yang bergelar pemimpin sanggup menyokong musuh Islam? Perkara ini tidak harus berlaku jika umat Islam memahami ajaran Islam. Jangan gadaikan maruah dan kepentingan Islam semata-mata untuk mendapat sedikit pertolongan daripada musuh untuk kepentingan peribadi.

Sesungguhnya bantuan yang dihulurkan itu sudah tentu satu jerat yang akan membinasakan diri sendiri dan agama. Persaudaraan muslim tidak dibatasi bangsa dan sempadan geografi. Maka, setiap muslim perlu membantu muslim lain walaupun berlainan bangsa dan berada jauh di negara lain.

Allah SWT berfirman yang bermaksud: "Wahai umat manusia. Sesungguhnya Kami menciptakan kamu daripada lelaki dan perempuan, dan Kami menjadikan kamu pelbagai bangsa dan bersuku-puak supaya kamu berkenal-kenalan." (Surah al-Hujrat, ayat 13).

Setiap muslim perlu menunjukkan kesungguhan untuk membantu muslim lain yang ditimpa bencana atau dizalimi. Apa yang dilakukan itu tidak sia-sia dan mendapat balasan kebaikan di dunia dan akhirat. Sesungguhnya bantuan yang dihulurkan adalah jalan yang membawa kepada dimurahkan rezeki.

Rasulullah SAW bersabda bermaksud: "Sesungguhnya kalian hanya akan dibantu dan diberikan rezeki oleh Allah jika kalian semua membela orang yang lemah." (Riwayat Bukhari)

Ingatlah, kekuatan muslim tidak hanya melalui kelompok atau kumpulan tertentu saja. Kekuatan muslim perlu dibina secara keseluruhan kerana ia saling memperkuatkan antara satu sama lain.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Ibarat seorang mukmin dengan mukmin yang lain adalah seumpama sebuah binaan yang terdiri daripada bahan binaan yang saling sokong menyokong, lengkap melengkapi antara satu sama lain hingga terciptanya sebuah binaan yang tersergam kukuh." (Riwayat Bukhari).

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)