• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Sambut Ramadan Seikhlas Hati

SEPERTI umat Islam yang lain di seluruh dunia, sambutan Ramadan di United Kingdom tidak kurang meriahnya, cuma terhad kepada sebilangan kecil Muslim yang masih mengamalkan cara hidup Islam dalam kalangan bangsa Melayu, Arab dan Pakistan yang menetap di sini.

Walaupun tidak ketara seperti di Malaysia, persediaan serba sedikit mengingatkan kami akan hadirnya Ramadan yang bertandang sekali setahun.
Waktu sahur berakhir pada jam 4.00 pagi tentunya tidak menjadi masalah kerana tidak jauh beza dari Malaysia, tetapi di awal Ramadan, kami berbuka pada jam 9 malam.
Keadaan ini menguji kekuatan dan kesabaran, lebih-lebih lagi kanak-kanak yang baru belajar berpuasa dan juga ibu hamil yang cuba sedaya upaya menyempurnakan Ramadan, walaupun ada rukhsah untuk mereka tidak berpuasa.

Hakikatnya, di mana saja berada tanggungjawab kepada yang Esa wajib ditunaikan dengan penuh keinsafan. Tawaran pahala berlipat ganda, anugerah lailatulqadar dan keampunan dari dosa tentunya tidak mampu ditinggalkan begitu saja.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: Barang siapa berpuasa Ramadan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran pahala dari Allah maka diampunkan baginya segala dosa yang telah lalu. (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)

Tambahan pula gangguan syaitan yang selama ini membantutkan tekad dan hasrat untuk melakukan kebajikan juga dihalang oleh Allah SWT.
Daripada Abu Hurairah, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Apabila sudah tiba Ramadan, maka terbukalah semua pintu rahmat dan ditutup semua pintu neraka serta tangan syaitan dirantai. (Hadis riwayat Ahmad)

Itulah yang menyebabkan kegembiraan tidak terkira kepada sesiapa yang masih diberi ruang dan peluang memohon keampunan pada bulan penuh rahmah dan barakah ini.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Barang siapa merasa gembira dengan sebab kedatangan bulan Ramadan nescaya Allah Taala mengharamkan jasadnya daripada api neraka.(Hadis riwayat Ahmad)

Inilah sepatutnya diterapkan dalam jiwa anak-anak seawal mereka mula ingin memahami sebab dan musabab berpuasa. Ia bukan sekadar menahan lapar dan dahaga, tetapi juga mengawal diri melakukan maksiat, kejahatan serta dosa-dosa lain.

Selain perutnya, hati juga berpuasa, malah mata, telinga dan mulut turut berpuasa daripada halwa yang selama ini mendendangkan lagu alpa, yang menghitamkan hati selama sebelas bulan. Tentunya menahan diri seharian tidak mudah apatah sememangnya banyak cabaran dalam melaksanakan ibadah kepada Allah.

Tanpa kesabaran dan kekuatan iman, mustahil seseorang itu mampu berpuasa dalam erti kata yang sebenarnya. Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya orang yang bersabar saja yang akan disempurnakan pahala mereka dengan tidak terkira. (Surah Az-Zumar, ayat 10)

Sebab itu, tidak pelik apabila melihat ramai yang terang-terangan merokok, makan dan minum di khalayak, terutama di restoran, kedai makan serta bazar Ramadan, dalam kalangan penjual juadah berbuka itu sendiri kerana mereka tidak sabar.

Justeru, bagi yang baru belajar berpuasa genap sebulan atau berhasrat melakukannya dengan sungguh-sungguh kali ini, cubalah memperbanyakkan membaca al-Quran dan solat berjemaah serta penuhi kelapangan waktu dengan beriktikaf di masjid.

Amalan ini boleh mendekatkan kepada Allah dan menjalankan kewajipan sebagai Muslim dengan jujur dan amanah, sekali gus hati akan sentiasa jauh daripada nafsu serakah yang membaja dalam diri, walaupun tiada desakan syaitan.

Jangan sesekali membiarkan diri melakukan perbuatan sia-sia atau mengundang dosa kerana ia boleh mengurangkan kualiti puasa atau membatalkannya.

Ujian berpuasa tentulah tidak seberapa berbanding kelebihan dan manfaat Ramadan yang disediakan dalam pakej lengkap, bagaikan hadiah pertama akan diberi kepada setiap juara yang mampu menjawab semua soalan dengan betul, cuma majlis anugerahnya tertangguh di akhirat sana.

Penulis ialah Pensyarah Kanan, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)