• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Sedekah tidak jadikan kita miskin

UMUM mengetahui setiap kita akan mati. Lalu, segala harta yang dimiliki akan ditinggalkan, tidak akan dibawa bersama ke dalam kubur. Walaupun begitu, masih ramai di kalangan kita yang keberatan menghulur sedekah atau zakat.

Lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang kurang baik sebagaimana dialami sekarang.

Malah, tidak kurang yang fobia akan jatuh miskin jika berzakat atau bersedekah ketika mana mereka diuji dengan kesempitan hidup. Sedangkan Allah SWT berfirman yang maksud-Nya: Perumpamaan (nafkah yang dikeluarkan oleh) orang-orang yang menafkahkan hartanya di jalan Allah adalah ibarat sebutir benih yang menumbuhkan tujuh tangkai, pada tiap-tiap tangkai 100 biji. Allah melipatgandakan (ganjaran) bagi siapa yang Dia kehendaki. Dan Allah maha luas (kurnia-Nya) lagi maha mengetahui. (al-Baqarah: 261)

Wartawan MOHD. RADZI MOHD. ZIN menemu bual Eksekutif Zakat Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, Ahmad Husni Abdul Rahman bagi mengupas isu ini.

MEGA: Apabila keadaan ekonomi kurang baik ramai yang takut bersedekah. Antara sebabnya, takut tidak cukup makan dan kegunaan harian. Apakah benar dakwaan ini?

AHMAD HUSNI: Itu adalah anggapan yang tidak tepat dalam Islam. Walaupun ada pepatah Arab yang sebut, orang yang tidak ada apa-apa tidak mampu memberi apa-apa.

Namun, memberi dalam keadaan kita serba kekurangan atau tidak ada adalah sangat berharga dan tinggi nilai peribadinya.

Nabi Muhammad SAW pun tidak berharta tetapi baginda tetap bersedekah.

Dalam satu peristiwa, pernah Nabi memberikan baju yang baru dibeli dan dipakainya apabila didatangi oleh seorang lelaki Arab yang meminta baju itu daripada baginda.

Rasulullah SAW pernah bersabda daripada Abu Hurairah r.a. maksudnya: Sedekah tidak akan mengurangkan harta seseorang. Sesiapa yang bersikap pemaaf Allah akan menambahkan kemuliaan baginya. Dan sesiapa yang bersikap tawaduk kepada Allah maka Allah akan menaikkan darjatnya. (Sahih Muslim)

Penulis buku terkenal, Robert Kiyosaki dalam bukunya Rich Dad Poor Dad menyatakan dia berpegang teguh dengan prinsip tidak akan berlaku sesuatu kecuali kita mengorbankan sesuatu.

Itu berdasarkan pengalaman Kiyosaki yang pada suatu ketika berada dalam ambang muflis. Tetapi dia mencari orang yang merempat tidak berumah dan membantu orang tersebut.

Tidak lama kemudian, dia seolah-oleh dibentangkan jalan keluar daripada masalah kewangan yang dihadapinya.

Ada juga yang bagi alasan miskin sebab itu tak perlu bagi sedekah. Betulkah?

AHMAD HUSNI: Kita jangan keliru dengan konsep sedekah. Sedekah tidak sama dengan zakat.

Zakat bergantung kepada keupayaan dan keahlian manakala sedekah tidak bergantung kepada yang demikian.

Analogi bahawa sedekah itu mesti dengan wang ringgit juga adalah tidak tepat. Rasulullah pernah bersabda bahawa senyum itu pun sedekah. Maknanya, sedekah itu tidak terlalu berkait dengan harta.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: Setiap makruf itu sedekah, dan orang yang menunjukkan kepada kebaikan seperti orang yang melakukannya, dan Allah mengasihi orang yang membantu orang yang benar-benar memerlukan pertolongan. (riwayat al-Bukhari)

Jadi, kita masih boleh bersedekah tenaga, ilmu atau buah fikiran. Bukan semua orang yang berilmu itu kaya tetapi mereka boleh sedekahkan ilmu untuk kebaikan orang lain.

Kemiskinan adalah perkara yang akan berlaku sepanjang masa. Dari segi teorinya, ia mungkin boleh dihapuskan tetapi realitinya ia tetap berlaku.

Pernah berlaku pada zaman Khalifah Umar Abdul Aziz walaupun seolah-olah sukar mencari golongan asnaf. Sebabnya iman rakyat ketika itu adalah tinggi dan semuanya tidak mahu terima zakat. Sebaliknya mahu menjadi pembayar zakat.

Hayatilah firman Allah yang bermaksud: Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripada-Nya serta kelebihan kurnia-Nya dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmat-Nya, lagi sentiasa meliputi pengetahuan-Nya. (al-Baqarah: 268)

Ada juga individu yang apabila ekonomi meleset baru hendak membayar zakat. Adakah ini hikmah di sebalik hal itu?

AHMAD HUSNI: Bagi golongan begini, kita ucapkan selamat datang dan tahniah. Sebabnya, mereka sudah sedar tentang kewajipan berzakat.

Semasa waktu senang mungkin mereka terlupa mengingat Allah. Ini sebagaimana disebut dalam al-Quran yang maksud-Nya: Ingatlah! Sesungguhnya jenis manusia tetap melampaui batas (yang sepatutnya atau sewajarnya). Dengan sebab ia melihat dirinya sudah cukup apa yang dihajatinya. Ingatlah, sesungguhnya kepada Tuhamu tempat kembali (untuk menerima balasa). (al-Alaq: 6-7)

Bagaimanapun, Allah yang Maha Pemurah bangga melihat hamba-Nya yang ingat kepada-Nya walaupun pada waktu mereka ditimpa kesusahan.

Namun, sikap begini harus dipuji. Sebabnya waktu senang mereka susah nak bayar zakat tetapi apabila waktu susah, senang mengeluarkan zakat.

Apa yang penting ialah niat, keikhlasan dan istiqamah dalam melaksanakannya.

Tidak dinafikan mungkin ada individu yang berkira-kira untuk memotong pembayaran zakat apabila ditimpa kesempitan.

Saya berpendapat ini kurang sesuai kecuali dalam keadaan yang sangat kritikal. Kalau nak dibuat perbandingan contohnya kadar zakat RM10 atau RM20 sebulan, kita harus tolak dulu nilai top-up telefon bimbit atau langganan stesen televisyen berbayar sebelum memutuskan untuk potong bayar zakat.

Kita maklum kelebihan menderma sebagaimana ayat 261 surah al-Baqarah di atas. Namun, ramai juga yang gelisah dan kurang senang apabila terlalu ramai yang datang meminta. Apakah saranan Islam dalam keadaan begini?

AHMAD HUSNI: Dari satu sudut barangkali senario sedemikian menunjukkan ekonomi kita kurang baik atau sedikit merosot. Demikian juga apabila semakin ramai yang membuat jualan langsung buku-buku.

Tidak dinafikan sebahagian kita kurang senang apabila waktu makan tengah hari didatangi oleh empat atau lima orang daripada pertubuhan yang sama mengutip derma. Sedangkan kita sudah menderma kepada orang yang pertama tadi.

Dalam hal ini, kita mesti ada prinsip. Kalau tidak mahu bagi, cakap dan tolak dengan baik. Jangan pula tuduh yang bukan-bukan termasuk ada sindiket mengutip derma dan sebagainya.

Jika ada kemampuan, bagi sekadar yang mampu. Kalau mereka letak harga atau syarat dan kita tidak mampu, katakan sejumlah ini saja yang saya mampu.

Ingatlah firman Allah yang maksud-Nya: Menolak peminta-peminta sedekah) dengan perkataan yang baik dan memaafkan (kesilapan mereka) adalah lebih baik daripada sedekah (pemberian) yang diiringi (dengan perbuatan atau perkataan yang) menyakitkan hati dan (ingatlah), Allah Maha Kaya, lagi Maha Penyabar. (al-Baqarah: 263)

Jangan pula kita lupa bahawa sedekah itu antara pahala yang mampu sampai kepada kita selepas kita mati kelak.

Ini berdasarkan hadis Rasulullah SAW yang bermaksud: Apabila mati seseorang anak adam, maka terputuslah segala amalannya kecuali tiga perkara: Iaitu sedekah yang berterusan pahalanya, ilmu yang dimanfaatkan dan anak soleh yang mendoakan untuknya. (riwayat Bukhari dan Muslim)

Apakah pula strategi pihak yang mengutip zakat dalam keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan sekarang?

AHMAD HUSNI: Institusi seperti Pusat Zakat dan Baitulmal berhadapan dengan cabaran besar dalam keadaan semasa apabila melihat dunia dilanda kemelut ekonomi.

Adalah dijangka permintaan terdapat bantuan akan meningkat. Pada masa yang sama kecenderungan masyarakat bayar zakat pula berkurangan.

Oleh itu, kita perlu merancang dan membuat kajian teliti untuk memastikan apa yang diberi kepada fakir miskin menepati sasaran, tidak berlaku pembaziran dan tidak disia-siakan.

Ini sudah tentu memerlukan pengamatan dan pengawasan yang lebih teliti. Pada masa yang sama, kita akan menggiatkan usaha turun padang memberi penerangan kepada masyarakat tentang kewajipan berzakat. Ia sedang dilakukan melalui pembukaan kaunter penerangan di jabatan-jabatan kerajaan.

Selain itu, aktiviti ceramah untuk membangkitkan kesedaran juga akan dipergiatkan. Ini supaya kita dapat mengimbangkan antara mereka yang hilang pekerjaan dan mereka yang masih bekerja.

Pada masa yang sama hayatilah kata-kata Saidina Ali, apabila mengukur nikmat Allah, maka lihatlah orang yang lebih rendah atau kurang daripada apa yang kamu ada. Barulah kita tahu, bahawa di sebalik kekurangan dan kesempitan kita, ada lagi orang yang lebih susah daripada kita.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)