• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Sheikh Abdul Basit Qari Tersohor

Oleh: KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

Sheikh Abdul Basit Abdul Samad

TOKOH seni lagu Quran ini memang terkenal di seantero dunia Islam. Beliau amat berpengaruh di kalangan pembaca al-Quran era selepasnya. Rakaman 30 juzuk al-Quran masih lagi dialunkan. Individu yang dimaksudkan ialah Sheikh Abdul Basit Abdul Samad.

Anak kelahiran Mesir pada tahun 1927 mendapat pendidikan al-Quran dan berjaya menghafalnya pada usia 10 tahun melalui gurunya Sheikh Amer.

Bakat dan kepintaran Sheikh Abdul Basit menarik perhatian Sheikh Amer. Dalam sesi pengajarannya, Sheikh Amer amat mengambil berat tentang makhraj huruf, waqf ibtida dan alunan suara yang bersesuaian dengan ayat. Mengikut firasatnya, Sheikh Abdul Basit mempunyai masa depan yang gemilang bersama al-Quran.

Bagi melengkapkan lagi ilmu al-Quran, Sheikh Abdul Basit mengikuti kelas tajwid, qiraat dan ulum al-Quran daripada Sheikh Muhammad Salem Hamadah.

Semasa talaqqi qiraat, beliau telah menghafaz Matn Syatibiyyah. Hobinya membaca al-Quran secara tarannum di sepanjang hari telah menjadikan beliau terkenal di kampungnya.

Banyak pihak meminta Syeikh Abdul Basit membaca al-Quran dalam majlis. Namanya melonjak naik di kalangan masyarakat dan terkenal dengan cepat.

Pada tahun 1950, Sheikh Abdul Basit menghadiri satu majlis di Kaherah yang dihadiri Qurra terkenal seperti Sheikh Abdul Fattah Sha'sha', Sheikh Mustafa Ismail, Sheikh Abdul Azeem Zahir di Masjid Sayyidah Nafesah.

Kesemua Qurra ini adalah idola Sheikh Abdul Basit. Setelah beberapa ketika, saudaranya meminta penganjur memberi masa 10 minit kepada Sheikh Abdul Basit memperdengarkan bacaannya.

Ruang solat di Masjid Sayyidah Nafesah penuh sesak dengan pendengar yang setia menunggu bacaan qari yang terkenal. Selepas mendapat keizinan, Sheikh Abdul Basit mula mengalunkan bacaan surah al-Ahzab dengan suaranya yang lunak dan menarik.

Minit-minit awalnya, seluruh pendengar senyap sunyi dengan memberi perhatian kepada bacaannya. Beberapa ketika, kesunyian bertukar dengar laungan takbir dan doa untuk beliau.

Masa yang diberi kepadanya yang pada awalnya 10 minit dilanjutkan.

Ekoran itu, nama Sheikh Abdul Basit terkenal di Mesir. Kehebatan suaranya membaca al-Quran mendapat tawaran Radio Mesir melalui keizinan guru al-Quran terkenal ketika itu Sheikh Ali Dabba'. Pengaruhnya amat kuat, sehingga diceritakan ramai yang mula membeli radio semata-mata hendak mendengar bacaan Sheikh Abdul Basit.

Sheikh Abdul Basit menjadi qari rasmi di Masjid Imam Syafie selama 15 tahun. Kemudian berpindah ke Masjid Husein ekoran kematian qarinya Sheikh Mahmud Ali al-Banna.

Beliau bertugas di Masjid Husein selama tiga tahun dan bacaan terakhirnya adalah pada 18 November 1988.

Antara jutaan peminatnya adalah Sheikh Mahmud Sayyid Tantawi iaitu bekas Sheikh al-Azhar.

Menceritakan hubungan dan kekagumannya terhadap Sheikh Abdul Basit, Tantawi berkata: "Semasa saya masih lagi pelajar, saya selalu bersama radio pada hari sabtu untuk mendengar bacaan Sheikh Abdul Basit. Dan hari tersebut dianggap sebagai 'hari raya' bagi kami.

"Kemudian Allah SWT mentakdirkan kami menjadi sahabat dan beliau seorang yang mempunyai banyak maklumat. Secara jelasnya beliau guru yang hebat dalam tajwid dan makhraj, raut wajahnya ceria, suka kepada kebajikan dan memiliki karakter yang menarik."

Selepas menjadi khadam al-Quran dan berkhidmat untuknya, Sheikh Abdul Basit meninggal dunia pada 30 November 1988 pada usia 62 tahun.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)