• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Sighah Dalam Kontrak Islam

Oleh WAN JEMIZAN W. DERAMAN


Sighah adalah rukun bagi setiap jual beli. - Gambar hiasan

AKAD atau kontrak adalah satu simbol atau tanda wujudnya kerelaan di antara dua pihak yang berkontrak. Sighah adalah rukun yang penting dalam sesuatu akad di mana tanpanya sesuatu kontrak itu dianggap tidak berlaku.

Hal ini dapat ditelusuri menerusi firman Allah dan sabda Nabi SAW. Antaranya firman Allah SWT yang bermaksud: Melainkan yang halal (kamu makan), bahawa harta benda perniagaan itu, dilakukan rela sama rela di antara kamu. (an-Nisa': 29).

Demikian juga sabda Nabi SAW, daripada Abu Hurairah r.a daripada Nabi SAW, baginda bersabda: "Kedua pihak yang berjual beli tidak boleh berpisah kecuali setelah adanya kerelaan di antara keduanya". (riwayat Abu Daud dan Tarmizi)

Sighah atau secara mudahnya disebut sebagai lafaz akad adalah merupakan salah satu rukun yang mesti wujud pada sesuatu kontrak. Para ulama sepakat bahawa ketiadaan sighah akan menjejaskan akad yang dimeterai.

Ini bermakna, sesuatu kontrak itu tidak akan sah tanpa berlakunya sighah.

Sighah mengandungi dua komponen iaitu ijab (penawaran) dan qabul (penerimaan) yang diungkapkan oleh kedua-dua pihak yang berkontrak.

Ijab adalah memberi tawaran sesuatu supaya diterima. Sebagai contoh, ijab pada jual beli adalah tawaran menjual sesuatu kepada pembeli dengan harga tertentu seperti: "Aku jual barang ini kepada engkau dengan harga RM100", "Barang ini untuk engkau dengan harganya RM200".

Qabul pula adalah menerima. Sebagai contoh: "Aku beli barang ini dengan harga RM100" atau "Aku terima barang ini dengan harga RM200".

Ungkapan tersebut boleh berlaku sama ada melalui perkataan, tulisan atau isyarat.

Objektif sighah adalah menyatakan kerelaan dan persetujuan keatas kontrak yang dimeterai. Kerelaan dalam kontrak adalah sangat penting kerana di sebalik kontrak yang dimeterai itu mempunyai hak dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan oleh kedua-dua pihak yang berkontrak tersebut.

Bentuk sighah yang boleh digunakan dalam majlis akad mestilah terdiri daripada perkataan, tulisan atau perbuatan yang difahami oleh kedua pihak yang terlibat bahawa maksud jual beli itu telah berlaku seperti perkataan "saya jual" dan "saya beli".

Sighah secara perbuatan adalah seperti jual beli di mesin seperti urusniaga melalui kad ATM dan sebagainya.

Dalam pelaksanaan sighah ini, lafaz qabul tidak boleh menyanggahi lafaz ijab. Lafaz penerimaan hendaklah selari dengan lafaz penawaran.

Contoh, penjual menawarkan (ijab) untuk menjual sebuah kereta 'A' dengan harga RM50,000, maka pembeli dalam lafaz penerimaannya (qabul) hendaklah bersetuju seperti yang ditawarkan.

Ini kerana percanggahan pada lafaz akan menunjukkan percanggahan pada maksud. Justeru, tidak mungkin dua pihak yang berlainan hasrat dan niatnya dapat bersetuju diikat dalam satu kontrak.

Kesannya, ia akan membawa kepada perselisihan dan permusuhan di antara kedua-dua pihak itu setelah berlangsungnya majlis akad. Tidak ada pihak yang menang dalam keadaan ini.

Akad itu dianggap tidak sah dan ia perlu diulang kembali dengan lafaz dan maksud yang sama.

Lafaz ijab dan qabul disyaratkan juga agar tidak boleh dibuat secara bersyarat (taklik) seperti kata penjual: "Saya jual rumah ini kepada awak dengan syarat sekiranya saya ke luar negara". Malah bagi kontrak jual beli secara langsung ia juga tidak boleh diselangi dengan perkataan yang lain antara keduanya.

Oleh itu, Islam amat melarang jika sesuatu akad atau perjanjian yang ingin dimeterai tidak mempunyai maklumat lengkap. Semua perkara yang berkaitan dengan kontrak perlu dijelaskan secara terperinci dan kedua-dua belah pihak mesti memahami penjelasan tersebut sebelum majlis akad berlangsung.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)