• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Siti Al-malik Pakar Strategi

SITI al-Malik adalah wanita bijaksana dan cantik pada zamannya. Kefasihan bertutur dan kepintaran memberikan pendapat merupakan anugerah Allah kepadanya yang menjadikan Siti al-Malik dikagumi oleh orang ramai.

Beliau tegas dan bijak mengatur setiap tindakan bagi menjayakan rancangan yang telah dirangkanya. Oleh sebab beliau memiliki sifat-sifat seorang pemerintah yang bijaksana, maka saudara lelakinya, Al-Hakim bin Amrillah selalu meminta bantuan daripadanya dalam mengemudi tampuk pemerintahan Kerajaan Fatimiyah di negara Mesir.

Al-Hakim yang dilantik sebagai pemerintah hanya tahu untuk berseronok dengan kuasa yang dimilikinya. Beliau tidak peduli dengan urusan kerajaan dan menyerahkan bulat-bulat kepada Siti al-Malik untuk membuat keputusan terbaik.

Al-Hakim hanya memberi arahan kepada pembesar-pembesarnya tentang apa yang patut mereka laksanakan berdasarkan polisi yang dicadangkan oleh Siti al-Malik.

Al-Hakim mula mabuk kuasa dan bertindak mengikut nalurinya. Beliau tenggelam dalam kejahatan dan maksiat yang ditegah oleh agama Islam. Tidak ada siapa yang berani menegur perbuatan Al-Hakim walaupun sudah melampau batas nilai-nilai murni manusia.

Beliau mula berlaku zalim dan kejam kepada mereka yang menentang perintahnya. Rakyat Mesir mula hidup menderita dengan pemerintahan kuku besi Al-Hakim.

Penduduk Mesir yang tidak tahan dengan kekejaman pasukan tentera al-Hakim meminta bantuan daripada orang Turki. Namun bantuan orang Turki lambat tiba. Akibatnya, ramai penduduk Mesir mati dan rumah serta pasar dirosakkan dan dibakar.

Al-Hakim bukan sahaja takut dengan rakyat Mesir yang mula bangkit menentangnya tetapi mula syak dengan Siti al-Malik, saudara perempuannya yang banyak membantunya dalam pemerintahan negara.

Dia tahu Siti al-Malik banyak bergaul dan mempunyai pengaruh terhadap golongan bangsawan dan ulama dalam kerajaannya. Di samping itu, beliau adalah seorang yang bijaksana, fasih pertuturannya dan pintar menangani pelbagai persoalan negara dengan bijak.

Kehebatan Siti al-Malik menjadi ancaman kepada Al-Hakim yang mahu terus memerintah dengan zalim.

"Siti al-Malik mesti dihapuskan supaya tidak menjadi halangan kepada beta meneruskan pemerintahan di negara ini," Al-Malik duduk sendirian di atas kerusi takhtanya sambil memikirkan rancangan untuk membunuh saudara perempuannya.

Rancangan jahat al-Hakim akhirnya sampai ke pengetahuan Siti al-Malik melalui beberapa orang yang menjadi mata dan telinganya dalam istana al-Hakim.

Justeru, Siti al-Malik mula mengatur strategi menggunakan tipu muslihat untuk menyelamatkan dirinya dari dibunuh oleh al-Hakim.

Hampir seharian beliau duduk sendirian dalam biliknya memikirkan strategi terbaik untuk menghapuskan al-Hakim yang semakin berani berbuat apa sahaja untuk kepentingan dirinya. Akhirnya beliau mendapat buah fikiran lalu menulis sepucuk surat kepada Komander tentera al-Hakim.

"Kamu merupakan komander tentera yang paling dipercayai oleh saudara saya. Namun sekarang, kegilaan kuasanya membuatkan beliau mula tidak percaya pada awak lagi. Kini beliau sudah berada di puncak kekejaman dan kezaliman.

"Rakyat sudah tidak tahan dengan penderitaan yang mereka tanggung. Saya bimbang jika mereka akan memberontak dan melantik seseorang yang akan membunuh awak, malahan membunuh kita semua sehingga negara ini hancur".

Komander tentera itu terkejut dan terfikir sejenak tentang apa yang dituliskan oleh Siti al-Malik. Hatinya mula terpedaya dengan muslihat Siti al-Malik. Dia memanggil seorang panglima tentera yang paling dipercayainya lalu membincangkan perkara itu bersamanya.

"Al-Hakim akan mendaki gunung esok dengan anak lelakinya. Perintahkan dua orang tentera yang dipercayai untuk membunuh Al-Hakim. Kemudian kita lantik anaknya sebagai penggantinya. Saya akan berikan hadiah sebanyak 100,000 dinar untuk menjalankan tugas ini," arah Komander tentera itu.

Pada keesokan hari, dua orang tentera dan pengawal istana mengiringi al-Hakim ke gunung menunggu peluang yang terbaik untuk membunuh al-Hakim. Apabila melihat al-Hakim berada keseorangan, kedua-duanya menyerang dan membunuh al-Hakim. Kemudian anak lelakinya yang masih kecil diserahkan kepada pengawal istana untuk dibawa pulang.

"Wahai Siti al-Malik, Siapakah yang patut mengganti takhta pemerintahan negara ini?," tanya pembesar-pembesar dan komander tentera yang datang menghadapnya.

"Apa yang pasti adalah anaknya, Ali bin Al-Hakim harus menggantikan tempat ayahnya. Namun saya akan membantu Ali kerana dia masih kecil untuk menguruskan pemerintahan negara ini," jawab Siti al-Malik dengan jujur dan ikhlas.

Berita lantikan Ali sebagai pengganti ayahnya diterima baik oleh semua rakyat Mesir. Mereka semua menyatakan sokongan kepada Siti al-Malik yang membantu anak saudaranya untuk mengemudi pemerintahan negara Mesir. Mereka semua berkumpul dan berarak ke istana untuk menyatakan sokongan mereka.

"Kita akan memberi sokongan kepada Siti al-Malik dalam menjalankan pemerintahan negara ini," jerit salah pemimpin rakyat yang berhimpun di hadapan istana itu.

Siti al-Malik menjalankan urusan pemerintahan negara dengan begitu teliti dan penuh perancangan agar memberikan manfaat kepada semua golongan rakyat.

Beliau membela nasib rakyat yang tertindas dan memerangi golongan yang mengambil kesempatan terhadap golongan rakyat yang lemah dan miskin.

Pemerintahan yang adil dan saksama membuatkan rakyatnya menggelar sebagai Al-Zahir. Pemerintahan Siti al-Malik membuatkan negara Mesir semakin makmur dan kaya sehingga rakyatnya semakin mencintai Siti al-Malik.

Namun umur Siti al-Malik tidak panjang dan meninggal dunia ketika berusia 40 tahun pada tahun 415 Hijrah.

l Petikan daripada buku Srikandi Perisai Nabi terbitan PTS Publications & Distributions Sdn. Bhd.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)