• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Solat Berjemaah Bagi Wanita

Soalan
SAYA hendak bertanya perihal solat bagi jemaah wanita yang berimamkan wanita, pada waktu Maghrib, Subuh dan Isyak adakah kita baca al-Fatihah setelah selesai imam baca al-Fatihah atau kita baca al-Fatihah serentak? Saya musykil sebab kaum perempuan baca secara perlahan di dalam sembahyang. Kita mungkin tidak mendengar imam perempuan membaca al-Fatihah. Atau bolehkah imam perempuan menguatkan suara di dalam sembahyang supaya boleh di dengar makmum?

Jawapan

Imam perempuan boleh kuatkan suara tapi tidak dengan nada yang nyaring malahan untuk didengari oleh para jemaah wanita sahaja. Keadaan ini berbeza dengan solat jemaah yang diimamkan oleh orang lelaki.

Imam bagi jemaah lelaki adalah dituntut supaya membaca dengan nyaring di dalam solat-solat yang dibaca dengan nyaring.

Sekiranya solat yang ditunaikan bersama imam wanita adalah solat-solat yang menuntut bacaan jahr (kuat) maka makmum daripada kalangan wanita hendaklah menunggu sehingga imam selesai membaca surah al-Fatihah.

Apabila kaum wanita melaksanakan solat berjemaah yang diimami oleh seorang wanita maka sebahagian ulama memandang baik, hal ini berdasarkan beberapa riwayat di antaranya riwayat daripada Raithah Al-Hanafiyah: "Bahawasanya Aisyah r.h.a pernah mengimami wanita pada salah satu solat wajib, dan beliau berdiri di antara mereka" (HR. Daraquthni).

Diriwayatkan daripada Ummu Salamah r.h: "Bahawasanya beliau (Ummu Salamah, isteri Nabi SAW) mengimami para wanita; beliau berdiri di tengah (shaf)" (HR. Abdur Razzaq dan Al Baihaqi).

Berkata Syeikh Jibrin hafizahullah: "Ada pun solat berjemaah bagi wanita maka hal tersebut tidak mengapa dan bagi wanita yang memimpin solat tersebut berdiri di saf makmum, namun mereka tidak mendapatkan keutamaan solat berjemaah sebagaimana yang diperoleh oleh kaum lelaki yang melaksanakan di masjid, dan tidak dibenarkan bagi seorang lelaki untuk meninggalkan solat berjemaah di masjid dengan alasan akan melaksanakannya secara berjemaah di rumahnya bersama-sama dengan keluarga atau kaum wanita kerana mendatangi masjid untuk melaksanakan solat fardu adalah sangat dituntut bagi lelaki." (Lihat Fatawa Islamiyah 1:363)

Soalan

Adakah dikenakan dam bagi badal haji apabila ia dikerjakan secara haji tamattu'?

Jawapan

Ya, orang yang mengerjakan haji badal secara tamattu' juga dikenakan dam. Dam ini dikenakan ke atas orang yang masuk mekah pada bulan haji dengan mengerjakan umrah terlebih dahulu sebelum mengerjakan haji.

Tamattu' bermaksud berseronok dengan kelapangan dengan tiada keterikatan dengan ihram. Oleh yang demikian hendaklah orang yang mengerjakan haji secara tamattu' membayar dam. Dam ini wajib dibayar biarpun yang menunaikan haji tamattu' itu adalah haji badal.

Asal makna dam ialah darah. Kemudian dipakai sebagai nama binatang ternakan yang disembelih kerana menebus kesalahan atau menutupi kekurangan dalam masa mengerjakan haji atau umrah. Kemudian digunakan perkataan ini untuk sebarang denda ganti penyembelihan.

Dam yang dikenakan ke atas orang yang mengerjakan haji tamattu' ialah satu sahaja, yang boleh dibayar sebelum selesai mengerjakan haji atau selepasnya. Adapun umrah yang dikerjakan berulang-ulang kali selepas umrah wajib.

Bagi haji tamattu' tidak dikenakan Dam di atas pekerjaan itu kecuali kalau ia melanggar perkara-perkara yang dilarang semasa mengerjakan umrah itu, maka barulah dikenakan Dam. Dengan menyembelih seekor kambing sudah dikira tertunai kewajipan dam.

Apa yang menarik di sini ialah, membayar dam bererti memberi manfaat kepada diri sendiri dan juga orang lain. Ini kerana kambing yang disembelih boleh dimakan oleh orang yang menyembelih yang membayar dam atau disedekahkan dagingnya kepada mereka yang memerlukan. Kewajipan dapat ditunai kebajikan pun dapat sama.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)