• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Solat Cegah Gejala Sosial

Oleh Mohd Rizal Azman Rifin

SETIAP hari kita membaca pelbagai laporan media yang melaporkan mengenai gejala sosial yang seperti tiada pernah ada surutnya.

Salah laku sama dan kejadian banyak terjadi yang membabitkan golongan remaja dan belia. Hal itu menyebabkan kita tertanya-tanya di manakah silapnya dan tidak adakah jalan penyelesaian membantu memulihkan fenomena negatif itu?

Kita perlu kembali kepada asas utama yang membentuk generasi hebat iaitu solat. Hanya generasi yang mantap dan patuh menunaikan solat mampu menjana kehidupan sejahtera.

Islam mengarahkan ibu bapa melakukan tarbiah rohani seawal usia anak mereka dengan bersolat. Pemantauan ketat ibu bapa mengenai tuntutan bersolat akan meninggalkan natijah positif ke atas pembinaan jasmani, rohani, dan emosi anak.

Mengambil contoh usaha yang dijalankan Jabatan Pelajaran Negeri Terengganu bersama pelbagai agensi kerajaan lain dalam membasmi gejala ponteng di sekolah perlu diteladani dan dipuji.

Apa yang dilaksanakan ialah mana-mana pelajar yang ponteng sekolah, mereka akan dihimpunkan di surau dan perlu mendirikan solat.

Pendekatan melaksanakan solat itu adalah pendekatan paling berkesan kerana ia mampu memberikan ketenangan serta membawa keinsafan kepada pelajar.

Ketika Majlis Perasmian Program Smart Solat Remaja di Masjid Tuanku Mizan Zainal Abidin baru-baru ini, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Othman Mustapha ada menyentuh kepentingan solat sebagai usaha membendung gejala sosial di kalangan remaja.

Beliau berkata, umat Islam berdepan dengan masalah besar apabila anak muda Melayu Islam terbabit dengan gejala sosial termasuk dadah, merokok, melepak, bohsia, ponteng sekolah dan berzina.

Kebanyakan mereka yang terbabit menghadapi masalah menunaikan solat. Mereka tidak solat di rumah, apatah lagi di masjid atau surau, dan paling menyedihkan mereka itu tidak pernah melihat ibu bapa bersolat.

"Untuk menangani masalah keruntuhan akhlak adalah melalui pendekatan pendidikan solat," katanya.

Mendirikan solat mesti dimulakan ketika anak masih kecil dan pemantauan serta penjadualan rutin solat perlu diperhatikan ibu bapa.

Hisyam bin Sa'id menceritakan, “Saya dan beberapa orang lagi pernah menemui Mu'az bin Abdullah bin Hubaib al-Jahni, lalu dia bertanya kepada isterinya;
"Bilakah seseorang anak mula menunaikan solat?" Isterinya menjawab, "Baiklah, ada seorang lelaki dalam kalangan kita yang ingat jawapan Rasulullah, ketika Baginda ditanyakan hal seperti ini. Kata Rasulullah, "Jika seorang anak sudah dapat membezakan antara arah kanan dan kiri, suruhlah dia supaya menunaikan solat."

Sebagai ibu bapa, mereka perlu peka dalam aspek solat dan menjadikannya sebagai agenda utama membentuk jiwa anak.

Dalam satu kisah yang lain, Abdullah bin Umar al-Khattab memberitahu bahawa Rasulullah pernah mengatakan, "Jika anak-anak kamu semua fasih bercakap, ajarlah mereka kalimah 'La ilaha ilallah' dan janganlah kamu semua peduli bila mereka meninggal dunia. Jika tumbuh gigi depan mereka, suruhlah mereka menunaikan solat." (Hadis riwayat Ibnus Sunni daripada Ibnu Umar).

Pihak sekolah, pengajar pendidikan agama bersama-sama warga pendidik yang lain perlu memperbanyak aktiviti kerohanian seperti mendirikan solat secara berjemaah di surau sekolah.

Mulakan awal sesi pembelajaran dengan berkumpul di surau untuk membaca Surah Yasin, dan mendirikan solat hajat dan solat taubat. Selain itu, kegiatan membaca al-Quran seperti Nahwa al-Quran perlu dihidupkan sebagai sebahagian daripada aktiviti pembelajaran.

Anak muda yang disirami dengan kegiatan keagamaan seperti bersolat akan membentuk mereka muncul sebagai pelajar berakhlak mulia dan seterusnya mampu menjadi 'ubat' terbaik membendung gejala negatif.

Kisah kepekaan seorang ayah terhadap pembinaan akhlak anaknya dapat kita pelajari daripada apa yang pernah dilakukan oleh Khalifah Harun al-Rasyid.

Ibnu Khaldun ada melaporkan di dalam kitabnya, 'Muqaddimah', berkata, "Sesungguhnya Harun al-Rasyid ketika menyerahkan anaknya Al-Amin kepada pendidiknya lalu berkata kepada pendidik anaknya itu; "Sesungguhnya Amirul Mukminin menyerahkan penyejuk jiwa dan buah hatinya pada kamu.

Oleh itu, jadikanlah tangan kamu selalu terbuka kepadanya, sedangkan ketaatannya pada kamu adalah kewajipan. Bersikaplah sebagaimana sikap seorang guru yang diharapkan Amirul Mukminin pada anaknya, bacakanlah al-Quran untuknya, fahamkanlah dia syair, ajarkanlah kepadanya sunnah Rasulnya, fahamkanlah dia dengan berbagai kemuliaan, dan laranglah dia untuk ketawa kecuali pada waktu-waktunya, serta jangan sehingga berlalu satu detik pun kecuali kamu memberikan faedah yang bermanfaat untuknya."

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)