• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Solat Tahajud Usir Penyakit

TIDAK dapat dinafikan tidur adalah satu amalan yang perlu dan pasti bagi setiap insan yang menghuni alam yang fana ini.

Manusia bukannya enjin.

Ia tidak dapat bekerja tanpa rehat. Enjin boleh digerakkan tanpa rehat selagi perkara yang diperlukan olehnya seperti minyak dan sebagainya dapat kita penuhi.

Manusia walau pun mendapat cukup makan dan minum akan merasa penat sekiranya bekerja terus menerus tanpa rehat. Tanpa rehat, tenaga manusia akan terus berkurangan.

Cara berehat sebaik-baiknya bagi manusia bukanlah dengan berhenti bekerja, tetapi dengan tidur.

Melalui tidur tenaga manusia yang digunakan semasa bekerja dapat dipulihkan kembali kerana pada waktu tidurlah segala anggota yang diguna untuk bekerja berhenti daripada tugasnya.

Pentingnya tidur dan waktu rehat itu diakui Allah dengan firman-Nya yang bermaksud: "Allahlah yang membelah Subuh dan yang menjadikan malam untuk rehat dan menjadikan matahari dan bulan untuk menjadi sumber segala perhitungan. Inilah ketentuan yang Maha Kuasa dan Yang Maha Mengetahui." (Surah Al- An’am ayat 96) Walaupun dalam ayat di atas Allah menyatakan malam untuk berehat, sebagai hamba Allah tidak seharusnya menggunakan waktu malam itu untuk tidur semata-mata.

Kita seharusnya ingat dan sedar kepada motif dan tujuan Allah menjadikan manusia.

Motif Allah menjadikan manusia jelas dinyatakan dengan firman-Nya yang bermaksud: "Dan tidaklah Aku menciptakan jin dan manusia melainkan untuk beribadat menyembah-Ku." (Surah Az-Dzaariyaat ayat 56) Daripada ayat di atas dapatlah kita mengambil pengajaran bagaimana kita harus menggunakan waktu malam. Jika pada siang kita menggunakan kira-kira 100 peratus masa untuk kerja dunia, pada waktu malam biarlah kita peruntukkan sebahagiannya untuk berhubung dengan Allah.

Dan cara yang sebaik-baiknya untuk berhubungan dengan Allah ialah bangun mengerjakan solat Tahajud atau sembahyang tengah malam.

Sesungguhnya, bangun di tengah malam untuk bertahajud banyak kelebihan dan besar pahalanya. Ini jelas dari Firman Allah yang bermaksud: “Dan dari malam itu hendaklah engkau bangun Tahajud sebagai nafilah (ibadat tambahan) bagimu. Moga- moga Allah akan mengang kat mu ke tingkat yang terpuji.” (Surah Al-Israk ayat 79) Amalan untuk bangun bertahajud adalah satu perbuatan yang amat berat untuk mengerjakannya.

Keadaan tubuh yang letih dan lesu menyebabkan sesetengah orang itu tidur seperti mati tidak sedarkan diri lagi walau pun puas dikejutkan.

Matanya akan bertambah mengantuk dan tubuhnya bertambah penat apabila mereka tidur lewat kerana asyik menonton televisyen.

Keadaan sejuk dan suasana sepi di tengah malam juga menjadi faktor seseorang nyenyak tidur dan merasa keberatan untuk berhubungan dengan Allah.

Satu persoalan yang boleh diketengahkan di sini ialah mengapakah Allah meletakkan waktu sembahyang Tahajud itu di tengah malam ketika suasana sunyi sepi dan penuh kesejukan? Jawapannya ialah untuk menguji sejauh manakah taatnya seseorang makhluk yang mengaku dirinya bertuhankan Allah.

Manusia yang betul-betul yakin dan patuh kepada Allah tidak akan keberatan bangun di tengah malam untuk bertahajud.

Sesungguhnya sembahyang Tahajud satu daripada sembahyang sunat saja. Tetapi sembahyang ini mempunyai nilai dan kedudukan yang tinggi sekali berbanding dengan sembahyang sunat lain.

Rasulullah bersabda: "Hendaklah kamu Qiamullail (solat malam) kerana sesungguhnya solat malam itu adalah kebiasaan orang soleh sebelum kamu, dan mendekatkan diri kepada Allah, mencegah dari perbuatan dosa, dan menutupi dosa atau kejahatan dan mengusir penyakit dari badan." (Hadis Riwayat Ahmad, Tirmizi, Hakim dan Baihaqi) Tetapi sedikit sekali umat manusia yang mengaku dirinya ber agama Islam ini sanggup dan bersedia melakukan sembahyang Tahajud walaupun mereka sedar tingginya kedudukan dan nilai solat berkenaan.

Sesungguhnya manusia akan berlumba-lumba melakukan Tahajud jika dapat merasa betapa sedap dan nikmatnya melakukan amalan itu.

Kenyataan itu membuktikan bahawa peminat bola sepak akan bangun jam 2 pagi untuk menonton tayangan siaran secara langsung walau pun hanya keseorangan.

Ini adalah lantaran perasaan dan dorongan minatnya yang berkobar-kobar. Pada hal ula ngan tayangan kepada perlawanan itu biasanya akan dibuat pada waktu siang beberapa hari kemudiannya.

Tidak bolehkah perbuatan yang sama kita lakukan untuk bersembahyang Tahajud? Kita merasa keberatan untuk bangun melakukan sembahyang tersebut kerana kita tidak dapat merasai betapa lazat dan nikmatnya sembahyang Tahajud.

Keheningan malam seolaholah akan memberi kesempatan untuk merapatkan jurang perhubungan antara makhluk dengan khaliq.

Apa yang dibaca oleh seseorang ketika bersembahyang itu seolah-olah didengar dan mendapat layanan daripada Allah Yang Maha Kuasa.

Biasanya permohonan seseorang untuk mendapat sesuatu itu cepat diterima dan dilayan apabila tidak ramai yang memohonnya.

Oleh itu mohonlah keampunan dan limpahan dari Allah ketika orang lain sedang nye nyak tidur. Berhubunglah dengan Allah ketika peluang masih ada, umur masih muda dan pintu taubat masih terbuka. Insya-Allah kita akan mendapat limpahan rahmat daripada Allah.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)