• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Susahnya Mencari Sahabat

Telah menjadi fitrah semula jadi setiap manusia, suka bermasyarakat dan berkawan. Setidak-tidaknya bermasyarakat dan berkawan itu secara terpaksa kerana keadaan kehidupan manusia itu memaksa manusia itu bermasyarakat dan berkawan. Manusia itu tidak seperti malaikat atau haiwan atau pokok kayu yang boleh hidup bersendirian kerana keadaan manusia itu tidak mungkin boleh mengusahakan sendiri setiap keperluan-keperluan kehidupan mereka.

Pengalaman atau realiti kehidupan manusia itu telah memberitahu kepada kita bahawa ada sebahagian kehidupan kita, orang lain yang mengusahakannya. Sepertimana juga sebahagian kehidupan orang lain, kita yang mengusahakannya. Ini berlaku sama ada secara langsung mahupun secara tidak langsung. Secara disedari atau tidak disedari. Justeru itulah manusia cenderung kepada bermasyarakat atau berkawan.

Namun demikian di akhir zaman ini, di antara perkara yang susah hendak dicari, bahkan hampir mustahil untuk didapati ialah mencari sahabat. Untuk mencari kenalan adalah mudah. Nafsu dan sifat yang ada di dalam diri manusia itu yang kadangkala menjadi punca payah hendak bersahabat atau setelah bersahabat, pecah semula kerana perangai negatif masing-masing.

Sekalipun mudah mendapat kenalan sekampung, kenalan disebuah sekolah, kenalan dalam sebuah darjah, kenalan di tempat kerja, kenalan di dalam sebuah jemaah atau kenalan sepermainan, tetapi untuk mendapat seorang sahabat pun amat susah sekali.

Bersahabat tidak sama dengan berkawan. Berkawan itu ikatan di antara manusia yang agak longgar. Mungkin kawan sepermainan sahaja. Diikat oleh permainan yang sama. Mungkin kawan sekerja. Di luar waktu kerja, tidak lagi berkawan. Sekadar itu sahaja. Mungkin kawan separti. Di luar parti, tiada kawan lagi. Mungkin kawan senasib. Apabila nasib sudah tidak sama, hilanglah kawan. Masing-masing membawa nasib. Selepas itu tidak ingin pun hendak bertemu lagi.

Memang untuk mendapat seorang sahabat amat payah. Terlalu sulit. Buktinya dari pengalaman kita, sama ada diri kita atau orang lain, tidak ada yang dapat berkawan dengan seseorang itu berpanjangan. Adakalanya kita boleh berkawan waktu sama-sama bersekolah di sebuah sekolah. Selepas habis persekolahan, tidak pun ingin bertemu.

Waktu sama-sama di tempat kerja, kita rapat dengan seseorang. Selepas berpisah, sama ada tukar tempat kerja atau pencen, tidak ada pun satu sama lain ingin bertemu lagi. Kalau bertemu pun secara tidak dirancang dan diduga.

Adakalanya kita berkawan rapat dengan seseorang. Selepas dia berkahwin atau kita berkahwin atau setelah sama-sama sudah berkahwin, hilang kawan. Tidak ada pun minat hendak bertemu dan berjumpa. Jauh sekali terasa rindu-merindui, hingga hubung-menghubungi, ziarah-menziarahi dan berimemberi. Tiada lagi hadiah-menghadiahkan, tolong-menolong dan bantu-membantu.

Ertinya susah sekali kita melihat seseorang itu bersahabat dengan seseorang sampai ke hujung. Yang sempadannya adalah mati. Sekalipun sudah menjadi lumrah atau budaya, selalu sahaja seseorang itu berkata:
Dia ini sahabat saya.

Sebenarnya apa yang diperkatakan itu bukan sahabat, hanya sekadar berkawan. Ikatan kawan longgar. Ikatan sahabat itu kuat. Ikatan kawan hanya luaran atau dari luar saja seperti berkawan kerana bersama memancing atau bersama memikat burung. Boleh jadi juga berkawan kerana sama-sama memperjuangkan nasib yang sama, seperti sama-sama menjadi ahli di dalam kesatuan buruh dan lain-lain. Apabila nasib selesai atau tidak dapat diselesaikan, masing-masing membawa diri. Tidak ada ikatan lagi. Selepas itu adakalanya tidak pernah bertemu satu sama lain. Sudah tidak tahu-menahu lagi hingga sampai mati.

Mengapa berkawan tidak mahu kekal?Di mana salah dan silapnya?
Sedangkan fitrah semula jadi setiap manusia memang suka berkawan atau cenderung berkawan. Kerana hidup bersendirian tanpa kawan, banyak cacat dan kesusahan yang dihadapi manusia. Manusia yang banyak kawan, lebih ceria dan riang hidupnya daripada orang yang hidup bersendirian. Sebab itulah tabiat manusia suka berkawan. Walaupun begitu manusia ini selalu sahaja dapat kawan dan kemudian hilang kawan. Kawan silih berganti. Payah hendak kekal hingga mati.

Mengapa? Ada beberapa sebab.
Di antaranya:
1. Berkawan itu ada kepentingan peribadi.
Sama ada kedua-dua orang yang berkawan atau salah seorangnya ada kepentingan peribadi. Mungkin berkawan kerana kekayaan orang itu, atau kerana kekuatan orang itu yang mana kalau ada musuh, boleh tumpang berlindung atau menumpang pengaruhnya. Apabila tujuan tersebut sudah tiada lagi, berkawan sudah tidak diperlukan lagi.

2. Berkawan dengan sebab seagama, sebangsa, sekaum, sekampung, senegeri dan lain-lain.
Berkawan apabila bertemu dengan orang yang satu kaum atau satu kampung atau satu negeri atau satu bangsa atau seagama (walaupun agamanya tidak dipraktikkan) di negeri atau negara lain yang asing pada mereka. Di waktu itu mungkin mereka tidak boleh sesuaikan diri di segi agama,bahasa, bangsa atau budaya di situ. Maka di waktu itu mereka amat rapat berkawan kerana satu sama lain perlumemerlukan lantaran sama-sama berdagang di negeri atau di negara orang. Setelah berpisah atau setelah sama-sama balik ke negeri sendiri, walaupun bertemu tetapi hubungan rapat sudah tiada lagi.

3. Kawan kongsi
Berkawan kerana berkongsi berniaga atau berternak untuk hidup. Selama berkongsi bolehlah berkawan. Apabila sudah tidak berkongsi lagi, satu sama lain sudah macam orang lain sahaja. Tidak serapat dulu.

4. Kawan seasrama
Berkawan waktu sama-sama duduk di asrama. Kebetulan pula berkongsi di dalam satu bilik atau duduk di pondok pengajian di dalam satu bangunan. Sama-sama memasak dan mentelaah. Setelah habis pengajian, berkawan sudah tidak berlaku lagi. Seolah-olah macam kenalan biasa walaupun masih selalu bertemu.

5. Berkawan kerana takut
Berkawan kerana duduk di satu kawasan yang banyak berlaku jenayah. Oleh kerana takut bersendirian maka terpaksa berkawan. Setelah jenayah sudah tiada atau masingmasing berpindah, masing-masing membawa diri. Kalaupun masih boleh bertemu tetapi tidak serapat dahulu.

Mengapa berkawan seperti yang digambarkan tadi tidak pernah kekal? Mengapa berkawan tidak berpanjangan?
Tidak kekal berkawan secara itu kerana ikatan tidak kuat. Ia diikat oleh perkara luaran. Diikat oleh keperluan semasa. Diikat oleh keadaan yang memaksa. Ia bukan dijalin oleh ikatan hati yang mempunyai akidah yang sama, ada hubung kait dengan Tuhan yang kekal abadi dan untuk kepentingan kedua sahabat yang berkekalan hingga sampai ke Akhirat.

Dengan kata-kata yang lain, ia bukan ikatan hati dua orang yang berkawan kerana Allah Taala. Orang yang berkawan kerana Allah Taala, kalau berpisah pun kerana Allah Taala. Suka dan benci pun kerana Allah Taala.
Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: "Tiadalah dua orang yang saling cintamencintai kerana Allah itu, melainkan yang lebih dicintai Allah itu, orang yang lebih banyak cintanya pada rakannya."

Bersahabat kerana Allah Taala, ikatan amat kuat sekali. Ia diikat oleh satu akidah. Ia berkawan tidak ada kepentingan dunia yang sementara ini. Mereka bersahabat kerana iman, akhlak dan kerana ketaqwaan. Bersahabat seperti ini adalah kuat ikatannya. Biasanya sampai mati.

Bersahabat seperti ini mendapat perlindungan di Mahsyar dari Allah Taala yang mana hari itu tidak ada perlindungan melainkan perlindungan dari Allah Taala. Sabda Rasulullah SAW:
Maksudnya: Cinta kasih-Ku terlimpah di atas mereka yang berkasih sayang kerana-Ku. Akan Kunaungi mereka di bawah naungan Arasy pada hari Kiamat yang mana pada hari itu tiada naungan melainkan naungan-Ku."(Riwayat Abiddunya)

Orang yang benar-benar bersahabat ada beberapa peringkat:
1. Sahabat secara umum
Iaitu sahabat yang berada di dalam satu perjuangan Islam atau di dalam sebuah jemaah Islam yang bercita-cita menegakkan Islam di dalam kehidupan individu, rumah tangga, masyarakat, negara dan seterusnya alam sejagat.

2. Sahabat secara khusus
Sahabat secara khusus iaitu orang yang bersahabat dengan lebih mendalam lagi kasih sayang dan ikatan jiwa satu sama lain. Selain daripada diikat oleh sahabat secara umum, ditambah pula kerana ada cita-cita bersama menegakkan Islam.

3. Sahabat yang dipersaudarakan
Sahabat ini lebih mendalam lagi kerana mereka ada membuat perjanjian antara satu sama lain. Bersaudara seolaholah adik-beradik satu keturunan, dari satu ibu dan ayah.Itulah yang pernah dilakukan oleh Rasulullah SAW di kalangan para Sahabat.

Lanjutan daripada kisah mempersaudarakan para Sahabat yang dilakukan oleh Rasulullah SAW, baginda sendiri mengambil Sayidina Ali karamallahu wajhah sebagai saudaranya. Setelah Rasulullah mempersaudarakan Sahabat-Sahabat Ansar dan Muhajirin,

Sahabat-Sahabat Ansar pun berkata: "Harta benda kami (tanah dan kebun tamar), kami akan bahagi-bahagikan di antara mereka."

Apabila Sahabat-Sahabat Ansar memungut hasil kebun kurma, mereka membahagikan hasil pungutan itu kepada dua bahagian. Salah satu bahagian lebih banyak dari bahagian yang satu lagi. Sahabat Ansar pun meletakkan pelepah-pelepah kurma di bahagian bawahnya sehingga bahagian yang sedikit itu nampak lebih banyak daripada bahagian yang banyak tadi. Mereka pun memberi bahagian yang kelihatan sedikit (tetapi pada hakikatnya inilah yang lebih banyak) kepada saudara mereka, orang Muhajirin dan mereka mengambil bahagian yang mengandungi pelepah kurma itu.

Hal ini berterusan sehinggalah Islam semakin kuat dan mendapat banyak harta lalu Rasulullah SAW telah menawarkan kepada orang-orang Ansar harta-harta itu sebagai membalas budi mereka. Sebaliknya Sahabat-Sahabat Ansar menolak sambil berkata, "Tidak, melainkan tuan membahagi-bahagikannya sama rata dengan saudara-saudara kami (orang Muhajirin)."

Ada seorang Sahabat Ansar bernama Saad bin Rabi` telah dipersaudarakan dengan Sayidina Abdul Rahman bin Auf. Saad berkata, "Ya saudaraku, aku adalah orang yang paling banyak mempunyai harta di Madinah, maka lihatlah olehmu kepada hartaku dan ambillah sebanyak mana yang kamu inginkan. Aku juga mempunyai dua orang isteri, lihatlah mereka, siapa di antara keduanya yang engkau sukai, aku akan menceraikannya untukmu."

Akan tetapi Sayidina Abdul Rahman tidak sanggup menerimanya lalu berkata, Allah memberkati kamu, harta dan keluarga kamu. Tunjukkan aku arah ke pasar."Lalu dia ditunjukkan jalan ke pasar dan Abdul Rahman bin Auf pun berniaga sehingga mencukupi keperluan hidupnya.

Oleh itu, bersahabat besar ertinya. Kerana itulah Rasulullah SAW memanggil pengikut-pengikutnya dengan perkataan Sahabat. Padahal di dalam bahasa Arab ada perkataan lain yang makna lahirnya agak sama, misalnya zamil atau rafiq. Tetapi erti sahabat lebih mendalam dan mesra. Erti sahabat, orang yang sentiasa mengiringi kita, sentiasa ada di samping kita atau selalu berdekatan dengan kita. Erti mengiring atau sentiasa di samping atau berdekatan dengan kita itu, bukan erti luaran sahaja. Bukan sekadar lahiriah sahaja tetapi batinnya sekali. Seperti mengiringi dan mendampingi hati kita. Dekat dengan hati kita. Dengan kata yang lain, seseorang sahabat itu sentiasa memerhati dan memikirkan kehidupan lahir sahabatnya seperti makan minum, pakaian, tempat tinggal, situasi tempat tinggal, sakit pening, susah payah dan pendidikannya.

Bahkan dia juga sentiasa memahami psikologi atau batin sahabatnya seperti tentang perasaan, kegemaran, kebencian, kesukaan, kemarahan, siapa orang yang dia suka dan siapa orang yang tidak disukainya. Bahkan kenal anak isteri, keluarga, sahabat-sahabat dan musuhmusuh kepada sahabatnya itu.

Perlu kita faham itu semua agar dapat kita berkongsi sama dengan sahabat, suka duka, masalah, kemahuan dan kebencian mereka. Agar perkara-perkara yang mereka perlukan bantuan, kita bantu. Manakala yang perlu dijauhi, sama-sama kita hindari dan jauhi. Jika perlu nasihat, kita beri nasihat. Apabila kita bersahabat, kenalah jaga perasaan mereka.

Selain itu kalau kita bersahabat dengan sesiapa, kita kenalah jujur dan amanah serta bertanggungjawab terhadap mereka. Sepertimana kita berlaku jujur, amanah serta bertanggungjawab kepada diri kita, begitu jugalah tanggungjawab kita kepada mereka dan keluarga mereka. Kita kenalah jaga mereka macam kita menjaga diri dan keluarga kita.

Kalau begitu di antara syarat-syarat kita bersahabat ialah:
1. Kalau mereka susah, memerlukan bantuan, kenalah kita bantu sama ada dengan wang ringgit, tenaga mahupun nasihat dan pandangan kita.
2. Kalau mereka meminta sesuatu, kenalah kita beri. Jika kita tidak mampu, minta maaflah kepadanya.
3. Kenalah ziarah selalu dan lihat-lihatlah apakah yang perlu kita bantu.
4. Sewaktu ke rumahnya, bawalah buah tangan.
5. Berilah hadiah terutama di waktu-waktu yang sesuai seperti mereka mendapat anak, waktu perkahwinan dan sebagainya.
6. Di waktu sakitnya kenalah ziarah dan doakan kesembuhannya.
7. Di waktu mereka mendapat sesuatu yang menggembirakan, hendaklah kita juga lahirkan kegembiraan.
8. Di waktu mereka mendapat sesuatu kesusahan dan kesedihan, hendaklah kita juga melahirkan rasa kesedihan dan kesusahan sama.
9. Kebaikannya selalulah kita puji di belakangnya.
10. Kecacatan dan kekurangan atau keaibannya dan keluarganya, hendaklah kita tutup. Ertinya kita jangan mengumpatnya.
11. Kalau ada orang lain mengumpatnya di hadapan kita, kenalah nasihat orang itu atau kita tinggalkan majlis itu.
12. Kalau dia mengajak kita menemaninya ke mana-mana, kenalah kita menerimanya kecuali kalau ada keuzuran yang tidak dapat dielakkan.
13. Kalau dia menjemput ke majlis, wajib kita menerima jemputannya.
14. Kenalah ziarah serta mengambil perhatian keluarganya selepas matinya.
15. Kenalah ziarah sahabat baiknya. Kalau boleh mengambil perhatian kehidupan keluarga mereka selepas matinya.
16. Selalu mendoakannya di luar pengetahuannya atau bukan di majlisnya.
17. Berilah kemaafan di atas kesalahan terhadap kita.
18. Mintalah maaf kepadanya di atas kesalahan dan kekurangan dan kelemahan diri dalam menunaikan tanggungjawab terhadapnya.

PERINGKAT ORANG YANG BERTANGGUNGJAWAB TERHADAP SAHABAT
Oleh kerana orang yang bersahabat itu tidak sama satu sama lain di dalam menunaikan tanggungjawab terhadap sahabatnya, justeru itu bersahabat itu ada beberapa peringkat:
1. Golongan orang soleh
Iaitu seseorang sahabat terhadap sahabatnya sekadar dapat memberi tanggungjawabnya kepada sahabatnya apabila diminta. Apabila sahabat itu memerlukan sesuatu, kalau dia tahu, (sama ada dia tahu sendiri atau sahabatnya memberitahu atau ada orang lain memberitahu) dia akan membantunya. Dengan kata-kata yang lain dia akan membantu, memberi, menolong sahabatnya di waktu sahabatnya memerlukan bantuannya.

2. Golongan muqarrabin
Iaitu seorang sahabat dapat memberi tanggungjawab terhadap sahabatnya dengan memberi sesuatu kepunyaannya dibahagi dua kepada sahabat-sahabatnya. Apa sahaja yang dia dapat, maka separuh untuknya dan separuh lagi untuk sahabatnya. Dengan kata-kata yang lain setiap nikmat yang dia perolehi dia akan memberi sahabatnya separuh daripadanya iaitu sama banyak atau dibahagi dua.

3. Golongan siddiqin
Iaitu seseorang itu lebih mengutamakan sahabatnya daripada diri sendiri. Ini adalah berdasarkan ayat Al Quran:
Maksudnya: "Saudaramu yang sebenar ialah orang yang sentiasa berada di sampingmu, dia sanggup membahayakan dirinya demi keselamatanmu, orang yang setiap masa bekerja untuk keperluanmu, sanggup mengorbankan segala-gala untuk kepentingan dirimu."

Dalam setiap hal dan keadaan, dia mesti mengutamakan sahabatnya lebih dahulu daripada dirinya sendiri. Sebagai contoh, kalau di dalam masa yang sama dia dan sahabatnya sama-sama memerlukan duit, maka duit itu akan diberi kepada sahabatnya. Kalau dia memerlukan kenderaan, sahabatnya juga memerlukan kenderaan, maka kenderaan itu akan diberi kepada sahabatnya. Kalau ada makan minum, di waktu itu dia memerlukannya, sahabatnya juga memerlukan, maka makan minum itu akan diberi kepada sahabatnya.

Golongan ini lebih menyayangi sahabatnya daripada diri sendiri. Kalau dua orang yang berkawan tidak termasuk di dalam salah satu sifat daripada tiga peringkat atau kategori golongan tadi, dua orang tadi belum boleh dianggap sebagai orang yang bersahabat. Hanya sebagai kenalan atau kawan biasa sahaja. Belum boleh lagi dipanggil sahabat mengikut ukuran Islam.

Kesimpulannya, orang yang bersahabat kerana Allah, besar sekali keuntungannya di Akhirat.
Kebaikannya, mari kita dengar apa kata Al Hadis.

1. "Kasihilah siapa sahaja di bumi ini nescaya akan mengasihi kamu sesiapa sahaja (malaikat) yang di langit."

2. Sebaik-baik manusia ialah orang yang memberi manfaat kepada manusia lain (termasuk meratakan kasih sayang)." (Riwayat At Tabrani)

3. Kebanyakan sebab yang memasukkan manusia ke dalam Syurga ialah taqwa kepada Allah dan kebaikan budi pekerti."

4. Hadis Qudsi menyebut:
Maksudnya:
Cinta Kasih-Ku patut diperolehi mereka yang saling berkasih sayang kerana-Ku, cinta kasih-Ku patut dinikmati oleh mereka yang saling bersilaturrahim kerana- Ku, cinta kasih-Ku patut dikurniakan kepada mereka yang nasihat-menasihati kerana-Ku, cinta kasih-Ku patut dicurahkan kepada mereka yang kunjung-mengunjungi kerana- Ku, cinta kasih-Ku patut dinikmati oleh mereka yang saling memberi kerana-Ku. Mereka yang saling berkasih sayang kerana-Ku dan pada jalan-Ku, (mereka) berada di atas mimbar- mimbar di hari Kiamat dari cahaya suatu kedudukan yang diinginkan oleh para nabi, para siddiqin dan para syuhada." (Riwayat Ahmad, Ibnu Hibban, Al Hakim dan Al Qudha` ie)

Daripada Hadis yang telah dinyatakan tadi, orang yang bersahabat kerana Allah Taala itu ada tiga perkara yang mereka perolehi:
1. Dikasihi oleh Allah dan seluruh penghuni langit.
2. Mendapat keredhaan Allah serta ganjaran pahala dan kurnia yang besar dari Allah.
3. Mendapat perlindungan Arasy di hari Akhirat.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)