• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Syeikh Abdul Fattah Al-qadhi

Oleh KHAIRUL ANUAR MOHAMAD

BELIAU ialah seorang ulama yang banyak menghasilkan kitab Qiraat yang tinggi mutunya dan dijadikan modul dalam pembelajaran Qiraat, Rasm dan Ulum al-Quran di peringkat diploma dan universiti. Syeikh Abdul Fattah Ibn Abdul Ghani al-Qadhi lahir di kota Damanhur, Mesir pada 1325 Hijrah bersamaan 1907 Masihi.

Menghafaz al-Quran di kampungnya Damanhur melalui didikan gurunya Syeikh 'Iyad dan menekuni ilmu Qiraat daripada beberapa guru yang terkenal ketika itu seperti Syeikh Mahmud Muhammad Ghazal, Syeikh Mahmud Muhammad Nasaruddin, al-Allamah Syeikh Humam Qutb.

Di peringkat universiti, Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi berkesempatan mendalami pelbagai ilmu Syariah daripada guru-guru yang hebat antaranya; mendalami ilmu Tafsir dari Syeikh Muhammad Tajuddin, ilmu Hadis daripada Syeikh Hasan al-Syarif, Tauhid daripada Syeikh Amin Mahmud Surur, Feqh Syafei daripada Syeikh Mahmud Abdul al-Daim. Beliau juga adalah murid kepada Syeikh Mahmud Syaltut yang merupakan Syeikh al-Azhar ketika itu.

Melihat kepada penguasaannya dalam banyak ilmu syariah terutamanya dalam bidang Qiraat, Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi telah memegang beberapa jawatan penting di bawah penyeliaan Universiti al-Azhar. Beliau dilantik sebagai ketua lajnah tashih mushaf yang diselia Universiti al-Azhar.

Selain itu beliau juga adalah khatib di Masjid al-Arif billah al-Imam Abdul Wahab al-Sya'rani di Kaherah di samping ahli jawatankuasa perujian untuk memilih qari untuk bacaan di radio Mesir.

Permulaan 1970-an, di Madinah al-Munawwarah, Syeikh Ibrahim Akhdar yang memiliki suara menarik dan selalu dijemput membaca al-Quran di pembukaan majlis rasmi telah membaca al-Quran mengikut Qiraat Hamzah tanpa membaca basmalah antara dua surah.

Majlis tersebut yang dihadiri ramai ulama antaranya; Samahah Syeikh Ibnu Baz rahmatullah alaih telah membuat teguran secara terbuka supaya Syeikh Akhdar membaca basmalah.

Selepas bacaannya, Syeikh Ibrahim Akhdar menjelaskan bahawa beliau membaca dengan Qiraat Hamzah di mana manhajnya tidak membaca basmalah antara dua surah dan ia juga adalah Qiraat mutawatirah.

Ekoran daripada itu timbul pengesyoran kepada pihak Syeikh Ibnu Baz yang merupakan Rektor Universiti Islam Madinah ketika itu untuk menubuh Fakulti Quran.

Tindakan segera telah diambil Syeikh Ibnu Baz dengan mengarah supaya membawakan kepadanya orang yang paling alim dalam ilmu Qiraat di dunia ketika itu. Lalu dibawakan kepadanya al-Allamah Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi.

Syeikh Abdul Fattah Qadhi telah menubuh Fakulti Quran, Universiti Islam Madinah. Beliau bertanggungjawab menyediakan modul pengajian Qiraat, Rasm, Dabt dan fawasil.

Beberapa penulisannya menjadi modul kepada pelajar antaranya kitab dalam ilmu fawasil yang dikarang dalam bentuk nadham al-Faraid al-Hisan, kitab al-Wafi yang merupakan syarah kepada matn Syatibiyyah.

Semasa penulis menuntut di Fakulti Quran di awal 1990-an, guru-guru yang mengajar Qiraat ketika itu kebanyakannya ulama dari Mesir, jika terdapat kekeliruan ketika sesi pengajaran qiraat amali, mereka akan merujuk kitab Budur al-Zahirah karangan Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi.

Syeikh Abdul Fattah al-Qadhi meninggal dunia pada tahun 1402 hijrah bersamaan 1982 Masihi di Mesir. Walaupun beliau telah berlalu pergi namun beliau meninggal sejumlah karya yang terus dijadikan rujukan sehingga ke hari ini.

Selain itu beliau juga meninggal sebilangan murid yang hebat antaranya; Syeikh Dr. Ali Huzaifi, imam Masjid Nabi, Syeikh Dr. Abdul Aziz al-Qari, mantan ketua lajnah Tashih Quran Percetakan Malik Fahd, Syeikh Qurra Masjid Nabi Syeikh Ibrahim Akhdar dan ramai lagi yang talaqqi Quran dan Qiraat di negerinya, Mesir seperti Syeikh Abdul Basit Abdul Samad, Syeikh Mustafa Ismail.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)