• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Syor Rancang Rumah Terbuka Mesra Syariat

Oleh Nik Salida Shuhaila

Tuan rumah tidak bezakan tetamu kaya, miskin serta sediakan juadah mencukupi

MENGADAKAN rumah terbuka antara amalan sinonim dengan Syawal. Ia amat bererti demi silaturahim dan hubungan baik sesama manusia, bertanya khabar dan mengambil berat antara satu sama lain.

Amalan berziarah ke rumah saudara dan sahabat handai adalah sebahagian usaha mengeratkan tali persaudaraan dan persahabatan yang sedia terjalin. Tetapi ada yang segan silu mengunjungi rumah sahabat-handai, melainkan dijemput sewaktu mengadakan rumah terbuka.
Amalan menjemput tetamu ke majlis yang diadakan adalah sunnah Rasulullah SAW, begitu juga memenuhi undangan. Malah, sahabat digalakkan mengadakan kenduri dengan menjemput saudara- mara, jiran tetangga serta taulan untuk menyambung silaturahim.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Barang siapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat, maka sambunglah hubungan silaturahim.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Sepanjang Syawal ini, semua mengambil kesempatan menganjurkan rumah terbuka hingga ada kala lima jemputan diterima pada satu masa. Melainkan ada halangan, sudah tentu kita tidak akan menghampakan jemputan walaupun penat tidak terkata.

Makan dan minum hanyalah sampingan saja kerana yang lebih bermakna ialah menggembirakan tuan rumah dengan kehadiran tetamu memeriahkan majlis mereka.

Hari ini, ada rumah terbuka yang menjemput orang kaya saja. Majlis pula diadakan di hotel mewah yang menghidangkan juadah mahal dan eksklusif. Ia sudah tentu tidak menjadi masalah kepada yang berkemampuan walaupun berbelanja besar.
Bagaimanapun, Islam menegaskan tidak wajar membezakan antara tetamu kaya dengan yang miskin, sehingga mereka diundang ke majlis berbeza, bahkan diberi layanan berkasta juga walaupun dengan hidangan yang enak.

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Seburuk-buruk makanan ialah makanan walimah yang dijemput orang kaya saja dan ditinggalkan orang miskin.” (Hadis riwayat Imam al-Bukhari)

Ada juga jemputan dibuat dengan mengirim khidmat pesanan ringkas (SMS) atau mesej pendek melalui laman sosial yang ditujukan secara umum. Malah, orang yang menerima jemputan tidak mengenali pihak yang menjemput.

Santunnya tentu berlainan jika tuan rumah menjemput setiap tetamu secara lebih terhormat, berbahasa dan menjemput orang yang dikenalinya saja.

Tetamu yang menerima undangan harus menghadiri majlis diadakan tanpa membezakan sama ada jemputan datangnya daripada orang kaya atau miskin. Tujuan menerima jemputan adalah untuk memanjangkan silaturahim, tidak sepatutnya memilih undangan malah perlu berusaha menghadirinya.

Bahkan untuk menyenangkan hati tuan rumah, tetamu tidak boleh sesekali menguzurkan diri hanya kerana berpuasa kerana menghadiri majlis rumah terbuka bukanlah semata-mata untuk menikmati juadah.

Jika berpuasa sunat, kita dibolehkan berbuka dan tetap mendapat pahala kerana niat berbuka puasa adalah untuk menggembirakan tuan rumah yang bersusah payah menyediakan hidangan. Sebaik-baiknya ialah merancang untuk tidak berpuasa jika menerima jemputan, melainkan puasa qada yang tidak boleh dilakukan pada hari lain.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: “Barang siapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan tetamunya.” (Hadis riwayat Imam Al-Bukhari)

Tetapi jika rumah terbuka diadakan di tempat menyediakan makanan tidak halal atau yang mengundang maksiat dan kejahatan, tidak menjadi kesalahan kita tidak memenuhi jemputan. Ia lebih baik demi menjaga thiqah sebagai seorang Muslim yang hidup berlandaskan hukum dan syariat.

Jika kita memahami hakikat memuliakan tetamu seperti yang digariskan Islam, tentulah sebagai tuan rumah kita tidak akan menghampakan mereka dengan menghidangkan juadah terlalu sedikit sehingga tidak mencukupi atau menyediakan makanan syubhah.

Tuan rumah juga perlu menyediakan tempat sesuai untuk tetamu makan dan minum atau bersolat selain jangan terlalu lama membiarkan tetamu menunggu untuk menjamah makanan atau menjamu mereka dengan hiburan melalaikan.

Justeru, rancanglah rumah terbuka sebaik-baiknya supaya mesra syariat, sekurang-kurangnya, seperti Ramadan, Syawal terus membuatkan kita sentiasa beringat.

Penulis ialah Pensyarah Kanan Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Sains Islam Malaysia, kini melanjutkan pelajaran di United Kingdom

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)