• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Syura Dalam Organisasi Islam

Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN


Menghormati pandangan orang lain dalam mesyuarat adalah dituntut dalam agama kerana ia mampu membawa hasil yang baik kepada sesuatu organisasi.

BERBEZA pandangan di antara satu sama lain adalah lumrah manusia. Firman Allah SWT dalam Surah Hud, ayat 118: Dan kalaulah Tuhanmu (wahai Muhammad) menghendaki, tentulah Dia menjadikan umat manusia semuanya menurut agama yang satu.

(Tetapi Dia tidak berbuat demikian) dan kerana itulah mereka terus-menerus berselisihan.

Namun, jika perbezaan pandangan ini tidak diuruskan dan diselesaikan dengan baik, maka ia akan mewujudkan konflik yang akhirnya sukar untuk diselesaikan. Di sinilah bermulanya kepentingan untuk melaksanakan syura.

Syura adalah proses perbincangan dan perundingan untuk mengeluarkan keputusan atau untuk menyelesaikan sesuatu masalah. Ia adalah merupakan sebuah medan untuk mewujudkan kesatuan pemikiran (wehdatul fikr) yang akan menjurus kepada kesatuan amal (wehdatul amal).

Pandangan-pandangan yang pelbagai ini perlu digarap dan diharmonikan untuk mengeluarkan satu keputusan yang benar-benar matang demi kepentingan bersama.

Perspektif

Firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuannya (akan keadaan dan amalan kamu). (al-Hujurat: 13)

Ayat al-Quran tersebut menggambarkan kepada kita betapa manusia ini secara fitrahnya berbeza dari segi agama, bangsa, latarbelakang keluarga, pendidikan, skop kerja, tanggungjawab, kepentingan dan sebagainya.

Kepelbagaian inilah yang akhirnya mewujudkan perbezaan cara pemikiran, tingkah-laku dan pembawaan. Wujudnya perbezaan pandangan kerana mereka melihat dari sudut ruang lingkup dan perspektif masing-masing.

Oleh itu, mereka yang terlibat dengan syura perlu mempunyai sahsiah yang terbaik demi menerapkan roh syura dalam menyelesaikan kepelbagaian dan ketidaksatuan pandangan tersebut. Antara akhlak dan disiplin dalam mesyuarat adalah:

lPositif kepada orang lain. Individu yang menyertai atau terlibat dalam mesyuarat perlu menganggap ahli-ahli mesyuarat yang lain sebagai sahabat, bukan musuh. Jika dia menganggap orang lain sebagai musuh, maka timbullah sikap negatif terhadap mereka. Setiap pandangan orang lain akan cuba disangkal walaupun ia sebenarnya tepat. Dalam sesi mesyuarat, dia akan sibuk mencari kelemahan dan kesalahan orang lain. Setiap kali dia bercakap, diungkit-ungkit kesalahan orang lain, bukannya mencari penyelesaian terhadap masalah yang berlaku. Lalu masa terbuang begitu sahaja.Mesyuarat berakhir tanpa sebarang keputusan. Hasil yang ada hanya iri hati, cemburu, api kebencian dan permusuhan.

lFokus kepada matlamat mesyuarat dengan mengkaji dan membuat analisis tentang isu yang akan dibincangkan. Semasa bermesyuarat, dia perlu memberi penerangan atau taklimat kepada anggota-anggota mesyuarat yang lain untuk memastikan mereka faham terlebih dahulu matlamat dan objektif mesyuarat tersebut. Dia juga perlu mengawal skop perbincangan agar tidak lari dari matlamat asal. Individu yang mengendalikan mesyuarat sangat berperanan memastikan mesyuarat menjadi medan yang berkesan. Dia perlu membuat persediaan sebelum memulakan sesuatu mesyuarat. Antaranya, beri ruang kepada semua pihak mengutarakan pandangannya. Seterusnya, mengharmonikan jurang-jurang perbezaan yang ada agar dapat menjaga kepentingan semua pihak. Anggota jawatankuasa atau ahli mesyuarat juga perlu mempunyai akhlak dan disiplin agar perjalanan proses mengeluarkan keputusan itu lancar. Sekiranya ruang tidak dibuka seluas-luasnya untuk bersuara, pastinya ada orang yang keluar dari bilik mesyuarat dengan perasaan tidak puas hati.Mereka juga mesti berlapang dada menerima pandangan dan teguran pihak lain. Jangan merasa tercabar seolah-olah maruahnya dipijak-pijak apabila pandangan ditolak oleh ahli mesyuarat. Tidak perlu untuk merasa hina dan melenting ketika pihak lain mempunyai pandangan kedua. Firman Allah SWT yang bermaksud: Dan taatlah kamu kepada Allah dan Rasul-Nya dan janganlah kamu berbantah-bantahan; kalau tidak nescaya kamu akan menjadi lemah semangat dan hilang kekuatan kamu, dan bersabarlah (menghadapi segala kesukaran dengan cekal hati). Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar. (al-Anfaal: 46)Rasulullah SAW telah menunjukkan contoh yang terbaik dalam soal ini. Baginda mempamerkan sikap kepimpinan yang ideal dalam menegakkan prinsip syura ini. Walaupun Baginda adalah seorang rasul yang pastinya dibimbing oleh Allah SWT, tetapi masih memberi ruang kepada sahabat-sahabat untuk mengemukakan pandangan.Tidak ada halangan bagi mereka untuk terlibat sama dalam proses mengeluarkan keputusan kerana keputusan tersebut akan dilaksanakan untuk kepentingan bersama. Dalam peperangan Badar, Rasulullah SAW menerima pandangan Hubab r.a mengenai tempat pertempuran. Hubab r.a mencadangkan untuk tentera Islam menduduki tempat yang paling dekat dengan air kerana ia sangat penting bagi tentera dan haiwan tunggangan mereka. Dalam perang Khandak pula, Rasulullah SAW bersetuju dengan pandangan Salman al-Farisi yang berketurunan Parsi untuk menggali parit bagi berhadapan dengan tentera Ahzab. Strategi ini membantu pasukan tentera Islam berjaya dalam semua peperangan dengan pihak musuh. Demikianlah antara episod-episod betapa Rasulullah SAW menunjukkan contoh yang terbaik dalam memimpin sesebuah organisasi. Iaitu mengambil dan menerima pandangan sahabat-sahabat.

lMerendah diri, jangan ego dan sombong. Sekiranya Rasulullah SAW boleh menerima pandangan sedangkan baginda adalah merupakan penghulu kepada rasul, nabi dan umat manusia, maka mengapa kita terlalu ego dan sombong untuk sekurang-kurangnya mendengar pandangan orang lain? Di sini menunjukkan kepada kita bahawa jawatan dan kedudukan yang dipegang, setinggi mana pun ia, tidak boleh menjadikan individu tersebut kebal dengan sebarang teguran dan pandangan. Lebih-lebih lagi kita adalah manusia yang tidak maksum. Memerlukan bantuan daripada sahabat-sahabat yang lain untuk menampung segala kekurangan.Jikalau tidak bersetuju dengan pandangan tersebut, maka adalah lebih baik menggunakan bangkangan yang paling lembut dan berhikmah. Kenapa perlu bertelingkah, sedangkan kita mempunyai pilihan untuk bermesyuarat dalam suasana yang cukup harmoni, aman dan penuh ukhuwah. Jangan memperkecil dan meremehkan pandangan orang lain disebabkan kedudukannya lebih rendah daripada kita. Ingat, Allah SWT yang menggerakkan fikiran seseorang itu untuk mengeluarkan buah fikiran, tidak kira tinggi atau rendah pangkatnya. Hayati firman Allah dalam surat al-Hujuraat ayat 11. Ahli mesyuarat juga perlu mengelak daripada membangkitkan isu-isu yang menyentuh perkara sensitif dan terlalu peribadi yang akhirnya menimbulkan permusuhan di kalangan anggota. Bahkan, mencetuskan dendam kesumat yang tidak akan padam.

lJauhi prasangka buruk kerana prasangka buruk ini tidak akan berlaku kecuali apabila kita mempunyai pemikiran yang negatif. Cuba mulakan segalanya dengan positif terlebih dahulu. Mendengar idea yang dikemukakan oleh orang lain memerlukan penilaian secara positif terlebih dahulu. Sekiranya kita mempunyai tanggapan yang negatif, maka kita akan cenderung untuk menolaknya walaupun sebenarnya ia mempunyai kebaikan untuk organisasi. Ingatlah firman Allah SWT dalam surah al-Hujuraat, ayat 12.Sebenarnya, konsep syura bukan hanya berlaku semasa waktu mesyuarat sahaja, tetapi ia juga perlu diaplikasikan dalam rutin kehidupan harian di tempat kerja atau di rumah.Bayangkan seorang suami mengaplikasikan konsep syura dalam rumahtangganya. Tentulah akan mewujudkan suasana yang cukup bahagia dan tenteram. Begitu juga sebuah institusi yang mempunyai masalah dan konflik dalaman yang begitu parah. Ia tidak akan dapat diselesaikan melainkan dengan aplikasi semangat syura. Kita melaksanakan syura bukan kerana memenuhi prosedur syarikat atau organisasi semata-mata, tetapi lebih besar daripada itu adalah disebabkan perintah dan arahan Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:...Dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka. (asy-Syura: 38)

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)