• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Tabbaru' Hidupkan Semangat Tolong-menolong

Oleh Mohamad A'sim Ismail

Konsep derma dalam takaful lebih ke arah kebajikan, elak unsur gharar, riba dan maisir

DERMA dalam bahasa Arab bererti tabbaru'. Kamus Dewan Edisi Keempat terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka, derma dinyatakan sebagai pemberian yang ikhlas, sedekah. Jadi menderma ialah memberi sesuatu dengan ikhlas. Derma adalah amalan soleh yang sangat digalakkan. Melaluinya, aspek tolong-menolong dan kasih sayang sesama insan dapat diwujudkan. Ada pelbagai dalil al-Quran dan al-Sunnah yang menyokong perkara ini. Antaranya firman Allah SWT bermaksud: “Wahai orang yang beriman. Nafkahkanlah (dermakanlah) sebahagian daripada apa yang Kami berikan kepada kamu.” (Al-Baqarah: 254) Nabi SAW bersabda bahawa di antara tujuh golongan yang dilindungi Allah SWT pada hari yang tiada perlindungan melainkan perlindungan Allah ialah golongan yang melakukan sedekah dengan senyap sehingga tidak diketahui apa dihulur tangan kanannya oleh tangan kirinya. Maksud hadis seperti yang diriwayatkan imam Bukhari dan Muslim.

Apabila dilihat dalam transaksi yang membabitkan derma atau tabarru’, ia adalah akad perjanjian kontrak yang bersifat tiada laba. Akad tabarru’ tidak boleh digunakan untuk tujuan komersial. Mereka yang melakukan akad ini tidak boleh meletakkan syarat pulangan keuntungan.

Objektif akad tabbaru’ bagi merealisasikan fungsi tolong-menolong dengan mengharap keredaan Allah SWT. Ini berbeza dengan akad tijarah atau perniagaan. Objektif akad tijarah untuk mencari keuntungan. Oleh itu, jelas perbezaan di antara kedua-duanya.

Ada beberapa model transaksi menggunakan akad tabbarru’ sebagai asas dalam transaksinya. Di antaranya ialah hibah iaitu transaksi antara dua pihak atau lebih yang didasarkan pada bentuk pemberian kepada seseorang dengan mengharapkan pahala daripada Allah SWT.
Di samping itu, qardu hasan iaitu satu bentuk transaksi membabitkan dua orang atau lebih dalam aspek pinjam meminjam. Asas dalam transaksi ini tiada sebarang penambahan atau ziyadah. Jika ada tambahan dalam transaksi ini maka ia masuk dalam kategori riba.

Contoh transaksi qardu hasan ialah seperti jika Ahmad meminjam RM2,000 daripada Ali, maka Ahmad berkewajipan membayar semula wang dipinjam itu dengan jumlah sama kepada Ali dengan tiada tambahan kepada wang asal.

Infaq ialah model transaksi yang dilakukan dengan cara mengeluarkan sebahagian harta untuk aktiviti di jalan Allah. Contohnya seseorang itu menginfaqkan sebahagian hartanya bagi membantu saudaranya yang terkena musibah seperti banjir atau infaq untuk pembinaan surau.

Wakaf juga dibina atas asas kontrak tabarru’. Wakaf ialah kegiatan memberikan sebahagian harta untuk diambil manfaatnya oleh umat Islam. Status hartanya itu sudah tidak menjadi miliknya tapi menjadi milik bersama umat Islam. Kegiatan ini berlandas kepada akad tabarru’ dengan matlamat utama mewujudkan nilai tolong-menolong (ta’awun) dan memenuhi prinsip kebajikan sosial.

Di dalam takaful pula, akad tabarru’ adalah satu akad asas di dalam operasinya. Akad ini membezakan takaful dengan insurans konvensional. Akad tabarru’ adalah kaedah mengumpul dana peserta takaful melalui sumbangan derma mereka. Sumbangan peserta sebahagiannya masuk ke dana tabarru’ dan yang lain masuk ke dana tabung simpanan.

Sumbangan yang masuk ke dalam dana tabarru’ atau dana kebajikan sejak awal diniatkan membantu peserta lain yang mengalami musibah. Dengan kata lain dana ini bantuan kepada peserta yang ditimpa kerugian. Sementara itu sumbangan peserta takaful yang masuk ke tabung simpanan menjadi tabungan bagi peserta yang kemudian dapat diambil kembali dengan tambahan nilainya jika tidak berlaku tuntutan.

Dalam konteks operasi takaful, peserta yang ingin mendapatkan perlindungan takaful mesti berniat ikhlas menderma bagi membantu peserta lain jika mereka menghadapi musibah atau kerugian. Dalam erti kata lain semua peserta bersetuju untuk saling membantu di kalangan mereka atas niat yang sama.

Akad tabarru' dalam takaful menghapuskan unsur gharar (syubah), riba dan maisir (judi). Unsur ini menyebabkan insurans konvensional difatwakan haram. Dalam akad jual beli yang menjadi asas insurans konvensional, tiada penyerahan barang dijual semasa akad dimeterai maka ia dikira transaksi mengandungi elemen gharar yang ditegah Rasulullah SAW.

Dalam akad tabarru’ di dalam operasi takaful, sumbangan derma ikhlas daripada peserta dikumpulkan ke dalam satu tabung tabarru’. Tiada habuan pulangan secara material dituntut hasil daripada derma yang dilakukan kerana ia untuk kebajikan. Tabung dana ini penting untuk menjawab persoalan ketidakjelasan (gharar) yang dilarang yang wujud dalam amalan insurans konvensional khasnya ketika pembayaran tuntutan dibuat.

Sebagai contoh, seorang peserta mengambil pakej insurans nyawa dengan manfaat pampasan RM50,000. Apabila beliau ditakdirkan meninggal dunia pada tahun pertama dan baru sempat membayar RM3,000 contohnya, tetapi warisnya akan menerima pampasan dengan jumlah penuh RM50,000, mengikut nilai pakej perlindungan yang diambil.

Persoalan yang timbul ialah, baki pembayaran pampasan RM47,000 ini iaitu setelah ditolak RM3,000 yang sudah dibayar pada tahun pertama, diperoleh daripada mana?

Di sinilah timbul gharar, sesuatu yang tidak jelas. Ini juga menimbulkan unsur judi.

Peserta takaful perlu memahami dan menghayati konsep tabarru’ iaitu dengan ikhlas menderma di dalam takaful, maka dengan itu tentu mereka memperoleh pahala besar dalam hidup dan memperoleh ganjaran kebajikan serta keredaan Allah SWT, di samping menerima manfaat ketika musibah hasil muafakat di kalangan peserta.

Penulis ialah Pegawai Penyelidik, Pusat Kajian Syariah, Undang-undang dan Politik IKIM

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)