• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Tak Galak Sujud Panjang Masa Solat Jemaah

Soal Jawab Agama: Tak galak sujud panjang masa solat jemaah
Oleh Ustaz Zamanuddin Jusoh
zaman@nstp.com.my

Imam perlu bertanggungjawab, peka elak makmum rasa dibebani laksanakan sembahyang

SAYA adalah banduan yang menjalani hukuman selama 13 tahun di Bangkok, Thailand. Kami mempunyai masalah ketika menunaikan solat jemaah bersama imam di sini berikutan sujud terakhirnya mengambil masa terlalu lama sehingga ramai jemaah keliru dan tidak suka datang kerana masalah itu.
Adakah Islam menganjurkan perkara sedemikian berdasarkan perbuatan Rasulullah? Apakah tindakan kami jika ia berterusan dan bolehkah ustaz terangkan syarat terbaik untuk menjadi Imam dalam solat? Mohd Hafiz Yaacob,
Lardyao Chatuchuk, Thailand.

Sabda Rasulullah: “Saat yang paling hampir seorang hamba kepada Allah ialah ketika dia sujud.” (HR Muslim, Termizi, Nasai' dan Ahmad) Kita juga wajib mengikut perbuatan imam dan dilarang mendahului walau seketika.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Sesungguhnya dijadikan imam supaya dapat diikut maka janganlah kamu melakukan perkara yang bertentangan dengan perbuatannya.” (HR Muslim)
Persoalan saudara mengenai sujud panjang pada rakaat akhir tidak dijumpai hadis atau apa-apa perbuatan daripada baginda. Bagi seseorang imam hendaklah peka dan bertanggungjawab terhadap tugas yang diamanahkan.

Sepatutnya tidak berlaku perkara sedemikian kerana sabda Rasulullah bermaksud: “Jika kamu solat bersendirian maka panjangkan solat kamu semahunya dan jika kamu berjemaah, maka hendaklah dipendekkan.” (HR Bukhari, Daud, Nasai', Malik dan Ahmad)

Dalam riwayat lain Rasulullah bersabda: “Kerana di belakang kamu ada orang tua, kanak-kanak, orang yang sakit dan mereka yang ada tugasan perlu diselesaikan.” (Al-Hadis)

Daripada Salim bin Abdullah bin Umar bahawa Rasul mengarahkan kami supaya memendekkan bacaan dalam solat ketika bersama jemaah. (HR Nasai') Sabda Rasul bermaksud: “Allah tidak menerima solat seorang imam yang tidak disukai oleh makmumnya.” (HR Abu Daud dan Nasai')

Bagi seorang makmum hendaklah mengetahui siapakah yang diikut untuk menambah keyakinan dan khusyuk dalam solat. Hasan al-Basri menyebut: “Jangan kamu menjadi makmum kepada seseorang yang tidak mengenal ulama (jahil).” Syeikh An-Nakhai' RH berkata: “Sesiapa yang mengimami manusia tanpa ilmu, seolah-olah dia menyukat air laut sedangkan dia tidak mengetahui sukatannya.” (Kitab Mikashafatul Qulub-Imam Gazali).

Firman Allah mungkin dapat dijadikan panduan dalam persoalan ini. Firman Allah: “Dan jadikanlah bagi kami orang yang bertakwa sebagai pimpinan.” (Al-Furqan: 74)

Seseorang imam yang dilantik hendaklah menepati syarat turutan seperti yang disabdakan oleh Baginda. Sabda Rasul bermaksud: “Orang yang akan mengimami kamu ialah yang elok bacaannya, kemudian yang dulu berhijrah bersama Baginda, kemudian yang belajar hadis, kemudian yang lebih tua umurnya dan tidak mengimami seseorang melainkan jika diminta atau mendapat keizinan (tauliah).” (HR Nasai')

Mafhumnya ialah jika ada persamaan pada syarat yang pertama, maka syarat yang kedua pula akan dilihat dan dinilai. Begitulah seterusnya bagi seorang imam supaya ia dapat mengendalikan jemaah yang dipimpin sebaik-baiknya.

Oleh itu, seseorang yang ingin menjadi imam hendaklah melihat kemampuan dirinya dalam semua segi kerana tanggungjawab ini terlalu besar di sisi Allah.
Seeloknya ia perlu menoleh ke belakang kerana mungkin ada orang yang lebih layak daripadanya untuk memimpin.

Jika masalah ini berlarutan hingga menyebabkan perpecahan, jemaah hendaklah berbincang secara baik dengan pengurusan penjara.

Penulis ialah Eksekutif Unit Agama NSTP dan boleh dihubungi melalui e-mel: zaman@nstp.com.my

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)