• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Takwa Himpunan Sifat Luhur

Oleh Dr Abdullah Zain

Kawalan cegah tingkah laku daripada berbuat dosa

BERADA pada Ramadan bererti kita berada di pusat latihan dan pendidikan kerohanian yang mampu mengeluarkan graduan berakhlak mulia serta berkeperibadian tinggi.

Allah berfirman yang bermaksud: “Wahai orang beriman, telah difardukan puasa ke atas kamu sebagaimana difardukan ke atas umat sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu dengan perantaraan puasa itu memperoleh takwa.” (Surah al-Baqarah, ayat 183).

Allah mengaitkan kefarduan puasa dengan faedah diperoleh daripadanya iaitu puasa boleh mewujudkan sifat takwa dalam diri seseorang yang menyuburkan keimanan dalam hati nurani manusia.

Oleh itu, timbul dua persoalan yang harus diberi jawapan dan penjelasan iaitu apakah yang dimaksudkan sifat takwa itu dan apakah huraian serta penjelasan berhubung takwa itu?

Takwa ialah suatu kesan positif yang timbul dalam hati seseorang apabila ia menunaikan ibadah puasa dengan mengikut syarat, peraturan dan adab yang telah ditetapkan Islam.

Ibadat puasa mampu menggerakkan hati supaya bertakwa kepada Allah. Hati yang bertakwa adalah pangkalan bagi segala kebaikan dan boleh melahirkan sifat luhur seperti semangat jihad melawan hawa nafsu yang sentiasa mengajak kepada kejahatan dan pelanggaran perintah Allah.

Semangat jihad menentang bisikan jahat syaitan yang sentiasa mengajak kepada kejahatan dan kemungkaran, munculnya sifat sabar dengan pengertiannya luas iaitu sabar kerana taat menanggung kesusahan dan kesukaran semasa mengerjakan ibadat.

Begitu juga sabar dengan tidak melakukan maksiat iaitu menahan diri daripada melayani kehendak hawa nafsu seterusnya sabar menanggung penderitaan yang menimpa diri, menghadapinya dengan tabah, tidak mengeluh dan tidak menyalahkan takdir.

Lahir sifat amanah dengan pengertian, bertanggungjawab serta menjalankan tugas dengan baik dan sempurna. Sentiasa muraqabah kepada Allah sama ada di tempat terbuka atau tertutup. Sifat ini adalah kesedaran dalaman yang tinggi iaitu sifat ihsan.

Berpuasa boleh menguatkan iradah seseorang dalam menjayakan sesuatu pekerjaan yang baik, dapat mendidik diri sentiasa berdisiplin, selalu patuh kepada undang-undang dan peraturan. Ibadat puasa juga dapat melahirkan perasaan kasih sayang, ukhuwwah dan sifat ta’awun.

Oleh itu dapatlah ditegaskan bahawa sifat takwa adalah himpunan semua sifat luhur yang dilakukan individu Muslim sama ada sifat luaran ataupun dalaman. Sifat takwa juga berfungsi sebagai pengawal dan penjaga kepada gerak laku individu supaya tidak berlaku perlanggaran terhadap perintah Allah.

Timbul pula persoalan, bagaimanakah mengamalkan puasa yang berfungsi melahirkan pembentukan akhlak dan peribadi terpuji? Cara Rasulullah SAW menyambut kedatangan Ramadan adalah jawapan terbaik.

Ibn Khuzaimah meriwayatkan daripada Salman katanya: “Rasulullah SAW pada hari terakhir dari bulan Syaaban telah berkhutbah kepada kami, maka Baginda bersabda antara lain: (Wahai manusia, sesungguhnya kamu telah hampir dinaungi oleh bulan yang hebat lagi berkat iaitu bulan yang di dalamnya ada satu malam yang lebih baik dari 1,000 bulan, bulan yang Allah telah menjadikan puasanya suatu yang fardu dan mengerjakan ibadat di malam harinya suatu yang sunat).

Sesiapa yang mendekatkan dirinya kepada Allah dengan suatu pekerjaan kebajikan (sunat) pada Ramadan, maka samalah pahalanya dengan orang yang menunaikan pekerjaan fardu di bulan lain. Sesiapa yang menunaikan fardu pada Ramadan, maka samalah pahalanya dengan orang yang mengerjakan tujuh 70 fardu pada lain.

Ramadan itu bulan sabar, manakala sabar itu pahalanya adalah syurga. Begitu juga Ramadan itu adalah bulan memberi pertolongan dan bulan yang Allah menambahkan rezeki kepada mukmin.

Sesiapa yang memberi makan ketika berbuka kepada orang yang berpuasa, maka ia akan mendapat keampunan dosanya dan pelepasan dari api neraka. Orang yang memberi makanan berbuka puasa akan mendapat pahala seperti pahala orang yang mengerjakan puasa tanpa sedikit pun berkurangan.

Sahabat bertanya Rasulullah, tidaklah kami semua ada memiliki makanan berbuka puasa untuk orang yang berpuasa, lalu Rasulullah bersabda: "Allah memberikan pahala kepada orang yang memberikan sebutir kurma atau seteguk air atau sehirup susu."

Perbanyakkan melakukan empat perkara dalam Ramadan iaitu dua perkara boleh menyenangkan Tuhanmu dan dua perkara lagi yang kamu sangat perlu. Dua perkara yang boleh menyenangkan Tuhanmu ialah mengakui dengan sesungguhnya bahawa tiada Tuhan melainkan Allah dan memohon keampunan daripadanya. Dua perkara lagi yang kamu sangat berhajat ialah memohon syurga dan berlindung dari neraka.

Sewajarnyalah setiap Muslim mengambil suri teladan daripada apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. Kita juga seharusnya mendapat kesedaran dari apa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW. supaya fadilat Ramadan akan ada tempiasnya kepada umat Islam.

Alangkah baiknya jika sunnah ini dapat dihidupkan kembali dan kita jadikan budaya Ramadan. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan sunnahku pada masa umatku telah rosak, maka dia akan mendapat pahala seratus syahid." (Hadis riwayat al-Baihaqi)

Penulis ialah Penasihat Agama kepada Perdana Menteri

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)