• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Tanam Semangat Untuk Berkorban

Oleh Mohd Fadly Samsudin
fadly@hmetro.com.my

LONTAR JAMRAH...ibadah melontar hendaklah disertai usaha untuk menentang syaitan yang sentiasa menyesatkan umat Islam dan simboliknya bagi mengeluarkan sifat dan perangai buruk dalam diri. BERCAKAP mengenai pengorbanan dalam Islam pasti akan mengaitkan dengan kisah Nabi Ibrahim a.s dan anaknya, Nabi Ismail a.s yang terpahat sepanjang zaman.

Ia kisah pengorbanan si ibu, Siti Hajar bersama bapa, Nabi Ibrahim dan anaknya, Nabi Ismail yang rela disembelih semata-mata taat kepada Allah.

IKHLAS KERANA ALLAH...ibadah korban mampu membentuk insan berjiwa ikhlas serta bersyukur atas kurniaan rezeki yang Allah berikan yang dibelanjakan demi mendapat keredaan-Nya.

SEMANGAT KERJASAMA...ibadah korban membawa kebaikan dalam kehidupan bermasyarakat bagi merapatkan hubungan kasih sayang antara golongan kurang bernasib baik seperti fakir miskin, anak yatim dan ibu tunggal.
Jika kita berada di tempat Baginda, pasti tidak tertunai perintah itu kerana siapa sanggup menyembelih anak kandung sendiri.

Peristiwa pengorbanan itu dinyatakan di dalam surah as-Saffaat ayat 102-109 yang bermaksud: “Maka tatkala anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: ‘Wahai anak kesayanganku, sesungguhnya aku melihat dalam mimpi bahawa aku akan menyembelihmu, maka fikirkanlah apa pendapatmu, anaknya menjawab: `Wahai bapaku, jalankanlah apa yang diperintahkan kepadamu, Insya-Allah, ayah akan mendapati aku dari orang yang sabar.’”



Selepas kedua-duanya berserah bulat-bulat (menjunjung perintah Allah itu), Nabi Ibrahim a.s merebahkan anaknya dengan meletakkan mukanya di atas tanah.


Kami menyerunya: “Wahai Ibrahim! engkau menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar. Dan kami kekalkan baginya (nama yang harum) dalam kalangan orang yang datang kemudian. Salam sejahtera kepada Nabi Ibrahim.”

Nabi Ibrahim dan anaknya tenang menerima ketentuan Allah s.w.t itu. Dengan penuh tawaduk, baginda membenamkan pisau ke leher anaknya, Ismail.

Alangkah terkejut Nabi Ibrahim apabila mendapati seekor kibas terbaring menggantikan jasad anaknya, Nabi Ismail. Demikianlah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam melaksanakan syariat Allah s.w.t.

Namun, itu adalah wahyu daripada Allah s.w.t yang perlu dipenuhi Nabi Ibrahim sebagai bukti ketaatan, keimanan serta ketakwaan.

Kesanggupan itu didorong perasaan yakin bahawa perintah Allah s.w.t pasti ada ganjarannya.

Dari situ terbitlah falsafah di sebalik pelaksanaan korban kepada umat Islam hari ini. Ia bukan sekadar kita berjaya menyembelih haiwan ternakan setiap kali Aidiladha semata-mata, tetapi kita perlu sentiasa merenung jauh lebih dalam mengenai hal itu yang mempunyai elemen pendidikan dalam mengejar mardhatillah (keredaan Allah).

Sebagai khalifah Allah di atas muka bumi ini termasuk berkorban harta benda, masa malah nyawa sendiri bagi tujuan kebaikan bersama.

Pengorbanan juga pastinya tidak ada dalam jiwa mereka yang bersifat individualistik. Sifat begitu hanya ada pada mereka yang tidak mahu menyelami kesusahan orang lain kerana hanya memikirkan keadaan diri sendiri.

Justeru, tidak perlu kita meneropong jauh kerana pengorbanan hendaklah bermula dari unit kecil iaitu dalam keluarga sendiri terlebih dulu.

Jika dilihat kepada pengorbanan keluarga Nabi Ibrahim, semuanya memainkan peranan penting.

Bagaimana Siti Hajar berkorban sebagai seorang ibu sehingga dapat membentuk peribadi mulia, rasa keinsafan, serta bersyukur atas segala nikmat yang diterima.

Siti Hajar seorang wanita luar biasa kerana diuji dengan pelbagai musibah besar sehinggakan Allah s.w.t memberi penghormatan tinggi terhadapnya. Siti Hajar diuji ketika ditinggalkan di padang pasir, namun beliau tetap bersabar dan bersangka baik kepada Allah s.w.t.

Apabila dalam keluarga sudah berjaya maka luaskan pula kepada ruang lingkup yang lebih besar iaitu kepada masyarakat dan negara.

Aspek kemanusiaan tidak boleh dipinggirkan kerana setiap individu mempunyai peranan untuk digerakkan dalam mewujudkan masyarakat bersatu padu, berkasih sayang dan kuat ikatan silaturahim sesama mereka.

Itulah tonik paling mujarab dalam menjadikan umat Islam yang kuat, disegani dan dipandang mulia. Firman Allah dalam surah al-Hujuraat, ayat 13, maksudnya: “Sesungguhnya orang yang paling mulia di sisi Allah ialah mereka yang paling bertakwa.”

Sama juga halnya dengan Nabi Ismail, sebagai anak Baginda hanya menuruti dan reda dengan apa yang ditetapkan ke atas dirinya kerana mahu menjadi hamba yang taat kepada perintah Allah s.w.t.

Bagi mereka yang ‘dijemput’ menjadi sebahagian tetamu Allah menunaikan haji ke Baitullah panjatkan kesyukuran kerana berpeluang ke sana. Itulah sebahagian pengorbanan yang mereka laburkan demi menyahut seruan Ilahi.

Perjalanan rohani yang dilalui itu dikukuhkan lagi dengan harapan Allah mengurniakan ganjaran terbesar iaitu haji mabrur atas ‘persembahan’ ibadah yang berjaya dilaksanakan.

Mereka yang masih tidak berpeluang, jangan putus harapan dan pastikan terus berusaha serta berdoa semoga Allah s.w.t mempermudahkan urusan kita satu hari nanti.

Allah berfirman yang bermaksud: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadah haji dengan mengunjungi Baitullah, iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.” 9 surah Ali ‘Imran, ayat 97)

Rasulullah s.aw juga bersabda yang bermaksud: “Perbelanjaan yang dikeluarkan untuk mengerjakan ibadah haji sama seperti dibelanjakan untuk perang fisabilillah, setiap wang ringgit yang dibelanjakan itu akan digantikan dan digandakan sebanyak 700 kali ganda.” (Hadis riwayat Imam Ahmad)

Penceramah bebas, Mohd Rani Awang Besar berkata sejarah korban sebenarnya bermula pada zaman nabi Adam lagi di mana membabitkan kisah dua beradik Qabil dan Habil.

“Setiap mereka mempunyai pasangan kembar perempuan di mana Qabil bersama adik perempuannya Iqlima manakala Habil bersama Lubuda.

“Qabil menjalankan pekerjaan dalam bidang pertanian dan Habil pula mengusahakan ladang ternakan. Apabila keempat-empat beradik itu mencapai usia remaja, Allah memberi ilham kepada Nabi Adam supaya kedua puteranya dikahwinkan dengan puterinya di mana Qabil dikahwinkan dengan adik Habil yang bernama Lubuda dan Habil dengan adik Qabil yang bernama Iqlima.

“Cara yang diilham Allah s.w.t. kepada Nabi Adam disampaikan kepada dua puteranya sebagai keputusan yang perlu dipatuhi dan dilaksanakan. Namun, rancangan diputuskan itu ditolak Qabil yang menyatakan dia tidak mahu mengahwini Lubuda kerana dia tidak secantik kembarnya sendiri Iqlima,” katanya.

Beliau berkata Qabil tetap berkeras tidak mahu menerima keputusan ayahnya dan meminta supaya dikahwinkan dengan Iqlima.

“Nabi Adam tidak mahu menimbulkan perpecahan di antara mereka dan menyerahkannya Allah untuk menentukannya. Caranya ialah Qabil dan Habil perlu menyerahkan korban.

“Qabil dan Habil menerima baik jalan penyelesaian yang ditawarkan ayahnya.
Habil keluar dan kembali membawa peliharaannya manakala Qabil dengan membawa barang hasil pertanian yang sudah busuk kemudian diletakkan kedua korban itu di atas sebuah bukit.

“Kemudian Adam pergi melihat korban siapa antara mereka yang habis. Lalu korban Habil yang habis kerana dia menyediakan dengan ikhlas. Korban Habil tidak diterima kerana dia mempunyai perasaan hasad dengki, tidak puas hati serta memprotes keputusan Allah.

“Qabil tidak berpuas hati dan terlalu marahkan Habil sehingga menaruh dendam akan membunuhnya ketika ayahnya tiada. Ketika Adam meninggalkan rumah Qabil menemui Habil di ladang ternakannya. Oleh kerana sifat iri hati dan dengki akhirnya Qabil tetap membunuh Habil,” katanya.

Mohd Rani berkata begitu juga junjungan agung Nabi Ibrahim a.s yang diperintah Allah menyembelih anaknya Nabi Ismail a.s adalah untuk menguji kekuatan iman dan takwa anak beranak itu.

“Berdasarkan kitab kuning (jawi lama), pada zaman muda Nabi Ibrahim baginda diperlihatkan Allah secara langsung (kasyaf) sekumpulan orang yang melakukan maksiat.

“Maka Nabi Ibrahim berdoa kepada Allah s.w.t supaya memusnahkan orang yang melakukan maksiat itu, tetapi Allah berkata Dia Maha Pengampun dan mengetahui segala-galanya dan bersedia mengampunkan dosa-dosa hambanya jika mereka memohon keampunan.

“Sebab itu, baginda merasa kesal dengan perbuatannya yang mendoakan golongan itu supaya musnah dan sebab itu baginda tetap menjalankan perintah Allah untuk mengorbankan anak kesayangannya. Demikian sebagai pengajaran, kita tidak boleh mendoakan perkara buruk kepada orang lain kerana Allah Maha Pengampun, “katanya.

Menurutnya ada satu perkara yang baik yang wajar sebagai ibu bapa teladani ialah sebelum melaksanakan perintah Allah itu ialah baginda meminta pandangan anaknya terlebih dahulu.

“Baginda bermimpi sebanyak dua kali sebelum menyampaikan perkara itu kepada Ismail perintah Allah untuk mengorbankannya. Bagaimanapun, Ismail menerima berita itu dengan penuh reda kerana perintah itu datangnya daripada Allah s.w.t
“Begitulah sikap seorang anak soleh yang sanggup melakukan apa saja demi melahirkan perasaan ubudiah terhadap Allah s.w.t,” katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)