• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Tangani Wabak

Oleh Idris Musa
idris@hmetro.com.my

BERMULA di Mexico, virus selesema babi menular ke seluruh dunia dengan angka mangsa semakin meningkat dalam tempoh yang singkat, sekali gus membangkitkan kebimbangan banyak pihak.

Menurut perangkaan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), jumlah kumulatif kes melebihi 70,000 dengan lebih 300 kematian.


Negara paling teruk seperti Amerika Syarikat, Mexico, Kanada, Chile, United Kingdom dan Australia.

Virus selesema babi atau influenza A (H1N1) muncul daripada campuran virus selesema yang asalnya daripada unggas, babi dan manusia yang berupaya menyebabkan jangkitan membawa maut.

Gejala dan tanda jangkitan virus itu adalah demam, batuk, sakit badan serta susah bernafas, selain berlaku di kalangan mereka yang ada kaitan dengan ternakan babi.

Ia dikatakan mudah berjangkit sesama manusia apabila individu dijangkiti batuk dan bersin dengan tidak menutup mulut.

Justeru, sebagai langkah pencegahan, setiap individu sewajarnya menjaga tahap kesihatan dan kebersihan tanpa mengira waktu dan tempat.

Dalam Islam, kebersihan amat ditekankan sebagaimana sabda Nabi s.a.w, maksudnya: "Kebersihan itu sebahagian daripada iman."

Berhubung wabak khususnya yang membawa maut, baginda bersabda, maksudnya: "Jika anda mendengar mengenainya di satu tempat, jangan ke sana, tetapi jika wabak itu berlaku di sebuah negeri di mana anda berada, terus berada di situ, jangan lari dari tempat itu."

Kemudian, al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah r.a, yang Nabi s.a.w, bersabda, maksudnya: "Unta-unta menderita kerana penyakit (kudis atau kurap) tidak seharusnya bercampur dengan unta-unta yang sihat."

Hadis itu menerangkan mengenai pengasingan atau kuarantin antara haiwan yang baik dan berpenyakit. Dalam kes manusia, ia memerlukan lebih pemerhatian.

Kerajaan prihatin dengan masalah itu dengan mengambil beberapa langkah pencegahan.

Usaha itu selaras dengan saranan hadis di atas, malah menurut Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) ia bertepatan dengan ajaran Islam yang menuntut umatnya menjaga kesihatan dan keselamatan diri.

Ketua Pengarahnya, Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz, berkata saranan supaya orang ramai tidak berkunjung ke negara dilanda virus H1N1 juga patut diikuti serta dipatuhi.

"Garis panduan berkaitan kaedah pengawalan wabak penyakit itu berdasarkan hadis Nabi Muhammad yang diriwayatkan Abdullah bin Amir supaya orang ramai tidak ke sesuatu tempat dilanda wabak dan jika berada di sesuatu tempat dilanda wabak pula, seseorang itu hendaklah kekal berada di situ.

"Cara dilakukan ini selaras tuntutan Maqasid Syariah atau objektif syariah," katanya.

Penularan kes terbabit semakin meluas, malah dalam waktu sama mengundang pelbagai tanggapan dan andaian di kalangan penduduk. Sesetengah juga membataskan pergaulan dan urusan dengan khalayak bagi mengelak jangkitan.

Tidak kurang masyarakat Islam mempersoalkan kefarduan dalam ibadat seperti solat berjemaah dan Jumaat, sama ada ia gugur atau tidak kerana bimbang penularan wabak itu.

Profesor Syariah di Universiti Alexandria, Dr Muhammad Kamal Imam, berkata selesema babi adalah wabak global merebak ke beberapa negara di seluruh dunia dan tidak terbatas di tempat asalnya.

"Apa yang diisytiharkan WHO tidak membabitkan sebarang kuat kuasa undang-undang, namun ia boleh dikatakan yang semua langkah penting dan berjaga-jaga seharusnya diperhatikan di tempat penyakit cepat tersebar.

"Tetapi masih tidak membayangkan gugurnya kefarduan menghadiri solat Jumaat. Ini kerana penduduk (di kawasan terbabit) boleh terus bekerja dan bertemu di rumah, malah mengerjakan solat Jumaat di mana-mana," katanya.

Profesor Fiqah Perbandingan Universiti Al-Azhar, Dr Sa'd Hilal, berkata menghadiri solat Jumaat adalah tanggungjawab individu setiap lelaki Muslim dewasa, siuman dan mastautin, bukan pengembara yang tiada keuzuran syarie bagi meninggalkannya seperti sakit.

Menurutnya, individu Muslim dilarang meninggalkan solat Jumaat kerana perintah mengerjakannya termaktub dalam al-Quran, sebagaimana ditegaskan dalam surah al-Jumu'ah.

"Wahai orang yang beriman! Apabila diserukan azan untuk mengerjakan sembahyang pada hari Jumaat, maka segeralah kamu (ke masjid) untuk mengingati Allah dan tinggalkanlah berjual-beli; yang demikian adalah baik bagi kamu, jika kamu mengetahui." (Al-Jumu`ah 62:9)

Dr Sa'd berkata, walaupun perisytiharan WHO (sebagai wabak) memerlukan pemerhatian berhati-hati, orang Islam tidak boleh mengabaikan solat Jumaat dan solat berjemaah, kecuali wabak tersebar luas.

Menurutnya, mereka yang menghadiri solat Jumaat dan solat jemaah perlu berwaspada, misalnya menghindari berjabat tangan atau menahan diri daripada berpeluk dan berkucup satu sama lain (di tempat yang teruk).

"Mereka perlu mengelak semua bentuk yang boleh membawa kepada pemindahan jangkitan," katanya.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)