• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Tanggungjawab Basmi Kemiskinan Perlu Jadi Agenda Utama

Oleh Penulis Khas YaPEIM

KHALIFAH Islam keempat, Saidina Ali bin Abi Talib pernah bertegas terhadap isu kemiskinan dan berkata, "Andainya kemiskinan itu wujud sebagai manusia bernyawa, pasti akan aku bunuh". Ungkapan itu memberi maksud bahawa fenomena kemiskinan adalah keadaan yang tidak disenangi sehinggalah terucap kalimah `bunuh` yang memberi maksud pembasmian. Kemiskinan yang digambarkan itu umpama malapetaka berbahaya kepada individu dan masyarakat.

Kemiskinan boleh menggugat kesejahteraan akidah, iman, jasmani, rohani, pemikiran dan kebudayaan. Implikasi daripada kemiskinan menyebabkan individu hilang pertimbangan waras hingga mudah melakukan kejahatan.

Ini bermakna orang miskin dan terdesak boleh menggadai maruah dan agama demi memenuhi keperluan hidup. Inilah yang diisyaratkan oleh Nabi SAW dalam sabdanya yang bermaksud: "Kemiskinan itu hampir membawa kekufuran". Malah Baginda SAW pernah berdoa ke hadrat Allah supaya dikurniakan perlindungan yang bermaksud "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kemiskinan dan kekufuran" dan "Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada kemiskinan, kekurangan dan kehinaan. Dan aku berlindung kepada-Mu daripada menganiaya atau dianiaya".




Di samping itu, apabila dibelenggu kemiskinan, ia boleh menjadikan seseorang meragui keadilan Allah dalam hidupnya. Keadaan itu menyebabkan seseorang melafazkan kata Tuhan tidak adil menjadikannya orang miskin.

Menurut Dr Yusuf al-Qaradawi dalam kitabnya Mushkilah al-Faqr wa Kayfa Ilajuha al-Islam, kemiskinan menyumbang kepada kepincangan akhlak dan budi pekerti. Kemiskinan akan menyebabkan golongan miskin melakukan tindakan di luar pertimbangan. Mereka akan terjebak dan tergamak melacurkan diri, mencuri, berhutang dan sebagainya.

Inilah yang diingatkan Rasulullah SAW dalam sabda, "Ambillah pemberian itu selagi ia bersifat pemberian. Jika ia rasuah maka janganlah kamu mengambilnya. Tetapi kamu tidak akan meninggalkannya kerana keperluan dan kemiskinan menegahmu daripada berbuat sedemikian".

Dalam pada itu, Allah dalam surah al-Ma`uun (ayat 1-3) secara terang-terangan mengkategorikan mereka yang tidak peka dan prihatin kepada penderitaan golongan lemah, mengabaikan anak yatim terlantar dan membiarkan orang miskin kelaparan sebagai pendusta agama.

Ini menunjukkan si pendusta agama buta dan mati rasa keagamaan dan kemanusiaan. Bayangkan apabila pakar ekonomi tidak menangani masalah kemiskinan.

Individu berkenaan mungkin tidak mampu menyelami rasa kemiskinan sebab tidak mempunyai rasa kemanusiaan terhadap orang miskin. Justeru, Islam menganjurkan semangat bersedekah dan berzakat kepada mereka yang layak.

Firman Allah bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman, nafkahkanlah (di jalan Allah) sebahagian daripada hasil usahamu yang baik-baik dan sebahagian dari apa yang Kami (Allah) keluarkan daripada bumi untuk kamu". (Surah al-Baqarah: 267).

Kepekaan umat Islam terhadap tanggungjawab sosial membasmi kemiskinan perlu dijadikan agenda dan keutamaan dalam kehidupan. Menurut al-Qaradawi lagi, ada kalangan umat Islam hilang pertimbangan dalam meletakkan keutamaan ketika berhadapan dengan persoalan lebih besar.

Beliau mengambil contoh umat Islam pergi ke Makkah saban tahun melakukan umrah sunat dan haji yang diwajibkan hanya sekali saja. Pada hemat beliau, jika dijumlah pembiayaan tersebut boleh mencecah bilion. Sedangkan jumlah itu boleh membiayai keperluan umat Islam yang memerlukan walaupun dari segi hakikatnya untuk mencukupkan suatu dana seperti Yayasan Kebajikan Islam masih belum dapat direalisasikan.

Beliau mengandaikan jika ada seruan dan cadangan kepada mereka yang saban tahun mengulangi ibadah sunat itu supaya membelanjakan dana bagi membendung kemiskinan dan kelaparan, pasti tidak mendapat sambutan. Sambil menyesali sikap sedemikian, beliau turut menyifatkannya sebagai penyakit lama yang ada dalam masyarakat.

Usaha Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM), pusat zakat dan gerakan dakwah lain untuk membantu golongan miskin patut disokong.

Ia lebih berkesan kerana golongan itu bukan hanya diberi bantuan material tetapi juga kemahiran dan latihan keusahawan yang boleh membantu mereka melepasi tahap kemiskinan.


Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)