• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Tawakal Selepas Buat Pelaksanaan Rapi

Tazkirah Remaja: Tawakal selepas buat pelaksanaan rapi
Bersama Ustaz Mohd Zawawi Yusoh

KITA merancang tetapi Allah menentukan. Begitulah lumrah kehidupan sebenar dan tidak hanya menyerahkan 100 peratus melalui doa tanpa melakukan sebarang tindakan atau usaha.

Kita disuruh berikhtiar tetapi yang menentukan adalah Allah. Selepas merancang, segala ketentuan itu mesti diterima dengan hati terbuka.

Itulah yang dinamakan tawakal. Sebenarnya tawakal terletak selepas seseorang melakukan perancangan serta berusaha kemudian disusuli dengan bertawakal.

Umat Islam dulu cemerlang kerana kehebatan mereka merancang dan berfikiran ke hadapan. Rasulullah sendiri amat mementingkan perancangan rapi sebelum melakukan segala pekerjaan. Misalnya, sebaik tiba di Madinah, baginda segera meletakkan dasar bagi membentuk pemerintahan Islam pertama di dunia.

Ketika itu baginda mula membina masjid sebagai sebagai tempat beribadat, bermesyuarat, tempat pertemuan seluruh umat Islam selain menyatukan kaum Muhajirin dan Ansar.

Selepas itu, baginda mengadakan perjanjian dengan golongan Yahudi dengan meletakkan dasar perundangan Kota Madinah supaya setiap orang mengetahui kedudukan dan hak mereka dalam masyarakat.

Sama juga yang dilakukan Rasulullah pada malam hijrah, malam Aqabah dan peristiwa di rumah al-Arqam bin Abi al-Arqam. Semua itu membuktikan Islam amat mementingkan perancangan yang rapi.

Al-Quran sejak berabad lagi menggalakkan umat manusia bekerja menurut perancangan. Contohnya, al-Quran menceritakan utusan Raja Mesir datang kepada Nabi Yusuf di penjara meminta baginda mentakwilkan mimpi. Dia berkata; "Yusuf, wahai orang yang amat dipercayai, terangkan kepada kami (mimpi) tujuh lembu betina yang gemuk dimakan oleh tujuh lembu betina yang kurus; dan tujuh tangkai gandum yang hijau dan tujuh lainnya yang kering (terangkanlah takwil mimpi itu) agar aku kembali kepada orang-orang (yang mengutus itu), semoga mereka akan mengetahuinya." (Surah Yusuf, ayat 46).

Apabila berdepan dengan tugas itu, Nabi Yusuf tidak hanya mentakwilkan mimpi saja, bahkan baginda turut memberi petunjuk supaya membuat perancangan bagi mengatasi kesukaran dan bahaya kelaparan yang diramalkan akan menimpa Mesir.

Baginda mencadangkan beberapa langkah positif yang perlu diambil bagi menghadapi kesukaran itu.

Al-Sayyid Qutb dalam kitabnya 'Tafsir Fi Zilal al-Quran mengatakan, Raja (Mesir) meminta huraian erti mimpinya tetapi pegawai kerajaan dan ahli nujum tidak sanggup menghuraikan erti mimpi itu kerana menganggap ia petanda buruk bakal berlaku.

Sebaliknya, bagi menunaikan kehendak raja berkenaan, mereka memperlihatkan apa saja yang dapat menyenangkan raja dan menyembunyikan perkara yang menyedihkan.

Mereka menghindari dari berbincang mengenai mimpi itu dengan mengatakan mimpi itu kosong dan tidak mempunyai erti.

Sikap Nabi Yusuf berlainan kerana baginda tetap mentakwilkan mimpi raja itu kemudian menasihatinya dengan cadangan serta langkah sesuai bagi mengatasi petanda buruk yang diramalkan itu.

Antara langkah-langkah yang dicadangkan Nabi Yusuf iaitu menggiatkan lagi pekerjaan yang sedang dilakukan serta menetapkan jangka waktu diperlukan.

Kedua, perlu bersungguh-sungguh melakukan kegiatan pertanian dalam jangka masa tertentu.

Ketiga, berusaha meningkatkan pengeluaran selain bekerja keras terus menerus.

Berdasarkan cadangan itu, betapa pentingnya cara penyimpanan yang baik untuk menjaga keutuhan hasil bumi dan kepentingan menyimpan.

Cara hidup berekonomi, tidak boros dan tidak berlebih-lebihan kerana Islam adalah agama yang mementingkan prinsip keseimbangan, menolak sifat bakhil dan mengharamkan pembaziran atau menggunakan harta untuk perkara yang tidak bermanfaat.

Dalam perancangan mengatasi kesulitan yang ditunjukkan Nabi Yusuf, terdapat dua perkara yang perlu diberi perhatian iaitu berhati-hati dalam membelanjakan harta dan tidak melakukan pembaziran.

Perbelanjaan ditentukan kepada keperluan utama seperti dikatakan Nabi Yusuf, "Kecuali sedikit untuk kamu makan." (Surah Yusuf, ayat 47).

Baginda memberi petunjuk mengenai keharusan menggunakan harta simpanan dengan cara sebaik-baiknya, terutama ketika menghadapi kesulitan.

Hasil pemikiran dan perancangan Nabi Yusuf itu adalah berdasarkan petunjuk Allah kepadanya, maka umatnya terhindar daripada bencana kelaparan dan dapat mengatasi malapetaka besar.

Demikian ilmu perancangan yang tercatat di dalam al-Quran untuk kepentingan umat manusia umumnya dan kesejahteraan umat Islam khususnya.

Oleh itu, Islam bukan agama yang mengajar orang berfikir secara membuta tuli atau bertawakal tanpa alasan (bukan bertawakal dalam erti kata sebenar).

Islam adalah agama yang mengajar manusia memerhati dan mempelajari dengan teliti terutama perkara berkaitan soal pengeluaran, penggunaan dan keperluan material lain dalam kehidupan.

Sesuatu pekerjaan atau projek, sama ada besar atau kecil tidak berjaya dilaksanakan dan tidak terjamin pencapaiannya sekiranya dilakukan tanpa perancangan rapi.

Semua undang-undang Islam sama ada yang bersifat ibadat atau muamalat, mempunyai dasar dan kaedah bagi dipraktikkan dalam kehidupan kita.

Jika ada suara yang mengatakan Islam tidak mementingkan perancangan sama sekali berlawanan dengan anjuran al-Quran dan tindakan yang dilakukan Rasulullah.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)