• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Tertib Dalam Mencari Ilmu

Ilmu itu memang penting bagi manusia. Dengan ilmulah manusia mengenal Tuhan. Dengan ilmulah manusia berakhlak. Dengan ilmulah manusia beribadah. Dengan ilmulah manusia membina tamadun dan peradaban. Dengan ilmulah manusia membangun dan berkemajuan. Dengan ilmulah manusia memburu dunia. Dengan ilmulah manusia memburu Akhirat. Malahan ilmulah yang membezakan antara manusia dengan makhluk-makhluk yang lain.

Manusia berlumba-lumba untuk mencari ilmu kerana dengan ilmu manusia boleh jadi pemimpin. Dengan ilmu, manusia boleh jadi kaya. Dengan ilmu, manusia disanjung dan dihormati. Dengan ilmu, manusia boleh mengawal, menjajah dan memperalatkan manusia lain. Dengan ilmu manusia boleh dapatkan kekuatan, pengaruh dan pengikut.

Namun begitu, kalau ilmu tidak dikendalikan dengan betul, ia boleh mendatangkan mudarat. Ia boleh memakan diri. Manusia boleh jadi rosak dan keseluruhan tamadun dan peradaban manusia boleh musnah.

Dalam usaha mencari ilmu, Imam Al Ghazali telah menetapkan bahawa yang dahulu mesti didahulukan dan yang kemudian mesti dikemudiankan. Mencari ilmu mesti mengikut tertibnya. Ada keutamaan dan prioritinya.

Tertib di dalam mencari ilmu ini penting sekiranya kita mahukan natijah yang baik dari ilmu itu sendiri. Kalau tertib ini tidak dijaga dan dilanggar, ilmu boleh memudaratkan dan merosakkan. Berikut adalah tertib susunan ilmu oleh Imam Al Ghazali:

1. Ilmu fardhu ain.
2. Ilmu fardhu kifayah.
3. Ilmu sunat.
4. Ilmu harus.
5. Ilmu haram.

Fardhu Ain

Ilmu fardhu ain ialah ilmu yang wajib dipelajari oleh setiap individu yang mukalaf. Kalau tidak, maka seseorang itu berdosa. Ia khususnya melibatkan ilmu agama yang merangkumi: a. Ilmu tauhid atau usuluddin b. Ilmu feqah c. Ilmu tasawuf atau akhlak

Ilmu fardhu ain ini bolehlah dianggap sebagai ilmu pendidikan. Ilmu ini ialah asas bagi agama seseorang. Ia mengenalkan manusia kepada Tuhannya. Ia membina peribadi dan akhlak melalui pengabdian diri dan ibadah kepada Tuhan.

Ilmu fardhu ain ini terutama tauhid dan usuluddin wajib diselesaikan dahulu bagi anak-anak kita sebelum mereka diberi ilmu-ilmu yang lain seperti ilmu fardhu kifayah, ilmu sunat atau harus.

Ini sesuai dengan sebuah hadis: Maksudnya: Awal-awal agama ialah mengenal Allah.

Kalau Allah sudah dikenali, maka Allahlah yang akan mengisi hati dan jiwa anak-anak itu. Allahlah yang akan menjadi matlamat hidup mereka. Allahlah yang akan menjadi perkara utama di dalam apa sahaja yang mereka lakukan.

Kalau Allah tidak dikenali, mana mungkin mereka akan dapat berbuat sesuatu kerana-Nya. Kalau Allah tidak dikenali, apakah yang akan mendorong anak-anak kita untuk berbuat sesuatu kebaikan, selain dari dorongan nafsu dan duniawi semata-mata atau untuk mendapat pujian, glamour dan sebagainya.

Kalau Tuhan tidak dikenali, apakah yang akan menghalang anak-anak kita dari terlibat dengan maksiat, jenayah, pergaulan bebas, zina, rogol, bohsia, bohjan, black metal, budaya punk, gangsterism dan sebagainya. Apakah yang akan menghalang anak-anak kita dari mengangkat tuhan yang lain sebagai tuhan mereka atau dari meyakini ideologi-idelogi dan isme-isme ciptaan manusia atau dari menjadi sekularis, komunis, sosialis, free thinker atau terus menjadi ateis.

Jika Allah sudah mereka kenali dan jiwa anak-anak diisi penuh dengan aqidah dan ketauhidan, maka mereka akan selamat ke mana sahaja mereka pergi dan dalam apa sahaja yang bakal mereka tempuh dan pelajari. Mereka akan ada imuniti atau pelalian dari segala macam kekeliruan dan kesesatan, juga dari segala macam pengaruh, dugaan dan pancaroba.

Setelah Allah dikenali, anak-anak akan menggunakan segala ilmu dan kemahiran yang mereka pelajari, untuk berbakti kepada Allah dan untuk berkhidmat kepada sesama manusia, dan bukan untuk membuat kerosakan dan kemaksiatan di muka bumi ini.

Fardhu Kifayah

Bukan semua ilmu agama itu fardhu ain hukumnya. Ada yang fardhu kifayah. Contohnya ilmu Hadis, ilmu tafsir dan sebagainya. Ilmu fardhu kifayah ialah ilmu yang wajib bagi sesuatu masyarakat. Mesti ada di kalangan anggota masyarakat tersebut yang mempelajarinya, barulah ahli masyarakat yang lain akan terlepas dari dosa.

Ilmu fardhu kifayah termasuklah juga ilmu-ilmu akademik seperti perubatan, kejuruteraan, perindustrian, perdagangan, pertanian, ketenteraan, perakaunan dan sebagainya. Ilmu agama lazimnya dinamakan ilmu Akhirat. Ilmu akademik pula dinamakan ilmu dunia. Ada sesetengah pihak cenderung untuk menamakan ilmu akademik ini sebagai ilmu sekular. Ini sebenarnya kurang tepat.

Sekular atau tidaknya sesuatu ilmu itu bergantung kepada tujuan penggunaan dan matlamat pengamalnya dan bukan kepada jenis ilmu itu sendiri. Ilmu sekular ertinya ilmu yang khusus digunakan untuk tujuan dunia semata-mata tanpa ada apa-apa kaitan langsung dengan Akhirat. Ilmu agama sekalipun, kalau tujuan penggunaan dan matlamatnya adalah untuk dunia semata-mata seperti untuk dipuji, disanjung, dimuliakan, untuk mendapat kerja dan jawatan dan sebagainya, maka jadi sekularlah ilmu itu.

Sebaliknya, kalau ilmu dunia digunakan dengan tujuan untuk berbakti dan mendapat keredhaan Allah dan menepati pula syarat-syarat sebagai suatu ibadah, maka ia tidak boleh dianggap sebagai ilmu sekular kerana ada nilai Akhiratnya.

Ilmu Sunat Dan Ilmu Harus

Kalau sudah ada ahli masyarakat yang mempunyai ilmu fardhu kifayah yang cukup, maka bolehlah ahli masyarakat yang lain mempelajari ilmu yang sunat atau yang harus. Ilmu-ilmu yang sunat termasuklah ilmu bahasa, sejarah dan seumpamanya. Ilmu yang harus pula termasuklah ilmu melukis, sastera dan sebagainya. Sepertimana yang disebut di atas tadi, ilmu yang harus ini juga kalau menepati syarat-syaratnya maka ia juga boleh menjadi ilmu yang bernilai Akhirat.

Ilmu Haram

Ilmu yang haram ialah ilmu yang ditegah kita mempelajarinya seperti ilmu sihir.

Perlunya Mengikut Tertib

Antara sebab rosaknya masyarakat dan anak-anak muda kita hari ini ialah kerana mencari ilmu yang tidak mengikut tertibnya. Sebelum mereka mengenal Tuhan dan sebelum jiwa mereka diisi dengan aqidah dan ketauhidan melalui pendidikan fardhu ain, mereka didedahkan dengan ilmu-ilmu akademik yang tidak mengandungi apa-apa nilai pendidikan atau tarbiah.

Di samping itu, mereka juga terdedah kepada berbagaibagai pengaruh liar seperti rock, metal, rap, dadah, pergaulan bebas dan sebagainya, sama ada di dalam mahupun di luar sekolah. Disebabkan jiwa mereka kosong, pengaruh-pengaruh tersebut terus meresap masuk ke dalam hati mereka.

Mereka tidak disediakan untuk menghadapi pengaruhpengaruh jahat seperti ini. Mereka tidak diberi imuniti atau pelalian dari pengaruh-pengaruh yang merosakkan ini. Kita biasanya sibuk memberikan anak-anak kita suntikan imuniti atau pelalian dari berbagai-bagai penyakit seperti batuk kokol, difteria, polio dan cacar, tetapi kita ambil ringan tentang kerosakan aqidah, akhlak, peribadi dan kemanusiaan mereka. Walhal kerosakan aqidah dan akhlak ini Neraka padahnya.

Ilmu dunia itu sifatnya seperti pisau. Kalau digunakan untuk kebaikan maka baiklah jadinya. Kalau dihalakan kepada kejahatan maka jahatlah jadinya. Segala bentuk ilmu dunia boleh dijadikan modal atau alat untuk berbuat baik ataupun untuk berbuat jahat.

Oleh itu untuk mengelak dari berlakunya kerosakan dan bala bencana, manusia yang hendak diberi ilmu dunia ini mestilah dari kalangan orang-orang yang baik, yang kenal dan beriman kepada Tuhan, yang berakhlak dan yang bertanggungjawab. Kalau tidak, mereka akan gunakan ilmu, kepandaian dan kemahiran mereka untuk membuat kerosakan, untuk memutar belit, untuk menipu dan untuk memuaskan hawa nafsu mereka. Lagi banyak ilmu dan kepandaian yang ada pada mereka, lagi besarlah kerosakan yang akan mereka lakukan.

Sepertimana yang berlaku kepada anggota-anggota keselamatan seperti polis dan tentera, perkara utama yang ditekankan dan dididik sebelum mereka dibenarkan memegang senjata api ialah disiplin dan tata tertib. Hanya dengan disiplin dan tata tertib barulah senjata api di tangan anggota-anggota keselamatan itu dapat digunakan untuk menjaga keamanan dan mempertahankan kedaulatan negara. Kalau orang yang tidak ada disiplin diberi senjata api, ini sangat berbahaya. Begitulah juga orang yang mempunyai banyak ilmu dunia tetapi jahat dan tidak kenal Tuhan. Mereka ini juga berbahaya.

Justeru itu, tertib dalam mencari ilmu seperti yang digariskan oleh Imam Al Ghazali ini perlu dititikberatkan. Ia perlu diserapkan ke dalam sistem pendidikan kita. Anak-anak mesti mengenali Tuhan terlebih dahulu sebelum mereka mengenali perkara-perkara lain. Barulah mereka tidak mudah terpengaruh dengan perkara-perkara yang menyeleweng. Barulah segala ilmu yang dipelajari dapat dijadikan alat untuk berbakti dan meninggikan kalimah Tuhan. Kalau tidak, manusia akan menggunakan ilmu untuk kejahatan dan untuk melawan Tuhan. Lebih dahsyat lagi, mereka akan ‘menyembah’ dan bertuhankan ilmu.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)