• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Tidak Takut Dan Tidak Cinta Tuhan, Asas Kejahatan

Penyakit paling besar yang menimpa dunia hari ini tetapi tidak dianggap penyakit dan mungkin orang Islam pun tidak menganggapnya sebagai penyakit, yaitu tidak takut dan tidak cinta Tuhan. Tidak takut dan tidak cinta Tuhan adalah penyakit besar yang sedang melanda dunia. Orang yang tidak takut dan cinta Tuhan, kalaupun dia tidak mengganggu orang, dia tetap dianggap jahat. Itu menurut pandangan Tuhan. Menurut pandangan manusia, selagi kejahatan itu belum dilahirkan, dia belum dianggap jahat. Tetapi di sisi Tuhan, ia tetap dianggap jahat sebab asas kejahatan itu sudah ada pada dirinya.

Bila tidak takut dan tidak cinta Tuhan ertinya jati diri orang itu sudah roboh. Ertinya ketahanan dirinya sudah roboh. Bila ketahanan sudah roboh, mudahlah kejahatan-kejahatan itu masuk dalam dirinya. Sebab asas kejahatan, atau tapak bagi kejahatan itu sudah wujud. Bila orang tidak takut Tuhan, dia tidak takut hendak berbuat jahat dengan makhluk Tuhan. Bila orang tidak cinta Tuhan, otomatis dia tidak cinta dengan makhluk Tuhan. Sebab itu tadi disebutkan, kalaupun dia belum mengganggu orang tetapi asas kejahatan sudah ada, yakni tidak takut dan tidak cinta Tuhan, itu sudah dianggap kejahatan. Jati diri sudah tumbang. Pintu kejahatan sudah terbuka luas. Hanya tinggal menunggu waktu saja, hendak dibuat atau tidak.

Bila tidak takut dan tidak cinta Tuhan, kadang-kadang dengan kejahatan orang lain, dia pun ikut menjadi jahat. Contoh: Katalah dalam pergaulan ada kawan-kawan yang buat kesalahan, dia tidak tahan dan dia tidak sabar. Diapun marah-marah. Ertinya dengan kejahatan orang dia pun ikut menjadi jahat. Padahal yang jahat orang lain tetapi dia pun ikut berbuat jahat karena jati diri sudah tiada. Semestinya kalau orang lain berbuat jahat, biarlah orang itu saja yang jahat. Tetapi dia tidak tahan. Dengan kejahatan orang lain, dia pun ikut berbuat jahat. Sebab itulah kalau orang takut dan cintakan Tuhan, ertinya hati orang itu bersih daripada benih kejahatan. Bila benih kejahatan tidak ada, tidak mungkin benih itu akan tumbuh subur. Kejahatan dapat subur itu kalau ada benihnya. Orang berkata, benih itu kalau dipupuk dia akan akan tumbuh subur. Tetapi kalau benih saja sudah tidak ada, bagaimana mungkin akan tumbuh subur?Bila seseorang ada rasa takut dan cinta Tuhan, bermacam-macam kejahatan tidak jadi hendak masuk dalam dirinya. Contoh, misalkan kita seorang suami, pulang ke rumah pukul 12 malam. Kita ketuk pintu, memberi salam, isteri tidak bangun-bangun. Sudah lama kita ketuk, barulah dia membuka pintu. Apa kata hati kita? “ Mungkin dia mengantuk, masa orang yang mengantuk tidak dimaafkan?” Kita akan dapat berlapang dada. Tapi kalau kita tidak takut dan tidak cinta pada Tuhan, maka kalaulah kita bukan seorang penampar muka isteri, amarah kita yang akan keluar.

Contoh lain, kita bergaul dengan orang, tiba-tiba ada orang berbuat jahat terhadap kita. Hati kita berprasangka baik.
“ Dia tidak merasa sepertinya, Dia mungkin tidak sengaja “.
Ataupun kita takwilkan:
“ Dosa apa yang aku buat sampai Tuhan menghukumku? Mengapa kawanku dapat berbuat jahat begini? kawan baik pula. Ini mesti karena dosa saya”. Bila dia sudah memiliki rasa takut dan cinta Tuhan, dia dapat berlapang dada.

Kalau kita kaji secara halus atau tersirat, oleh kerana Tuhan sayang kita, kesalahan kita cepat dibalas. Contohnya, ada sebuah cerita di dalam kitab. Ada satu keluarga, suaminya seorang pedagang emas. Dia keluar pagi, malam baru kembali. Suami isteri ini orang yang beragama. Mereka menggaji seorang pegawai lelaki yang baik. Suatu hari sewaktu suami tidak ada di rumah, pegawai itu mengulurkan satu barang pada isteri tuan rumah dari balik pintu, dari luar rumah. Mereka tidak saling memandang satu sama lain. Entah bagaimana waktu mengulurkan barang itu, si pegawai memegang tangan perempuan ini. Perempuan itu merasa pegawai itu memegang tangannya dengan bernafsu. Perempuan itu tidak marah tetapi dia berfikir dosa siapa yang menyebabkan hal itu terjadi? Apakah dosa dia atau dosa suaminya.
Ketika suaminya kembali, dia bertanya pada suaminya: ”Saya minta Abang jangan berbohong. Waktu Abang di kedai emas tadi, apa yang terjadi?” Suami itu orang yang takut pada Tuhan.
Dia berkata ,”Tadi Abang bersalah. Syaitan menggoda abang. Ada perempuan membeli cincin, abang sarungkan cincin dan abang pegang tangannya dengan bernafsu”.
Perempuan itu berkata, “ Patutlah saya terkena hukuman Tuhan, abang pun terkena hukuman Tuhan. Pegawai yang baik itu memegang tangan saya. Ini hukuman bagi Abang”.

Inilah cerita dalam kitab. Kadang-kadang kerana Tuhan sayang pada seseorang , Tuhan tidak biarkan kesalahannya terlalu lama. Tuhan menghukumnya. Bila orang sudah cinta Tuhan, maka ketahanan dirinya sudah terwujud. Di sinilah rahsia mengapa gejala negatif dalam masyarakat susah dibenteras. Kerana orang jahat dan orang yang hendak memperbaiki kejahatan itu pun sama-sama jahat serta tidak takut Tuhan. Misalnya antara murid dengan guru, guru pening dengan kejahatan murid seperti ponteng, tidak displin, tidak membuat pekerjaan rumah. Dia berfikir, “Jahat betul murid saya ini?” Kenapa dia merasakan muridnya jahat? Karena dia tidak membuat kejahatan seperti yang dibuat murid itu, maka dia merasa muridnya jahat. Tetapi sebenarnya dia pun berbuat kejahatan lain sehingga Tuhan membalasnya. Guru tidak disiplin, muridpun sama. Tetapi kenapa dia tidak dapat mendidik muridnya?

Sebab dia pun berbuat kejahatan. Cuma kejahatannya tidak sama. Misalnya di rumah, sebentar-sebentar dia menempeleng isterinya. Bagaimana bisa orang jahat hendak memperbaiki orang jahat?

Sebab itu jika berlaku gejala sosial dikalangan pemuda-pemudi, kalau hendak menangani kejahatan mereka, maka guru, guru besar atau menteri, jangan hanya mencari kesalahan pemuda-pemudi. Carilah kejahatan sendiri dulu dan bertaubat. Kalau langsung bertindak sedangkan kita, menteri, guru, guru besar, tidak nampak kejahatan sendiri, maka itulah sebab Tuhan tidak menolong kita. Sebab itu setiap orang yang hendak menangani gejala masyarakat, hendaklah berfikir dulu apa dosanya. Hendaklah dia bertaubat dan minta tolong kepada Tuhan. Barulah menangani masalah. Barulah Tuhan akan menolong. Zaman ini tidak berlaku demikian. Guru, guru besar, menteri hanya nampak murid-murid jahat dan dia tidak merasa dirinya jahat. Begitulah juga kalau ahli politik hendak memperbaiki masyarakat. Masyarakat ada kejahatannya sendiri manakala orang politik pun ada kejahatan sendiri. Mungkin dia tidak suka berkelahi seperti masyarakatnya, tetapi dia mengamalkan sogok dan suap. Bagaimana mungkin orang jahat hendak memperbaiki kejahatan orang lain?

Mana ada orang, sekali pun ulama yang pernah mengatakan segala kejahatan adalah berawal dari manusia tidak takut dan tidak cinta Tuhan? Ini perkara yang sangat tersirat. Tidak takut dan tidak cinta kepada Tuhan adalah asas kejahatan.

Bagi orang yang takut dan cinta kepada Tuhan, dia tidak cepat bertindak. Dia berfikir dahulu. Mungkin suatu hal itu terjadi kerana dosanya. Dia pun bertaubat. Kalau dia fikir-fikir tetapi dia tidak menemukan dosanya maka dia bercakap dengan Tuhan, walaupun dia tidak tahu dosanya dia tahu dia bersalah jadi dia minta ampun. Setelah itu barulah dia minta Tuhan menolong dia. Sebab itulah Rasulullah itu, walaupun orang melempar batu dan pasir kepadanya, beliau doakan supaya orang itu diberi petunjuk.

Jadi kalau orang berbuat jahat kepada kita, dan kita pun membalasnya, maka kita sama-sama jahat. Orang yang baik, dia tidak langsung bertindak. Dia berfikir, apa dosa yang dilakukannya sehingga orang berbuat jahat kepadanya. Dia senantiasa berbaik sangka dengan ALLAH. Hasil dari cinta dan takut kepada ALLAH.

Jadi bagi orang yang hendak memperbaiki masyarakat, tidak hanya membuat undang-undang dan peraturan. Undang-undang itu benda luar. Itu cara terakhir. Yang takut itu hati. Kejahatan datang dari hati yang tidak takut dan tidak cinta Tuhan. Mestinya dia betulkan hati dahulu supaya orang takut dan cinta kepada Tuhan.

Takut dan cinta kepada Tuhan adalah ibu segala kebaikan. Tetapi kalau tidak takut dan tidak cinta kepada Tuhan, itulah ibu segala kejahatan. Itulah jati diri yang sudah rosak.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)