• Dari Sahal R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Aku dan orang yang memelihara anak-anak yatim akan berada didalam syurga adalah seumpama dua anak jari ini." Disini Rasulullah S.A.W mengisyaratkan jari telunjuk dan jari tengahnya dimana terdapat hanya sedikit ruang diantara keduanya. (HR Bukhari)
  • Dari Amr bin Malik Al-Qusyairi R.A berkata, bahawa aku mendengar Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara anak yatim, yang mana kedua ibubapanya seorang muslim, dengan memberi makanan dan minuman sehinggalah Allah S.W.T mengkayakannya yakni dia dapat memenuhi keperluannya sendiri, wajib baginya syurga." (HR Musnad Ahmad, Tabrani dan Majma uz Zawaid)
  • Dari Abdullah bin Umar R.Huma meriwayatkan bahawa seorang lelaki telah bertanya kepada Rasulullah S.A.W; "Ya Rasulullah, apakah satu amal yang paling baik di dalam Islam?" Baginda S.A.W menjawab "Memberi makan dan memberi salam samada kamu mengenalinya atau tidak." (HR Bukhari)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mukmin yang sempurna dikalangan orang yang beriman ialah orang yang baik akhlaknya. Dan sebaik-baik kamu ialah orang yang berlaku baik terhadap isterinya." (HR Ahmad)
  • Dari Aishah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Sesungguhnya orang mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang terbaik akhlaknya dan berlemah lembut terhadap ahli keluarganya." (HR Tirmizi)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Diantara kamu orang yang paling aku cintai dan orang yang paling hampir kepadaku pada hari kiamat ialah orang yang baik akhlaknya." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mahukah daku khabarkan kepadamu siapakah orang yang diharamkan dari api neraka? Dan api neraka tidak akan menyentuhnya. Mereka adalah orang yang menghampiri orang lain dengan lemah lembut, berlebih kurang dan baik hati." (HR Tirmizi)
  • Dari Abdullah bin Mas'ud R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memiliki sebahagian yang kecil sombong di dalam hatinya, maka dia tidak dapat memasuki syurga." (HR Muslim)
  • Dari Abu Qatadah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Jikalau seseorang suka Allah S.W.T menyelamatkannya dari huru hara pada hari kiamat, maka hendaklah dia memberi kelonggaran (dalam membayar kembali pinjaman) kepada seseorang yang berada dalam keadaan terdesak, atau mengurangkan hutangnya (semuanya atau sebahagian)." (HR Muslim)
  • Dari Abu Zar R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Senyuman kepada saudara (muslim) mu adalah sedekah, menyeru kepada ma'ruf dan melarang dari mungkar adalah sedekah, menunjukkan jalan kepada seseoarng yang tersesat jalan adalah sedekah, menolong seorang yang penglihatannya kabur adalah sedekah, menyingkirkan batu-batu, duri dan tulang (dari jalan) adalah sedekah dan menuangkan air dari timbamu kepada timba saudaramu adalah sedekah. " (HR Tirmizi)
  • Dari Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang menunjukkan sesuatu kebaikan, dia akan mendapat pahala yang sama sebagaimana orang yang melakukan satu kebaikan, dan Allah menyukai orang yang menolong seorang dalam kesukaran." (HR Bazzar dan Targhib)
  • Dari Jabir R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Seorang mukmin mencintai dan dicintai. Tidak ada kebaikan dalam diri seseorang yang tidak mencintai atau tidak berkasih sayang. Orang yang terbaik diantara manusia adalah orang yang paling banyak memberi manafaat kepada orang lain." (HR Dar Qutni dan Targhib)
  • Dari Qais bin Said R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Kalaulah aku diperintahkan bersujud kepada seseorang, nescaya aku akan perintahkan wanita-wanita bersujud keatas suami mereka, kerana haknya yang Allah SWT telah berikan kepada suami-suami." (HR Abu Daud)
  • Dari Ummu Salamah R.Ha meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Mana-mana wanita yang meninggal dunia dalam keadaan suaminya redha kepadanya, nescaya dia akan masuk kedalam syurga." (HR Tirmizi)
  • Dari Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia memuliakan tetamunya dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia menjalin silaturrahim yakni berbuat baik kepada saudara-mara dan barangsiapa beriman kepada Allah dan hari akhirat, hendaklah dia berkata yang baik ataupun diam." (HR Bukhari)
  • Dari Asma bin Yazid R.Ha berkata bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa memelihara kehormatan saudaranya yang muslim ketika dia tidak ada (dimajlis itu, contohnya seseorang telah mengumpatnya, kemudian dia telah mencegah orang itu dari terus mengumpatnya), maka Allah SWT akan menjamin untuknya daripada pembebasan api neraka jahanam." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Dari Abu Darda R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa yang memelihara kehormatan saudara muslimnya dengan membelanya, menjadi tanggungjawab Allah SWT untuk menghalang dia dari api neraka jahanam pada hari kiamat kelak." (HR Musnad Ahmad)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Perbanyakkan selawat kepadaku pada hari Jumaat, kerana baru sebentar tadi malaikat Jibrail A.S diutus oleh Allah SWT datang kepadaku lalu berkata : 'Barangsiapa dikalangan umat mu berselawat kepadamu (Muhammad) sekali, Aku (Allah) dan para malaikatKu akan berselawat (memohon pengampunan dan rahmat) untuknya sepuluh kali'." (HR Tabrani)
  • Hazrat Bara' R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Tidaklah kedua orang muslim bertemu dan bermusafaha (berjabat tangan) melainkan dosa-dosa kedua belah pihak diampuni sebelum mereka berpisah." (HR Abu Daud)
  • Hazrat Abu Hurairah R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Orang yang muda hendaklah memberi salam kepada orang yang tua. Orang yang berjalan hendaklah memberi salam kepada orang yang duduk. Orang yang sedikit memberi salam kepada orang yang lebih ramai." (HR Bukhari)
  • Hazrat Anas R.A meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Bantulah saudaramu yang muslim dalam segala keadaan, bahkan apabila dia seorang yang zalim atau yang dizalimi" Seorang bertanya, "Ya Rasulullah, aku akan menolongnya apabila dia dizalimi, tetapi bagaimana aku dapat menolongnya apabila dia seorang penzalim?" Baginda S.A.W menjawab, "Engkau mencegah dia dari melakukan kezaliman kerana mencegahnya dari perbuatan zalimnya, itulah bantuanmu kepadanya." (HR Bukhari)
  • Hazrat Ibnu Abbas R.Huma meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W bersabda "Barangsiapa berjalan untuk menunaikan satu hajat seorang saudara adalah lebih baik daripada sepuluh tahun iktikaf. Barangsiapa yang beriktikaf sehari kerana Allah S.W.T akan dijauhkan daripada api neraka sejauh tiga parit, dan setiap parit luasnya diantara bumi dan langit." (HR Tabrani dan Majma uz Zawaid)

Tiga tahap hati

SOAL hati, Imam al-Ghazali ada membuat perincian dengan tiga pembahagian mengikut tahap ketetapan dan kemantapan, kebaikan dan kejahatan atau peralihan kepada satu daripadanya, iaitu:

1- Hati yang dibangunkan dengan binaan takwa, dibersihkan daripada akhlak yang keji dan tercela, lalu terisilah di dalam hati ini lintasan dan saranan kebaikan daripada khazanah alam ghaib atau simpanan alam malaikat.


Dengan daya penglihatan terbukalah kepada daya akal mengenai sudut kebaikannya, lalu memutuskan ia adalah suatu mesti dilakukan. Begitulah daya akal (syarie) ini menggalak, mendorong dan menyerunya supaya melakukannya.

Malaikat akan meninjau ke dalam hati ini, didapatinya baik dan subur, bersih dengan sifat ketakwaan dan bersinar dengan cahaya ilmu. Malaikat mendapati hati ini layak untuk tempat penurunan.

Ketika itu, hati dibantu dengan tentera yang tidak dapat dilihat oleh mata dan sentiasa ditunjuk ke arah kebaikan dan sentiasa tertarik dari satu kepada kebaikan yang berterusan dan saling bersambungan.

Bantuan ini tidak terputus sama ada dalam bentuk saranan, galakan dan dorongan kepada kebaikan atau dirintiskan kepadanya laluan, lorong atau jalan kemudahan dan kelapangan. Allah mengisyaratkan dalam surah al-Lail, maksudnya:

"Apa yang ada padanya ke jalan kebaikan dan bertakwa. Serta ia mengakui dengan yakin akan perkara yang baik. Maka sesungguhnya Kami akan memberikannya kemudahan untuk mendapat kesenangan (syurga)." (al-Lail:5-7)

Hati sedemikian adalah hati yang pelitanya menyinarkan cahaya dari 'misykat rububiyah' sehingga tidak ada suatu terlindung padanya dan tidak terpengaruh oleh tipu daya syaitan, bahkan tidak akan mempedulikannya.

Selepas bersih daripada sifat tercela membinasakan, hati ini segera terhias indah dengan sifat terpuji yang menyelamatkan seperti syukur, sabar, takut dan pengharapan, zuhud, mahabbah, reda, rindu, tawakal, tafakkur dan muhasabah.

Hati inilah diterima dan dihadapkan Allah ke atasnya iaitu hati muthmainnah yang dimaksudkan oleh firman Allah bermaksud: "Iaitu orang yang beriman dan tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah! dengan zikrullah itu, tenang tenteramlah hati manusia." (ar-Ra'd)

2- Hati yang kecewa dan terbuang, dipenuhi hawa nafsu, dikotori dengan akhlak buruk dan tercela, terdedah dan terbuka luas kepada pintu syaitan dan tertutup dari pintu malaikat.

Punca kejahatannya ialah bermula daripada lintasan hawa nafsu ke dalam hati dan membisikkan dengan kejahatan, lalu hati merujuk kepada hakim akal untuk mendapatkan nasihatnya.

Tetapi akal sudah biasa menjadi khadam yang sentiasa patuh kepada hawa nafsu, sentiasa mencari helah dan tipu muslihat bagi membantu hawa nafsu, sehingga akal dikuasai nafsu, lalu hati menerima setiap kemahuan hawa nafsu yang menjadikan kekotoran semakin tebal, karat dan kegelapannya kerana semakin lemah daya akal dari mengawal dan mempertahankan.

Ketika itu, syaitan mengambil peranan untuk memperkuatkan penguasaan hawa nafsu ke atas hati melalui tugasnya.

Dengan sebab itu, semakin lemahlah daya imannya dengan janji Allah yang baik dan jahat, semakin malap cahaya keyakinannya kepada hakikat hidup akhirat, kerana asap debu gelap daripada hawa nafsu menutupi hati sehingga menutup sinar cahayanya.

Sementara akal sudah menjadi seperti mata yang terkena asap, tidak mampu lagi untuk melihat dengan baik.

Demikianlah kesan penguasaan keinginan hawa nafsu kepada hati, sehingga hati tidak lagi berdaya untuk menggunakan fikiran dan membuat pertimbangan.

Jika cuba disedarkan oleh seorang yang ikhlas atau diterangkan jalan yang benar, ia sudah menjadi buta dan tuli. Yang bergelora adalah keinginan hawa nafsunya, lalu lahirlah pelbagai maksiat.

Hati yang demikian diisyaratkan Allah dalam firman-Nya bermaksud: "Adakah engkau nampakkah orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya? Maka dapatkah engkau menjadi pengawas yang menjaganya?

Atau adakah engkau menyangka bahawa kebanyakan mereka mendengar atau memahami, Mereka hanya seperti binatang ternak, bahkan lebih sesat lagi." (al-Furqaan: 43-44)

3- Hati yang didatangi lintasan hawa nafsu dan membisikkan perlakuan kejahatan tetapi segera dipintas lintasan iman dan mengajaknya supaya melakukan kebaikan.

Ketika itu dengan keinginannya cuba menolong lintasan kejahatan sehingga semakin kuat tarikan hawa nafsu.

Oleh itu, akal segera menyedarkan kepada kebaikan dan mempertahankan diri daripada serangan hawa nafsu serta menjelaskan sudut keburukannya sehingga diri nafsu itu cenderung kepada nasihat akalnya.

Tetapi syaitan tidak melepaskan peluang untuk memberikan bantuan terakhir menentang akal, sehingga lintasan dan saranan hawa menjadi semakin kuat.

Demikian hati menjadi rebutan berterusan antara dua daya tarikan iaitu tarikan hawa nafsu dengan bantuan syaitan serta tarikan akal dan ketakwaan dengan bantuan malaikat.

Sekiranya sifat yang ada pada hati lebih kepada sifat bahimiyah, sabu'iyah dan syaitaniyah, hati akan dikuasai syaitan, malah cenderung kepada golongan dan puak syaitan yang akan melahirkan pelbagai bentuk maksiat.

Tetapi jika yang ada pada hati itu lebih kepada sifat malaikat, hati tidak akan mendengar rayuan syaitan, bahkan tidak terpengaruh kepada janji syaitan, sebaliknya akan cenderung kepada golongan Allah dan dengan itu akan lahirlah pelbagai ketaatan.

Assalamualaikum wbt. Alhamdulillah kerana sudi membaca artikel diatas. Sila lawati ke halaman utama untuk membaca lebih 2003 artikel yang terdapat disini. Jangan lupa berkongsi artikel diatas bersama anggota keluarga, saudara mara dan rakan taulan anda. Jika anda ingin memberi pendapat atau teguran, sila email kami di admin[at]mukmin.com.my, Insyallah kami berlapang dada untuk membacanya. Semoga kita dapat ambil manafaat bersama dengan Portal Mukmin ini. Insyallah.
Kembali Ke Halaman Utama | Papar Semua Tajuk Dibawah Kategori Yang Sama | Berkongsi Artikel Dengan Rakan Lain | Sertai Facebook Mukmin Portal

 
 

 

© Mukmin (Tiada Notis Copyright)

Paparan sesuai 1280 x 800 pixel (IE 7.0 keatas / Firefox 3.0 keatas)